Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri meneliti keistimewaan kopi buat golongan sufi dan hasil kreatif yang lahir kerana minuman istimewa ini.

Sungguh menarik untuk melihat bagaimana biji kering yang sederhana bentuknya ini menjadi tiang pada disiplin seni dan kesusasteraan.

Dalam tradisi sufi, kopi bukan sekadar minuman; sebaliknya kopi dianggap sebagai air ajaib atau eliksir suci yang menyemarakkan revolusi rohani, khususnya pada abad ke-10. Kopi dipercayai berasal dari Habsyah. Akan tetapi, sebagaimana menurut penjelasan jurnalis Abdul-Rehman Malik dalam siri penjelajahannya ke Turki yang disiarkan oleh BBC Radio 4 pada 1 Mei 2017, ahli tasawuf dari negara Yamanlah yang telah mengubahnya menjadi minuman bancuhan sehingga dikenali hari ini sebagai minuman bertenaga untuk mengekalkan ibadah malam mereka.

Secara terperinci, kopi dianggap sebagai pemangkin rohani yang mampu meningkatkan kewaspadaan diri untuk mengerjakan solat. Ahli sufi menjadikan kopi sebagai minuman untuk berjaga dan menambah kesedaran semasa terlibat dengan zikir yang panjang dalam mengingati Tuhan. Disebabkan alkohol dilarang dalam Islam, para sufi menggunakan kopi sebagai alternatif yang dibenarkan. Kopi bahkan disebut sebagai Qahwat al-Sufiyya yang dikatakan dapat membangunkan kesedaran pengamal untuk mencapai keadaan ekstasi rohani.

Amalan meminum kopi ini dikatakan turut tidak terlepas daripada kontroversi. Ketika amalan tersebut berpindah dari pondok sufi (zawiyah) ke warung atau kedai minuman, kopi menghadapi tentangan hebat. Hal ini tercetus dari sudut perdebatan ulama yang mengaitkannya dengan kesan rangsangan, manakala dari sudut politik pula, pemerintah bimbang kedai kopi berkembang menjadi tempat pembiakan pemikiran radikal dan perbezaan pendapat politik yang membawa kepada kacau-bilau dalam kalangan masyarakat dan penentangan terhadap kerajaan. Menjelang pertengahan tahun 1500-an, Sultan Uthmaniyyah seperti Suleiman Agung mengeluarkan fatwa secara rasmi yang membenarkan amalan meminum kopi, yang sebahagian besarnya adalah disebabkan popularitinya dalam kalangan golongan elit agama dan faedahnya yang jelas untuk ibadat.

Minuman ini dalam kalangan ahli ibadah dan sufi dianggap berperanan sebagai magnetik taqarrub pada Allah, yang dapat menghilangkan rasa mengantuk sehingga jalan menggapai maqamat Ilahi menjadi lebih dekat, sepertimana yang diungkapkan oleh Ibn Hajar al-Haytami yang dikutip oleh Robingun Suyud El-Syam dan Muhamad Yusuf Amin Nugroho (2023):

Ketahuilah wahai hati yang gelisah bahawa Kopi ini telah dijadikan oleh Ahli Sofwah (orang-orang yang bersih hatinya) pengundang datangnya cahaya dan rahsia Tuhan, penghapus kesusahan …

Selanjutnya dalam kitab Al-I’ab Syarh Al-‘Ubab sebagaimana yang dikutip oleh Zainuddin Lubis (2021), al-Haytami menjelaskan bahawa tegukan secawan kopi merupakan tradisi yang dipelihara oleh kaum sufi. Zahir tegukannya boleh menghilangkan kegelisahan, tetapi batinnya membuatkan hati seorang sufi yang rindu akan Tuhan semakin bersinar dan memantulkan cahaya.

Kopi juga dianggap sebagai minuman yang memberikan manfaat kepada pencari pengetahuan, sebagaimana yang disebut dalam Tarikh Ibn Tayyib yang dikutip oleh Moh Nasirul Haq (2015): “Kopi adalah penghilang kesusahan pemuda, senikmat-nikmatnya keinginan bagi engkau yang sedang mencari ilmu, Kopi adalah minuman orang yang dekat pada Allah, di dalamnya ada kesembuhan bagi pencari hikmah diantara manusia, Kopi diharamkan bagi orang bodoh dan mengatakan keharamannya dengan keras kepala.”

Sungguh menarik untuk melihat bagaimana biji kering yang sederhana bentuknya ini menjadi tiang pada disiplin seni dan kesusasteraan. Penyair sufi sering menggunakan metafora kopi untuk menggambarkan kebangkitan jiwa. Mereka melihat kepahitan minuman itu sebagai selari dengan pahitnya jalan rohani, yang akhirnya menghasilkan manisnya kedekatan Ilahi. Salah satu pujian terhadap kopi yang paling terkenal ditulis oleh ulama sufi abad ke-16, Syeikh Abdul Qadir al-Jaziri:

Wahai Kopi!
Engkau menghilangkan kerisauan orang yang khusyuk,
engkau adalah minuman para sahabat Allah…
bagi hamba Allah yang menuntut ilmu, inilah minumannya

Mirip pada syair di atas ialah bait-bait yang ditulis oleh Al-Imam Abu Bakar bin Abdullah al-Aydrus (851 – 914 H) yang dicatat oleh sufi yang juga seorang sejarawan, Al-Allamah Najmuddin al-Ghazzi dalam karangannya, Al-Kawakib as-Sairah fi A’yan al-Miah al-A’syirah sebagaimana yang dikutip oleh Fahmi Faqih (2019): “Wahai orang-orang yang asyik dalam cinta sejati dengan-Nya, kopi membantuku mengusir kantuk. Dengan pertolongan Allah, kopi menggiatkan aku taat beribadah kepada-Nya di kala orang-orang sedang terlelap tidur”.

Dalam kebanyakan bahagian di Timur Tengah, Afrika Utara dan Balkan, amalan meminum kopi kekal sebagai ruji upacara dalam tarekat kesufian.

Kopi juga dimetaforakan sebagai rahsia yang hanya diketahui oleh penempuh jalan makrifat, asalkan dia jujur dalam niatnya ketika hendak meminumnya sebagaimana menurut syair yang disusun oleh Abdul Rahman al-Amudi, salah seorang ulama yang sangat mementingkan pengetahuan yang dianggapnya melebihi perkahwinan. Syair tersebut yang telah direkodkan dalam Kitab al-Mustadrak sebagaimana yang diterjemahkan oleh Hikmah Pendita Resources dalam Kitab Ilmiah SeMalaya (Tijarah) pada 25 Januari 2026:

Rahsia kopi kami, ambillah ia dalam keadaan telah tersedia
Ia membantu penempuh jalan (ahli ilmu/ibadah) ketika berjaga di malam hari
Ia melapangkan hati dan mengendurkan seluruh anggota
serta menghilangkan keresahan, kesedihan dan kekusutan
Maka minumlah daripadanya sekadar yang ditetapkan untukmu
dan bangunlah di waktu sahur itulah nasihatku yang membahagiakan.
Ikhlaskan niat terhadap tujuan engkau meminumnya
dan jadilah bijaksana dengan menyimpan segala kebaikannya.
Ikutilah dengan bersungguh orang-orang soleh yang telah mendahului
dan jangan mencontohi mereka yang akhirnya rugi.
Dan mohonlah kepada Tuhanmu agar Dia melimpahkan rahmat-Nya
ke atas Nabi-Mu, sebaik-baik makhluk dan manusia.

Di sisi lain, isi kandungan syair ini memberikan makna yang mendalam tentang adab dalam kerangka keberkatan dan kebaikan secara keseluruhan. Dari sudut luaran misalnya, kopi dipuji kerana dapat memberikan kesegaran dan kekuatan di samping mampu menggembirakan hati, melapangkan dada dan menghilangkan kesedihan dan kerisauan. Adapun, dari sudut dalaman pula, kopi menjadi sebab kebaikan dan keberkatan sekiranya didahului dengan niat yang baik dan mengikut tradisi orang-orang soleh yang terdahulu yang telah meminumnya. Dengan demikian, teks ini bukan sekadar memuji kopi, tetapi turut menunjukkan budaya peradaban yang tinggi yang telah dirantaikan secara tradisi sejak zaman-berzaman.

Abdul Rahman al-Amudi yang tergolong dalam keluarga besar al-Amudi, yang dipercayai berasal daripada keturunan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang terkenal sebagai penjaga tradisi keilmuan dan kerohanian di wilayah Hadramaut. Beliau dan para masyaikh daripada keluarga al-Amudi, terutamanya Syeikh Said bin Isa al-Amudi (wafat 671 H/1272 M) adalah antara kelompok awal yang menggunakan kopi sebagai alat untuk membantu mengerjakan ibadah.

Atas sebab itu selalu dinyatakan dalam manaqib (biografi) para masyaikh al-Amudi, bahawa kopi bukan sekadar minuman herba, tetapi simbol keramahan dan kemuliaan (karamah) apabila mereka meyakini bahawa tenaga yang terhasil daripada kopi yang diminum dengan niat soleh akan menjadi pahala yang berterusan selama minumannya masih memberikan kesan pada tubuh.

Dalam kebanyakan bahagian di Timur Tengah, Afrika Utara dan Balkan, amalan meminum kopi kekal sebagai ruji upacara dalam tarekat kesufian. Di rumah persinggahan Sufi Uthmaniyah tradisional yang disebut sebagai tekkes, orang yang bertanggungjawab membancuh kopi bukan sekadar tukang masak, tetapi seorang pegawai rohani yang dikenali sebagai Tuan Kopi atau gelarannya Kahveci yang bertanggungjawab mengekalkan tenaga bilik melalui penyediaan minuman.

Kopi dihidangkan sejurus sebelum atau semasa rehat dalam zikir. Kopi sering dihidangkan dalam cawan kecil tanpa pegangan (finjan) dan diedarkan di sekeliling bulatan dalam susunan tertentu, biasanya bermula dengan yang tertua atau diawali dengan tuan syeikh, yang melambangkan aliran rahmat rohani (barakah). Sebelum minum, seorang sufi membisikkan doa atau menyebut Nama Tuhan ke dalam wap. Perbuatan sedemikian dilakukan dengan penuh perhatian; yang hal ini bukanlah menonjolkan rangsangan kafein, tetapi alat untuk menajamkan deria untuk beribadah.

Dalam konteks saintifik, timbul pertanyaan tentang adakah meminum kopi dapat menambah kreativiti? Jawapannya sebagaimana menurut kajian yang dijalankan oleh Darya L. Zabelina dan Paul J. Silvia bartajuk “Percolating Ideas: The Effects of Caffeine on Creative Thinking and Problem Solving” (2020), kandungan kopi lebih membantu dalam pemecahan masalah yang lebih fokus berbanding menjana idea kreatif yang baharu atau pemikiran divergen.

Dengan huraian yang lebih menyeluruh, kopi boleh mempengaruhi minda manusia dengan cara meningkatkan fokus, bukannya imaginasi. Hal ini kerana kafein yang terkandung di dalamnya dapat meningkatkan pemikiran konvergen, iaitu kebolehan menyelesaikan masalah dengan satu jawapan tepat, tetapi tidak memberikan kesan signifikan kepada pemikiran divergen, iaitu kebolehan menjana pelbagai idea unik.

Kopi dapat meningkatkan kewaspadaan apabila kafein yang terkandung di dalamnya berupaya merangsang sistem saraf pusat, yang boleh membantu seseorang itu kekal berjaga, mengembangkan emosi angin (mood) dan meningkatkan tumpuan. Keadaan ini membolehkan diri bekerja lebih lama pada tugasan kreatif yang memerlukan ketelitian. Kajian itu juga menyatakan bahawa sebenarnya bukan kopi itu sendiri yang mencetuskan kreativiti, tetapi suasana persekitaran sekeliling, iaitu di tempat pertemuan orang yang meminum kopi itu sendiri yang selalunya santai dan bebas daripada hiruk-pikuk yang membantu minda berfikir secara abstrak.

Namun dari sudut yang lain, peminum kopi berhadapan dengan risiko pengambilan berlebihan, atau dengan kata lain, menjadi ketagih. Dos kafein yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kegelisahan (anxiety) atau tangan menggigil, yang sebenarnya boleh mengganggu proses berfikir dengan tenang.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) mengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Igor Sporynin/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi