16 Julai 2024, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Laila dan Majnun sememangnya kisah cinta daripada puisi yang sangat popular dan sentiasa diulang baca di Alam Melayu. Dr. Khairul Nizam Zainal Badri menyorot kembali dari manakah kisah ini ditemui dalam kesusasteraan Arab dan Parsi.

Apabila Qais mendengar berita tentang perkahwinannya, dia melarikan diri dari perkhemahan suku kaumnya dan mula mengembara di sekitar padang pasir.

Jika ditanya apakah kisah romantik yang paling popular di dunia? Tanpa teragak-agak jawapannya sudah pasti Laila dan Majnun. Dengan demikian, tidaklah menghairankan seandainya kisah ini sentiasa diadaptasi, diolah semula dan diulang-ulang dalam pelbagai bahasa dan medium, sama ada dalam bentuk novel, cereka atau filem.

Kisah Laila dan Majnun merupakan kisah lama Arab yang asalnya didokumentasikan dalam kitab Al-Syi’r wa al-Syu’ara karangan Ibn Qutaibah (828 – 889). Kitab ini merupakan sumber terawal dan terpenting dalam hal kritikan sastera Arab yang mengumpul salasilah dan biodata para penyair yang setiap karya yang dipaparkan disertai dengan ulasan dan kritikan.

Kitab ini tidak menghimpunkan para karyawan dalam bentuk kategori atau mengikut keunggulan puisi mereka berdasarkan urutan abjad, tetapi disusun berasaskan urutan zaman dari satu sudut, dan asas hubungan antara para penyair seperti hubungan kekeluargaan dan kekabilahan dari sudut yang lain.

Kitab berikutnya yang dikaitkan dengan pendokumentasian kisah Laila dan Majnun ialah Al-Aghani yang dikarang oleh Abu Faraj al-Isfahani, sasterawan Arab abad ke-10 Masihi. Kitab ini merupakan sebuah koleksi ensiklopedia puisi dan lagu yang terdiri daripada lebih 20 jilid panjangnya dalam edisi moden. Pengarangnya telah mengambil masa selama 50 tahun untuk menyusun koleksi tersebut, yang mencecah 10 ribu halaman.

Kisah Laila dan Majnun atau Laila dan Qais yang didokumentasikan dalam kedua-dua kitab ini bagaimanapun terakam dalam bentuk anekdot dan laporan lisan, yang kebanyakannya sangat pendek, bersambung secara longgar dan menunjukkan sedikit atau tiada perkembangan plot. Walau bagaimanapun, kisah dua kekasih ini begitu mendapat perhatian dalam kalangan para penyair, misalnya penyair Parsi bernama Nasir Khusraw sanggup datang ke Jabal al-Toubad sekitar abad kelima Hijrah iaitu antara tahun 1009 hingga 1106 Masihi semata-mata untuk menyaksikan sendiri kota yang didiami oleh Laila, sebagaimana yang digambarkan oleh Qais seperti bait yang berikut:

……….Saya melalui bandar ini, bandar Laila
……….Dan saya mencium dinding itu dan dinding ini
……….Bukan Cinta bandar ini yang telah memikat hati saya
……….Tetapi dari Dia yang tinggal di dalam kota ini

Sejak itu, kisah “Laila dan Majnun” menjadi terkenal di Parsi. Penyair Parsi bernama Rudaki dan Baba Tahir mengambil inisiatif mengetengahkan kisah percintaan ini kepada umum tetapi karya versi Nizami Ganjavi sentiasa dianggap sebagai karya yang paling utama kerana beliaulah yang telah mempopularkan kisah ini secara dramatik.

Selepas itu, ramai penyair Parsi lain menirunya dan menulis kisah tersebut dalam versi percintaan mereka sendiri, misalnya karya yang dihasilkan oleh Amir Khusraw Dihlawi yang disiapkan pada tahun 1299 dan versi Abdul Rahman Jami, yang disiapkan pada tahun 1484. Ahli sastera dan sejarawan menyenaraikan sekurang-kurangnya terdapat 40 buah karya saduran atau olahan semula kisah yang ditulis oleh Nizami dalam bahasa Parsi dan 30 buah karya saduran dalam bahasa Turki. Itu belum lagi termasuk karya saduran dalam bahasa Uzbekistan Lama, Azerbaijan dan bahasa-bahasa lain.

Laila dan Majnun merupakan puisi klasik yang berada dalam kedudukan ketiga dalam kuintet Khamsa yang ditulis oleh Nizami Ganjavi (1141 – 1209) kelahiran Ganja, kota lama yang kini dikenali sebagai Arran, terletak dalam negara Azerbaijan. Puisi ini ditulis pada tahun 1188 dalam bahasa Parsi dan dikatakan siap sepenuhnya setahun kemudian. Puisi ini telah didedikasikan kepada Shirvanshah Akhsitan I, bahkan puisi tersebut telah ditulis atas perintahnya. Dalam puisi yang mengandungi 4600 rangkap baris itu, Nizami telah memuji dan mengiktiraf Shirwanshah Akhsitan I sebagai raja Iran sebagaimana yang dinyatakan dalam tulisan Siavash Lornejad dan Ali Doostzadeh (2012).

Kisah ini berkisar tentang penyair bernama Qais bin Al-Mulawwah yang jatuh cinta kepada Laila al-Amiriyah. Tidak lama selepas itu, dia mula mengarang puisi tentang cintanya kepada Laila dan sering menyebut-nyebut nama gadis itu. Usaha obsesinya untuk memikat gadis itu menyebabkan beberapa penduduk tempatan memanggilnya sebagai “Majnun” atau “Si Gila”. Apabila dia memintanya untuk berkahwin, sang bapa menolak kerana akan menjadi beban kepada Laila berkahwin dengan seseorang yang dianggap tidak seimbang dari segi mental. Tidak lama kemudian, Laila dikahwinkan secara paksa dengan seorang saudagar bangsawan yang kaya daripada suku Thaqif di Ta’if. Dia digambarkan sebagai seorang lelaki kacak berkulit kemerah-merahan yang bernama Ward al-Thaqafi. Orang Arab memanggilnya “Ward”, yang bermaksud mawar dalam bahasa Arab. Dalam karya yang disusun oleh Nizami, nama saudagar bangsawan itu dikenali sebagai Ibn Salam.

Nizami menggunakan simbol duri bagi menggambarkan kedudukan Qais di sisi keluarga Laila:

………. kita mesti sabar menunggu
………. selama beberapa hari untuk akad nikah ini
………. supaya bunga mawar itu berputik
………. dan duri dibuang dari pintu gerbang taman itu

Apabila Qais mendengar berita tentang perkahwinannya, dia melarikan diri dari perkhemahan suku kaumnya dan mula mengembara di sekitar padang pasir. Keluarganya akhirnya putus asa menunggu kepulangannya dan meninggalkan makanan untuknya di sekitar kawasan pergunungan itu. Dia kadang-kadang boleh dilihat membaca puisi untuk dirinya sendiri atau menulis di pasir dengan kayu.

Setelah berkahwin, Laila berpindah ke sebuah tempat di bahagian utara Arab bersama-sama suaminya, lalu dia jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Laila mati kerana patah hati tidak dapat melihat kekasihnya. Dikatakan bahawa selepas suaminya meninggal dunia, dia ingin bertemu semula dengan Qais, tetapi dia diminta berada dalam keadaan berduka selama dua tahun. Akhirnya, Laila meninggal dunia dalam keadaan bersendirian. Qais kemudian menjumpai kuburnya dan berlalu di sebelahnya, dan mereka akhirnya bersatu dalam kematian. Qais ditemui meninggal dunia di padang pasir, berhampiran kubur Laila. Dia mengukir tiga rangkap syair di atas batu berhampiran kubur, yang dipercayai merupakan puisinya yang terakhir yang dinisbahkan kepadanya.

Fenomenologi psikologi yang tergambar menerusi penderitaan batin dalam kisah Laila dan Majnun ini tidak pernah gagal mengheret peminat romantisisme dan pencinta kemanusiaan untuk menghayatinya secara mendalam tentang lingkungan kesedaran atau ketidaksedaran.

Dari segi riwayat hidup, Laila merupakan anak kepada sepupu Qais, kedua-duanya berasal daripada suku Hawazin dan Ka’ab. Nama penuh Qais ialah Qais bin Al-Mulawwah bin Muzahim bin ‘Ads bin Rabi’ah bin Ja’dah bin Ka’ab, manakala nama penuh Laila ialah Laila binti Mahdi bin Sa’ad bin Muzahim bin ‘Ads bin Rabi’ah bin Ja’dah bin Ka’ab. Qais dilahirkan pada tahun 24 Hijrah bersamaan dengan 645 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 68 H/688 M, manakala Laila lahir pada tahun 28 H/648 M tetapi tidak diketahui tahun meninggalnya.

Fenomenologi psikologi yang tergambar menerusi penderitaan batin dalam kisah Laila dan Majnun ini tidak pernah gagal mengheret peminat romantisisme dan pencinta kemanusiaan untuk menghayatinya secara mendalam tentang lingkungan kesedaran atau ketidaksedaran.

Lingkungan kesedaran merujuk sistem nilai yang meliputi refleksi nurani, harga diri dan takwa kepada Tuhan, cara pandang seperti kebersamaan dan kecerdasan, dan perilaku seperti keramahan yang tulus dan kesantunan. Manakala lingkungan ketidaksedaran sebagaimana yang dijelaskan oleh Carl Gustav Jung (1875 – 1961), ahli psikologi Switzerland, merujuk tenaga dalaman yang aktif dan kreatif, lazimnya dikaitkan dengan naluri yang menyimpan banyak kekuatan antagonis yang terus bergerak daripada gelap kepada cerah atau sebaliknya, dan baik kepada jahat atau sebaliknya, dengan penuh kerumitan dan begitu subjektif.

Dengan menghayati simbol-simbol yang digunakan untuk memberi gambaran tentang perilaku manusia, maka struktur fundamental realiti yang berkaitan secara langsung dengan pengalaman dapat difahami, dan dengan pantasnya, dapat dijelmakan dalam bentuk empati yang mengembalikan esensi kepada eksistensi. Atau dengan bahasa mudah, mengembalikan semula manusia kepada inti pati kehidupan, iaitu dasar kasih sayang.

Kisah Qais yang tidak dapat bersatu dengan Laila di alam dunia mungkin boleh dipandang dari pelbagai perspektif positif dan negatif, misalnya sikap kedua-duanya yang seolah-olah tidak mempunyai motivasi diri dan bersendirian, tetapi pada masa yang sama mempunyai akal yang cerdas dan daya adaptasi yang tinggi dengan persekitaran ketika mengingati orang yang tersayang. Akan tetapi, pada akhirnya membawa kepada satu rumusan penting, iaitu kasih sayang ialah fitrah yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Dalam kasih sayang, terkandungnya hak yang wajar dipertimbangkan dan dipenuhi.

Maka tidak hairanlah apabila kisah ini mudah mencairkan emosi orang ramai di mana-mana sahaja, termasuk negara ini. Menariknya, kisah ini menjadi pembuka gelanggang dalam industri perfileman dan panggung wayang gambar, malah merupakan filem Melayu pertama yang ditayangkan di Tanah Melayu. Menurut sumber tulisan Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka (Penerbit UKM, 1997) dan Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah (DBP, 1990) tulisan Jamil Sulong, penerbitan filem Melayu ini telah diusahakan oleh Encik Chisty, seorang ahli perniagaan di Singapura pada tahun 1933.

Keratan akhbar yang menampilkan maklumat produksi dan tayangan filem Melayu pertama di Tanah Melayu ketika itu, Leila Majnun.

Filem ini diarahkan oleh Balden Singh Rajhans, warga India dan diterbitkan oleh sebuah syarikat yang bernama Motilal Chemical Company milik Rai Bahadur Seth dari Calcutta. Antara para pelakon yang membintangi filem Melayu pertama ini termasuklah Pak Suki, Cik Tijah, Yem, Sharif Medan, Fatimah Jasman, Syed Ali bin Mansor, dan Khairuddin. Pelakon-pelakon ini boleh dikatakan semuanya terdiri daripada mereka yang sudah berpengalaman berlakon dalam cerita bangsawan. Pada ketika itu, cerita-cerita bangsawan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, malah dianggap sebagai bentuk hiburan terawal di Tanah Melayu.

Pemilihan kisah Laila dan Majnun untuk dijadikan filem pembukaan dalam industri pawagam di Tanah Melayu adalah kerana filem yang diadaptasikan daripada kisah klasik Arab itu berjaya mencatat jualan tiket yang sangat memberangsangkan di India. Rai Bahadur telah menerbitkan filem tersebut dan menayangkannya di India pada tahun 1932 dalam versi Hindustan. Dengan menggunakan resipi yang sama, beliau membawa masuk Rajhans ke Singapura untuk mengarahkan filem tersebut tetapi dengan mengambil anak-anak tempatan berlakon.

Filem ini menelan belanja kos penerbitan sebanyak $5000. Filem ini akhirnya menemui peminat menerusi tayangan sulung di Marlborough Theatre, Singapura pada 27 Mac 1934 yang berkebetulan jatuh pada sambutan Hari Raya Aidiladha. Filem ini juga turut ditayangkan di Ritz Geylang, Singapura.

Pada tahun 1962, filem ini telah dibuat semula di bawah arahan B.N. Rao, manakala pelakon utamanya ialah Nordin Ahmad dan Latifah Omar. Filem yang diterbitkan oleh Cathay-Keris Film Productions itu berjaya mencatatkan pecah panggung, mengulangi pencapaian filem Hang Jebat pada tahun sebelumnya yang turut menggandingkan kedua-dua pelakon itu sebagai teraju utama.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, kisah ini tidak pernah gagal memberikan inspirasi kepada peminat dan penggiat seni. Paling terbaharu ialah filem Layla Majnun versi Indonesia yang diolah semula dalam bentuk percintaan yang tumbuh bersemi tetapi terhalang oleh budaya dan tradisi. Filem yang diterbitkan pada tahun 2021 ini menampilkan Acha Septriasa sebagai Laila, Baim Wong sebagai Ibnu dan Reza Rahadian sebagai Samir.

Kredit Gambar: Ilustrasi Laila menemui Qais di dalam belantara dalam Khamsah (1350) Amir Khusro.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.