Oleh Naimah Yusof
17 April 2021, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysian Board on Books for Young People (MBBY) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Universiti Selangor (UNISEL) dan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 menganjurkan “MBBY International Conference on Children and Books 2021” pada  16 dan 17 April 2021 bersempena dengan penobatan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh UNESCO.

Persidangan tersebut ialah persidangan keenam yang diadakan oleh MBBY dan yang pertama kali diadakan secara dalam talian dan secara bersemuka ketika negara masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19. Persidangan ini juga satu daripada aktiviti yang diadakan sebagai persediaan sebelum berlangsungnya Kongres International Board on Books for Young People (IBBY) Antarabangsa ke-38 di Putrajaya pada 5 hingga 8 September 2022.

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur, Encik Saifol Mazli Ahmad, Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar. Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin (Presiden IBBY Malaysia), Prof. Dr. Ahmad Sidin Ahmad Ishak (Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan dan Timbalan Presiden IBBY Malaysia), Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka), Encik Sheikh Faisal Sheikh Mansor (wakil urus setia Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020) dan Puan Mohana Gill (penulis buku). Dalam majlis tersebut, Puan Mohana Gill telah memberikan sumbangan buku kepada Perpustakaan Kuala Lumpur sebagai galakan untuk menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak.

Persidangan yang dianjurkan tersebut membawa tema “Stories for Survival”. Tema ini bertepatan dengan situasi pandemik yang dihadapi oleh dunia pada masa ini yang menyebabkan kanak-kanak dan golongan muda perlu berhadapan dengan lebih banyak cabaran untuk mengadaptasi diri mereka bagi mendapatkan bahan bacaan dan pembelajaran. Melalui perihal ini, buku dan sastera memainkan peranan penting dalam membantu mereka memahami dan mengatasi situasi sukar yang melingkari mereka.

Persidangan ini turut mengetengahkan cara penerokaan sastera, buku dan aktiviti literasi digunakan pada masa-masa mencabar dan bagaimana anak-anak dan orang muda berjaya dalam hidup dengan harapan yang positif. Persidangan ini juga menerangkan literasi representasi kelangsungan hidup dan strategi mengatasi masalah pada masa yang sukar.

Menurut Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Presiden IBBY Malaysia,

Saya sangat berharap agar persidangan ini akan membincangkan pelbagai aspek selain daripada tema yang diketengahkan, “Stories for Survival”, dan akan mengemukakan cadangan yang relevan yang akan menuju ke dunia yang lebih baik, lebih sihat, lebih meriah untuk anak-anak dan orang muda kita.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari tersebut menampilkan pembentang dari Malaysia, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan USA. Dalam persidangan tersebut, Dr. Sharifah Aishah Osman dari Univeristi Malaya telah memberikan ucap utama dengan tajuk pembentangan “Beyond Survival: Narratives of Empowerment and Implications for the Advancement of Malaysia Youth Literature”. Prof. Dr. Sidin Ahmad Ishak selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan telah membentangkan hasil rumusan daripada persidangan tersebut dan majlis berakhir dengan ucapan penutup oleh Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Presiden IBBY Malaysia.

Pembentangan oleh panel dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Mariati Josepha Mustafa dengan tajuk kertas “Preserving Folk Tales for Children of Malaysia: Role of DBP”.
Pembentangan kertas “TECHNOLOGY, BOOKS AND CHILDREN: How Technology Can Be Used to Motivate Young Readers in the Age of Digitalization?” oleh Dr. Siti Ezaleila Mustafa dari Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.