Oleh Karmila Azmi
25 Mei 2023, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Abu Dhabi – Novel The Water Diviner tulisan pengarang Oman, Zahran Alqasmi, 49, diumumkan sebagai pemenang International Prize for Arabic Fiction (IPAF) 2023.

Kemenangan itu yang diumumkan pada 22 Mei lalu dalam satu majlis di Abu Dhabi menyaksikan Zahran memenangi dana bernilai RM231 024 (USD50 ribu) untuk terjemahan.

Naskhah itu yang ditulis dalam bahasa Arab diterbitkan pada tahun 2021, mengambil latar kawasan pedalaman Oman. Novel ini mengisahkan Salem bin Abdullah yang diupah oleh penduduk kampungnya mencari sumber air bawah tanah.

Zahran dalam temu bual dengan IPAF berkata, kemenangan itu mengejutkan sehingga dia kehilangan kata.

“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana senarai novel yang berada dalam senarai pendek semuanya hebat belaka.

“Saya sudah membaca semuanya dan tahu bagaimana setiap satunya cukup baik dan berhak untuk menang, jadi saya merasakan peluang kemenangan itu tipis,” katanya.

IPAF ialah pengiktirafan sastera paling berprestij dan penting dalam dunia Arab. Majlis pengiktirafan ini diadakan bagi mendorong kecemerlangan dalam penulisan sastera kontemporari Arab.

Anugerah ini juga bertujuan untuk melonjakkan kualiti sastera Arab menerusi penterjemahan dan penerbitan naskhah yang menang atau memasuki senarai pendek pencalonan.

IPAF ditaja oleh Pusat Bahasa Arab Abu Dhabi yang dinaungi oleh Jabatan Kebudayaan dan Pelancongannya, dengan bimbingan dan galakan Yayasan Hadiah Booker, London.

Kredit Foto: Khéridine Mabrouk/IPAF

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.