19 April 2021, 18:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sesuai dengan namanya, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 (SKPM 2) di Rumah PENA pada 10 April 2021 yang lalu wajar dihadiri ramai Sasterawan Negara (SN) yang masih hidup, sama ada sebagai pemakalah ataupun ahli panel forum. Tanpa mengira temanya, “Sastera, Bahasa dan Budaya Pemersatu Bangsa” masih relevan atau sudah basi, kehadiran SN membuatkan SKPM 2 amat bermakna, terutama pada sesi pembentangan kertas kerja dan forum. Cuma, oleh kerana turut menyentuh budaya, lebih menarik jika ada Seniman Negara yang ikut serta dan mengambil bahagian. Empat orang SN menghadiri SKPM 2, iaitu Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail,Datuk Baha Zain, dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Tokoh bahasa dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam dan Tamadan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Sri Profesor Dr. Awang Sariyan turut membuka tirai SKPM 2 dengan ucaptama, yang dimudahcarakan oleh Setiausaha Agung PENA, Dr. Shamsudin Othman.

Sebelas orang penulis serta pengkritik sastera baharu dan lama tanah air, termasuk dua orang penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, Dr. Lim Swee Tin dan Datuk Jasni Matlani, Nisah Haron, dan Muhammad Lutfi Ishak (ahli panel pembentangan sesi dua, “Sastera dalam Era Revolusi Industri 4.0”, dimudah cara oleh Saifullizan Yahaya); Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Raja Rajeswari a/p Seetharaman, Prof. Dr. Hashim Ismail, dan Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (ahli panel pembentangan sesi pertama, “Menggali Kearifan Sastera untuk Penyatuan Bangsa”, dimudah cara oleh Dr. Norzuraina Mohd. Noor) telah menjayakan SKPM 2.

Turut menjadi ahli panel pembentangan forum (dimudah cara oleh AJK PENA, Mohd. Khair Ngadiron) ialah Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, Datuk Che Shamsudin Othman atau Dinsman (Presiden Seniman Paksi Rakyat) dan Dr. Ramzah Dambul.

Walaupun tema SKPM 2 boleh dianggap menarik, tetapi beberapa orang pemakalah dan ahli panel forum tidak teruja, malah mengkritiknya kerana klise dan membosankan. Ada juga yang membangkitkan isu perbezaan jumlah hadiah sayembara bagi novel, cerpen dan puisi.

Dr. Awang dalam ucaptamanya menegaskan, sastera bukan untuk orang sastera sahaja, tetapi orang sastera memang memerlukan bahasa sebagai unsur jati diri. Beliau menyesali persepsi salah, iaitu penulis lebih dianggap sebagai sasterawan, sedangkan penulisan tidak hanya dalam bidang sastera sahaja.

Datuk Sri Profesor Dr. Awang Sariyan.

Dinsman pula menganggap tema SKPM 2 tidak perlu diperdebatkan. Masalah bangsa bersatu, katanya, tidak akan selesai selagi ada pengasingan oleh pihak berkuasa terhadap sasterawan dan budayawan.

SPKM 2 dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama-sama Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sesi pembentangan kertas kerja dan forum serta resolusi SKPM 2 berlangsung di Dewan Usman Awang, Rumah PENA. Sementara sesi Malam Baca Puisi PENA-SKPM-KLWBC diadakan di Panggung Sutung Umar RS, Rumah PENA.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyempurnakan perasmian SKPM 2. Turut hadir ialah Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, dan Pengarah Eksekutif DBKL merangkap Ketua Sekretariat KLWBC2020, Encik Anwar Mohd. Zaini.

SKPM 2 juga diisi dengan penyampaian hadiah Sayembara Penulisan KLWBC 2020 (tiga pemenang utama dan lima hadiah penghargaan masing-masing bagi Hadiah Puisi, dan Hadiah Novel), serta pelancaran buku pemenang sayembara tersebut oleh Tan Sri Annuar dan Anwar.

Dalam ucapannya, Annuar Musa mengatakan beliau lebih suka jika acara seperti SKPM diadakan di Rumah PENA pada masa akan datang. Beliau mengatakan sedemikian sebagai reaksi ucapan alu-aluan Dr. Mohamad Saleeh bahawa PENA menganjurkan SKPM 2 dengan perbelanjaan yang kecil. Tambah Annuar Musa, walaupun berterusan di tempat yang sama, bantuan kewangan akan tetap dihulurkan kepada PENA.

 

Resolusi Baharu

Resolusi SKPM 2 yang dibentangkan oleh Dr. Saleeh menyentuh aspek sastera kebangsaan, Kuala Lumpur sebagai Kota Budaya, memartabatkan bahasa Melayu, tulisan Jawi, dan pelestarian kebudayaan serta kesenian. Antara yang menarik dalam resolusi tersebut, termasuk memperkasakan sastera di sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai asas pengukuhan keperibadian negara bangsa, menyebarluaskan karya sastera ke pelbagai peringkat dan golongan profesional (kedutaan luar negara atau badan korporat lain), dan mewujudkan atase sastera pada peringkat kedutaan untuk memperkenalkan dan menyebarluaskan sastera Melayu.

Baginya, pihak kerajaan perlu membawa sasterawan atau penulis sebagai delegasi rasmi negara untuk mempromosikan sastera. Resolusi itu turut menyentuh penubuhan Majlis Sastera Kebangsaan sebagai badan pemikir yang bersifat autonomi, tetapi berakauntabiliti kepada Jabatan Perdana Menteri (dianggotai pelbagai individu berkepentingan). Majlis Sastera Kebangsaan berperanan sebagai pemegang taruh bidang kesusasteraan untuk menyemarakkan pengiktirafan, pengkaryaan, kegiatan apresiasi, penataran bakat, kemahiran dan keilmuan, merancang strategi pemasaran karya di dalam dan luar negara, serta mencipta peluang pekerjaan baharu berasaskan modal insan kreatif dan inovatif.

Resolusi itu turut menekankan hasrat untuk mewujudkan Dasar Sastera Negara untuk mengabsahkan bidang kesusasteraan sebagai suatu hasil kreativiti yang sama nilainya dengan bidang lain dalam agenda pembangunan negara. Ppenggubalannya akan dapat dijadikan panduan, landasan dan hala tuju dalam penciptaan karya, penerbitan, pengedaran bagi memenuhi aspirasi nasional.

Resolusi itu turut mencadangkan agar diwujudkan Anugerah Persuratan Melayu-Islam Nusantara yang berprestij, dan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagaimana Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) yang disampaikan oleh Raja Thai.

Berkenaan bandar raya Kuala Lumpur pula, resolusi menyarankan agar Kuala Lumpur dan Putrajaya dijadikan sebagai “Kota Budaya” bagi mengimbangi pembangunan fizikal dan kemajuan material. Hal ini telah dilakukan oleh banyak negara maju yang tidak berfokus pada tamadun bercirikan pembangunan ekonomi semata-mata.

Dalam memartabatkan bahasa Melayu pula, resolusi SKPM 2 memartabatkan dan menegaskan kedudukan bahasa Melayu dalam pentadbiran awam kerajaan, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, dan memberikan nilai dan status yang sewajarnya kepada penerbitan karya ilmiah dalam bahasa Melayu, terutama pada peringkat universiti.

Resolusi SKPM 2 juga menyarankan agar tulisan Jawi diiktiraf sebagai khazanah nasional dengan mengembangkan penggunaannya di pelbagai sektor, meluaskan pengajarannya di sekolah, dan menambahkan bilangan korpus penerbitannya agar masyarakat tidak terputus daripada warisan bangsa yang unik ini.

Dalam aspek kebudayaan dan kesenian pula, resolusi itu melihat bahawa pengajaran kesenian dan kebudayaan yang berteraskan kebudayaan murni perlu diperhebat dalam kalangan masyarakat dan sistem pendidikan. Hal ini demikian kerana, pendidikan secara rasmi atau tidak rasmi akan mampu membentuk kefahaman secara halus dan lebih berkesan daripada pemaksaan.

Pelancaran buku pemenang Sayembara Penulisan Puisi dan Novel KLWBC 2020. Dari kiri: Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Sri Profesor Dr. Awang Sariyan, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, dan Datuk Zainal Abidin Borhan.

Senarai Pemenang Sayembara Penulisan Puisi KLWBC 2020

HADIAH UTAMA | Jasni Matlani untuk Minatour Yang Bijaksana dalam Labirin Pulau Kami, Nazri Hussein (Husna Nazri) untuk Ratib Fakir dan Qasidah Zikir Terakhir, dan Indra Jokina untuk Dalam Mimpi Yang Bermimpi.

HADIAH SAGU HATI | Rohaiyah Jumin untuk Rumah Api, Roslan Jomel untuk Nipah, Mohamad Shafiq Mahamad Said (Shafiq Said) untuk Matahari Bunga Telang, Rosmiaty Shaari untuk Ketika Isyarat, dan Azizah Md. Saad untuk Menghirup Ribut Buih.

Senarai Pemenang Sayembara Penulisan Novel KLWBC 2020

HADIAH UTAMA | Hafizah Iszahanid untuk Kuala Lumpur di Sebalik Bulan, Amer Hmzah L. Kadir untuk Sekepal Hikayat, dan Mahizan Husain untuk Menunggu Tuan Juragan yang Belum Pulang.

HADIAH SAGU HATI | Mazni Md. Ramly untuk Hati Kintsugi, Roydy Roykidy untuk Embok Nyang Endoi, Aminah Mokhtar untuk Jamung-jamung, Jaya Ramba untuk Petunjuk Jalan, dan Ruhaini Matdarin untuk Akhir dan Awal yang Berlawanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.