26 Mac 2021, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hampir kesemua filem U-Wei Haji Saari, pengarah filem, menyentuh tentang keterasingan, terutamanya peranan wanita dalam masyarakat.

Penekanan citra wanita dalam filem beliau menyerlah kerana sanjungan beliau terhadap mereka. Salah satu filemnya yang amat menekankan wanita ialah Hanyut (2012).

Hanyut merupakan karya filem yang telah diadaptasi daripada novel Almayer’s Folly oleh Joseph Conrad. Novel tersebut sebenarnya salah satu pemberian daripada tiga novel oleh arwah isteri pertamanya, termasuk cerpen “Barn Burning” oleh William Faulkner yang telah diadaptasi kepada filem Kaki Bakar (1995).

Oleh sebab Almayer’s Folly menjadi salah satu novel yang digemari oleh U-Wei, beliau telah mula membuat kajian terhadap novel tersebut melalui pembacaan tesis-tesis akademik.

“Saya juga telah berjumpa dengan profesor dari dalam dan luar negara, iaitu di England, Poland dan Malaysia,” jelas beliau.

Beliau menjelaskan, seorang daripada profesor yang telah menulis kajian tentang novel Almayer’s Folly ialah seorang wanita, dan beliau sangat meminati unsur feminisme yang ditunjukkan dalam novel tersebut.

Walaupun profesor tersebut meletakkan Mem sebagai unsur feminisme, U-Wei berpendapat bahawa Nina yang sebenarnya membawa watak yang penting. Hal ini demikian kerana, Ninalah yang sebenarnya menjadi simbol hasil penjajahan.

“Oleh itu, apabila membuat filem Hanyut, saya meletakkan Nina sebagai watak yang penting kerana minat saya tentang hasil penjajahan yang juga melambangkan hasil kemerdekaan.”

U-Wei berharap agar novel ketiga yang diberi oleh arwah isterinya itu dapat dihasilkan dalam bentuk filem seperti dua novel yang lain. Hal ini demikian kerana beliau amat mempercayai firasat isterinya.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjemput U-Wei dalam rancangan Sembang Tamu yang bertemakan “Liku-liku Mengadaptasi Filem” pada 24 Mac yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.