22 Februari 2022, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sastera sufi bersifat sakral, transenden dan metafizis. Justeru, pelahiran bait puisinya datang daripada hati manusia yang berniat suci.

“Orang-orang sufi tidak menulis semua pengalaman spiritual mereka secara langsung. Sebahagiannya ditulis dalam bentuk rahsia dengan menggunakan bahasa kiasan,” ujar Profesor Dr. Shahidan Radiman, Ketua Program Sains Nuklear Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam Program Sembang Sastera anjuran Nusa Centre pada 19 Februari lalu jam 2.30 petang.

Menurut Prof. Shahidan, mereka yang menghasilkan sastera sufi ialah manusia yang telah sampai pada makam qalbun salim (hati yang sihat dan sejahtera), kerana bagi mereka, Allah ialah segala-galanya dalam kehidupan. Mereka juga meletakkan akhirat di hadapan. Lantaran itu, dunia bukanlah dambaan kerana pengalaman spiritual mereka begitu tinggi.

Maka, mereka menzahirkan sepenuh rasa penghambaan kepada Allah dengan lunak, khusyuk dan tawaduk. Setiap tulisan mereka berbentuk puji-pujian kepada Tuhan, bukan puji-pujian kepada diri sendiri atau manusia biasa lain. Bahkan dendangannya yang merdu mampu membangkitkan rasa senang, tenang dan kecintaan kepada Tuhan bagi orang yang membaca karyanya.

Ujar Prof. Shahidan, sastera sufi mencakupi pelbagai jenis, antaranya termasuk karya yang berunsur pujian kepada Rasulullah SAW, yang dipelopori sendiri oleh sahabat baginda, iaitu Hassan bin Thabit RA, salah seorang tokoh penyair terawal yang mengarang puisi berkaitan peristiwa sewaktu era akhir Jahiliah hingga zaman Khulafa’ ar-Rashidin. Karya pujian kepada Rasulullah berkembang menjadi sastera maulid, seperti Maulid Berzanji dan Maulid Diba’i. Terdapat juga karya zikir, munajat dan hizib. Sastera sufi juga termasuk sastera hagiografi yang tertumpu pada pengisahan karomah (keramat) para wali Allah, sama ada daripada sumber kisah benar ataupun direka.

Kata beliau lagi, sastera sufi banyak dipelopori oleh mursyid tarekat dan ahli tasawuf. Hal ini kerana kebanyakan daripada mereka menguasai tafsir al-Quran serta tafsir isyari (isyarat). Menurutnya, Allah menyampaikan sesuatu perkara dalam al-Quran tidak sepenuhnya secara langsung. Justeru, tidak semua yang dapat difahami secara lengkap oleh manusia. Misalnya, hurufhuruf muqatta’ah seperti ‘Alif, Lam, Mim’, hanya Allah Yang Maha Mengetahui maksud sebenar sebalik huruf-huruf tersebut. Hal seumpama ini dapat difahami oleh orang-orang tertentu sahaja, khususnya para aulia Allah. Justeru, segala perasaan dan pengalaman yang tidak terlihat atau tidak diketahui oleh manusia biasa dinukilkan menjadi bait-bait bahasa yang indah dan berbentuk kesufian.

“Sastera sufi juga ialah interpretasi terhadap alam, luahan rasa individu atau kolektif sehingga lahirlah falsafah, metafizik dan aliran muzik seperti qasidah, ghazal dan gamelan.

“Ilham daripada Allah ialah ilham Rabbani. Allah memberi akal untuk memajukan diri. Peranan ahli sufi adalah untuk mempersembahkan setiap keindahan yang jelas itu melalui sifat Allah, iaitu Jamil, Ialu menzahirkan pinjaman sifat tersebut dan memantulkannya melalui bahasa sebagai tanda bersyukur,” ujar beliau.

Penciptaan sastera sufi bergantung pada niat seseorang apabila mengabdikan diri kepada Allah sebagai khalifah di atas muka bumi. Karya sufi baginya bukanlah bertujuan untuk mencari kemasyhuran.

“Yang dipuja-puji ialah Allah kerana hakikat sebenar roh manusia hanya mahu mencari Allah.”

Antara nama tokoh penyair sufi yang sempat disebut oleh Prof. Shahidan termasuklah Hamzah Fansuri (Barus, Sumatera Utara), Tengku Amir Hamzah (Sumatera Timur), Yunus Emre (Turki), Amir Khusro (Bapa Kesusasteraan Urdu), Muhammad Iqbal (Pakistan), Ibnu Arabi (Sepanyol), dan Jalaluddin Rumi (Afghanistan).

Program yang berlangsung selama satu jam tersebut dikendalikan oleh S.M. Zakir, Pengarah Urusan Nusa Centre.

Baru-baru ini, dua naskhah buku puisi Prof. Shahidan diterbitkan oleh Nusa Centre dengan judul Cinta Telah Menjadikan Ku Asing dan Kepada-Mu Ku Fana di bawah nama pena Raden M. Kamil.

Beli Cinta Telah Menjadikan Ku Asing dan Kepada-Mu Ku Fana.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.