Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron, Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menyifatkan Hikayat Maharaja Seri Rama sebagai lambang keagungan khazanah Melayu.

“Penerbitan buku ini ialah usaha yang terpuji kerana membuktikan bahawa orang dahulu rajin mengkaji karya klasik, apatah lagi dalam tulisan Jawi lama yang tidak mampu dibaca dengan betul oleh semua orang,” ujar beliau.

Bagi tempoh penerbitan Hikayat Maharaja Seri Rama yang mengambil masa lima tahun, Mohd. Khair menyimpulkannya sebagai kerja yang teliti oleh penyusun, YBrs. Encik Che Mat Jusoh, 72 tahun.

“Penyusun berdikit-dikit atau semacam bertangguh-tangguh kerana beliau berhati-hati serta teliti agar hasilnya bermutu tinggi,” tambah Khair dalam ucapannya menyempurnakan pelancaran Hikayat Maharaja Seri Rama di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam bersempena dengan PBAKL 2026.

Setebal 1,000 halaman dan dijual pada harga RM120 senaskhah, Hikayat Maharaja Seri Rama diterbitkan oleh Nusa Centre, milik penulis SEA Write Award, Tuan S.M. Zakir selaku Pengarah Urusan.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Che Mat Jusoh yang berasal dari Bachok, Kelantan memberitahu bahawa sejak bersekolah lagi, beliau sudah berminat dengan kisah Hikayat Seri Rama.

“Selepas bertanya kepada beberapa orang yang lebih arif, saya berminat untuk menulisnya pula.

“Saya kemudian memperoleh enam buah naskhah dalam tulisan Jawi lama, lalu saya mentransliterasikannya kepada tulisan Rumi,” jelas beliau.

Beliau turut membandingkan pelbagai versi Hikayat Seri Rama yang ada, termasuk daripada rakan-rakan dari Palembang, Indonesia dan Singapura.

Tambah Che Mat yang juga tokoh wayang kulit Kelantan, beliau memulakan proses penyusunan sekitar tahun 2021 ketika Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19.

Sedikit demi sedikit beliau membaca semula setiap naskhah dalam simpanan selain naskhah baharu yang diperoleh, selain membuat perbandingan dan semakan semula.

“Dari segi bahasa pula, saya mengekalkan sebanyak mungkin ayat asal. Cuma ada sedikit penyesuaian pada bahagian yang terlalu sukar difahami,” jelas beliau.

Mengimbau detik mula penerbitan Hikayat Maharaja Seri Rama, Che Mat memberitahu bahawa beliau telah mengenali S.M. Zakir sejak penulis itu masih kecil kerana beliau sering bertandang ke rumah Sasterawan Negara Allahyarham S. Othman Kelantan.

“Setelah dewasa dan menjadi penerbit buku, Zakir berminat menerbitkan Hikayat Maharaja Seri Rama selepas melihat manuskripnya di rumah saya,” jelas beliau yang merupakan Karyawan Tamu di Pusat Seni Kreatif, Universiti Sains Malaysia sejak tahun 2015.

“Walaupun Hikayat Seri Rama berasal dari India, tetapi karya ini telah bertapak di Alam Melayu lebih daripada seribu tahun, sehingga orang Melayu di Nusantara menganggapnya bukan lagi milik negara tersebut semata-mata.

“Karya ini sudah menjadi hak orang Melayu kerana telah dimasukkan unsur budaya Melayu dan Islam,” ujar Che Mat.

Hikayat Maharaja Seri Rama tambahnya, memainkan peranan penting dalam tradisi seni persembahan Melayu, khususnya wayang kulit Kelantan, dan seni gamelan Melayu yang berkembang pesat di Pahang serta Terengganu.

Majlis pelancaran Hikayat Maharaja Seri Rama turut mengenang pemergian penyair berwibawa tanah air yang sering dikaitkan dengan wayang kulit, iaitu Allahyarham Rahimidin Zahari.

Hikayat Maharaja Seri Rama boleh didapati di reruai Nusa Centre, Bilik Mawar, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena PBAKL 2026.

Che Mat Jusoh (kanan) menampilkan hasil karya susunannya, Hikayat Maharaja Seri Rama setelah melakukan pembacaan, perbandingan dan penyemakan beberapa naskhah Hikayat Seri Rama. Beliau diiringi oleh Pengarah Urusan Nusa Centre, S.M. Zakir dan Encik Mohd. Khair Ngadiron.
Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi