15 Julai 2021, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cinta Hari-hari Pandemik kedengaran klise umpama kisah cinta tiga segi yang sering ditayangkan pada jam 7.00 malam. Namun, ramai yang tidak tahu trilogi karya terbaharu Ruhaini Matdarin ini menampilkan gaya penulisan yang begitu berani dan segar. Kisah “ngeri psiko gelap” (dark psycho thriller) ini mampu mencetuskan gelombang baharu bagi para penulis untuk menghasilkan karya yang sedemikian pada masa akan datang.

“Ini bukanlah novel cinta tipikal. Ruhaini berjaya mengetengahkan isu kesihatan mental. Ruhaini begitu kemas merakamkan fragmen dan kesan psikologi terhadap masyarakat akibat pademik COVID-19,” jelas Dr. Zul Azlin, Pakar Psikiatri USIM Healthcare sebagai panel pertama pembicara Sembang Buku anjuran Nusa Centre pada 14 Julai jam 8.30 malam secara langsung di Facebook Rita Robert Rawantas dan Nusa Centre.

Pandemik sangat memberikan kesan pada cerita pertama novel ini melalui watak Salmi dan isterinya Sarah yang bergelut menghadapi pelbagai dugaan, termasuk kehilangan perniagaan akibat COVID-19 kesan daripada pilihan raya di Sabah. Pergelutan watak ini dilihat sebagai suatu episod kecelaruan personaliti yang dapat didiagnosis dari sudut perubatan sebagai kecelaruan personaliti berganda (multiple personality disorder).

“Kesan mental juga jelas pada cerita ketiga melalui watak Nazar, orang miskin yang terkurung dan mengalami trauma seksual. Apabila membaca cerita ini, saya dapat menyatakan bahawa Naza mengalami penyakit tertentu yang lebih tepat disebut sebagai skizofrenia,” ujar Dr. Zul.

Sementara itu, panel kedua Abdullah Hussaini pula sependapat dengan Dr. Zul dan menambah bahawa Ruhaini dalam karya terbaharu terbitan Nusa Centre ini kelihatan lebih bebas bercerita dan berterus terang dalam isu penderaan seksual.

“Saya suka membacanya kerana jalan cerita bergerak pantas. Saya juga suka pada cerita kedua dengan watak orang tua miang, gatal dan curang itu. Jika dikembangkan lagi ceritanya, tentu dunia kosmos psikologi yang dialami watak ‘lelaki gatal’ itu lebih menarik untuk diimbas kembali,” kata Abdullah.

Moderator program Rita Robert Rawantas, kelihatan tersenyum-senyum dan tercuit dengan bicara Dr. Zul dan Abdullah Husaini yang begitu santai dan bersahaja mengutarakan pendapat.

Novel terbaharu Ruhaini Matdarin ini boleh didapati di kedai buku Nusa Centre di Shopee.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.