19 September 2022, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam Puisi bukan sahaja perlu diperam sebelum dihantar ke mana-mana penerbit, malah penggunaan bahasa dalam penulisan puisi juga harus dilihat sama ada memberi impak kepada pembaca. Begitulah antara inti pati yang disampaikan oleh SN Dato’ Rahman Shaari dalam program “Santai Puisi bersama-sama Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari”. Program ini diadakan di Auditorium UOW Malaysia KDU University College, Utropolis, Glenmarie, anjuran Syahida Hassan Enterprise. Program ini memberi peluang kepada para hadirin untuk mendapatkan ilmu tentang penulisan puisi.

Dalam perkongsiannya, beliau menyatakan proses pemeraman membantu penulis untuk melihat keberkesanan dan impak hasil penulisan kepada pembaca. Penulis tidak perlu tergesa-gesa dalam menghantar atau membukukan karya tersebut. Beliau mengambil contoh sajak “Aku” yang ditulis oleh Chairil Anwar. Sajak tersebut bukan sahaja memberi impak malahan membawa anjakan makna kepada perkataan ‘aku’ itu sendiri.

SN Dato’ Rahman Shaari sedang memberikan penerangannya tentang puisi.

Menurutnya, beliau mencuba menukar perkataan ‘aku’ kepada ‘engkau’ untuk sajak berkenaan tetapi ternyata, makna keseluruhan sajak berubah. Hal ini menekankan bahawa penulisan puisi yang baik bukan terletak pada perkataan yang bombastik, tetapi bait kata yang ditulis harus mempunyai anjakan makna yang membawa impak kepada pembaca.

Program tersebut ini dihadiri oleh 30 orang peserta dan dimeriahkan dengan persembahan puisi daripada beberapa penggiat puisi seperti Attokz Dikulgai yang menyampaikan persembahan satiranya bertajuk ‘Alahai…’, Hj. Megat Mohd. Salleh yang menyampaikan sajak ‘Tanah Merdeka’, Harlym Yeo dan persembahan puisi daripada penulis buku Rumpun Luhur terbitan Syahida Hassan Enterprise.

Menariknya, setiap persembahan deklamasikan puisi diiringi tiupan seruling daripada Suhaimi (Kumpulan Mahligai and Friends). Program tersebut juga dimeriahkan dengan pelancaran buku Antologi Puisi Malaysiaku Rumpun Luhur. Karya-karya yang terkandung dalam antologi ini terdiri daripada puisi moden dan tradisi seperti sajak dan pantun. Istimewanya, termuat dalam antologi ini ialah tulisan SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan sebagai pengulas dan juga penilai puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.