Oleh wirasukma
31 Mac 2021, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu –Perjuangan untuk memartabatkan kesusasteraan tanah air tidak harus terhenti meskipun dunia hari ini dilanda oleh pandemik COVID-19. Justeru, menyedari hakikat itulah Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) serta Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2021 bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2021 bertempat di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur, Kota Bharu, Kelantan secara dalam talian. Sambutan yang diterima amatlah menggalakkan, malah pesertanya bukan sahaja dari negeri Kelantan tetapi seluruh negara. Pihak urus setia terpaksa mengehadkan penyertaan kepada hanya 100 orang sahaja atas alasan kekangan talian yang terhad.

Antara objektif mengadakan bengkel tersebut adalah untuk membimbing peserta mendalami serta menguasai genre penulisan puisi, cerpen dan rencana. Selain itu, pihak penganjur berhasrat untuk melahirkan lebih ramai penulis kreatif yang berbakat dan berpotensi bagi mengisi ruang-ruang penulisan sedia ada, dalam media bercetak ataupun dalam talian.

Beberapa penceramah jemputan diundang menyampaikan ceramah mereka secara dalam talian. Antara penceramah yang diundang termasuk Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari, Dr. Shamsudin Othman, Dr. Maskiah Hj. Masrom, Dr. Abdullah Yusof, S.M. Zakir, Hj. Abdul Mubin Ismail, dan Nimoiz TY. Bagi slot sesi penciptaan dan pemurnian karya pula, peserta dibimbing oleh beberapa orang fasilitator yang terdiri daripada Dr. Muhamad Fadzil Yusof, Dr. Abdullah Yusof, Hj. Ezani Hj. Daud, Hj. Aminuddin Mamat, Mohd. Zizee Setapa, dan Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik.

Sesi bengkel dijalankan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Pada minggu pertama dan kedua, peserta akan mengikuti ceramah-ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan. Mereka akan didedahkan dengan teori serta pengalaman oleh para penceramah. Pada minggu keempat dan kelima pula, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan dibimbing oleh fasilitator-fasilitator berpengalaman. Karya-karya yang dihasilkan akan dibedah serta dimurnikan bersama-sama fasilitator masing-masing.

Pada peringkat permulaan, sesi bermula pada 19 Februari 2021 dengan penyampaian ceramah oleh Nimoiz TY (Puisi) dan Dr. Maskiah Masrom (Cerpen). Pada hari kedua pula, slot ceramah telah dikendalikan oleh Dr. Abdullah Yusof (Rencana) dan diikuti oleh SM Zakir (Cerpen). Pada minggu berikutnya, iaitu 26 Februari 2021, para peserta telah berinteraksi dengan Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari dan diikuti dengan ceramah tentang puisi oleh Hj. Abdul Mubin Ismail. Sesi bersama penceramah jemputan berakhir pada 27 Februari 2021 dengan menampilkan Dr. Shamsudin Othman.

Bermula pada 5 Mac 2021, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk sesi penciptaan dan pemurnian karya dengan dibantu oleh fasilitator-fasilitator berpengalaman bagi setiap kumpulan. Antaranya, termasuk Dr. Muhamad Fadzil Yusof (Puisi dan Cerpen), Dr. Abdullah Yusof (Rencana), Hj. Ezani Hj. Daud (Puisi dan Cerpen), Mohd. Zizee Setapa (Puisi dan Cerpen), Hj. Aminuddin Mamat (Puisi dan Cerpen), dan Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik (Cerpen).

Setiap karya akan dibicarakan serta ditambahbaikkan supaya lebih mantap dan kemas bagi tujuan penghantaran kepada pihak penerbitan. Sesi pembedahan karya akan disusuli dengan sesi pemurnian karya oleh para fasilitator berserta para peserta. Sesi ini memerlukan penelitian dan kekemasan ketika menghasilkan karya. Setiap peserta wajib menyiapkan sekurang-kurangnya sebuah karya pada akhir sesi dengan bantuan para fasilitator masing-masing.

Sebagaimana lazimnya, pihak penganjur akan mengumpul karya-karya peserta yang dihasilkan sepanjang berbengkel dan dibukukan dalam antologi. Saban tahun, GEMA mengambil inisiatif untuk menerbitkan antologi puisi dan cerpen hasil karya para peserta bengkel. Karya-karya yang termuat dalam antologi tersebut akan dinilai oleh pihak panel penilai Sayembara Penulisan Kreatif 2021 untuk diberi hadiah.

Sebanyak tiga karya terbaik akan dipilih bagi memenangi hadiah utama, manakala tujuh karya akan diberi hadiah penghargaan bagi setiap kategori, iaitu puisi dan cerpen. Para pemenang akan diraikan dalam satu majlis khas yang akan diadakan kemudian.

Kemuncak pengisian Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif GEMA 2021 dalam talian ini berakhir dengan sesi Bicara Editor yang berlangsung pada 27 Mac 2021. Beberapa orang editor tamu dari DBP telah dijemput untuk sesi ini, diketuai oleh Hj. Razali Che Mat, Pengarah Penerbitan, Bahagian Penerbitan DBP. Turut dijemput untuk sesi ini ialah Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP dan Puan Nurul Julia Alani Henry, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP. Sesi bersama-sama ketiga-tiga editor ini berlangsung secara dalam talian dari DBP Kuala Lumpur dan berinteraksi dengan para peserta yang berada di Dewan Seminar, DBPWT.

Peserta juga berpeluang bersemuka dengan Encik Mohd Nazmi Yaakub, Pengarang Berita dan Kandungan Berita Harian serta Puan Norzana Razaly (Zanazanzaly), Pengarang majalah Qiadah di Dewan Seminar. Keseluruhan sesi ini dapat diikuti melalui Facebook dan juga secara dalam talian oleh para peserta dari luar negeri Kelantan. Para peserta dapat berlintas langsung dengan para editor serta berdialog dengan mereka.

Majlis perasmian penutup berlangsung pada 27 Mac 2021 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Hasan Mahamood, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan mewakili Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Md Anizam Ab. Rahman.

Turut hadir menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah DBP, diiringi Yang Berusaha Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur, serta Yang Berbahagia Dato’ Haji A. Aziz Derarman, mantan Ketua Pengarah DBP merangkap Presiden Peradaban. Acara berakhir dengan majlis pelancaran tiga buah buku yang diterbitkan oleh GEMA hasil karya para ahlinya oleh Dato’ Haji Hasan Mahamood.

Buku-buku yang dilancarkan ialah antologi pantun Kelantan dalam Pantun yang memuatkan pantun-pantun yang ditulis oleh para penulis dari Kelantan. Manakala dua buah buku lagi ialah kumpulan puisi Bayang-bayang di Air karya Ezani Haji Daud serta kumpulan cerpen Dalam Lebat Hujan hasil karya Noor Aneta Salleh yang kedua-duanya ahli GEMA.

Melalui ucapannya, Dato’ Haji Hasan melahirkan hasrat serta menyandarkan harapannya kepada para penulis Kelantan agar terus berkarya dengan lebih tekun demi memartabatkan seni sastera dan budaya Kelantan yang mendapat jolokan “lubuk budaya dan sastera”. Sememangnya, terdapat ramai tokoh dan penulis besar pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa lahir di negeri ini.

Encik Zainal Abidin Muhamad, Ketua Satu GEMA mengucapkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini serta berharap agar para peserta bengkel dapat mempertajamkan ilmu penulisan masing-masing, khususnya dalam penulisan kreatif ini. Tidak mustahil jika suatu hari nanti mereka muncul sebaris dengan penulis-penulis besar di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.