Oleh Fudzail
18 Mac 2021, 13:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wabak COVID-19 terus melanda, namun penulis tetap menulis. Fudzail meneliti perubahan dan perkembangan ketara sastera digital dari sisi kelebihan orang kurang upaya dan fenomena maya yang dibawanya.

Kemajuan media sosial yang rencam dan pelbagai dalam dunia global sebebarnya mampu menyemarakkan kesusasteraan secara amnya.

Pandemik COVID-19 yang berlaku buat masa ini menjejaskan kehidupan di seluruh dunia, tidak kira siapa dan statusnya. Baik di sektor awam dan swasta, mahupun dunia sastera dan perbukuan. Termasuklah orang kurang upaya atau OKU yang selama ini tidak dipedulikan, malah terus terpinggir.

Dalam hal ini, kita tidak perlu menyalahkan sesiapa kerana wabak ini yang terjadi di Wuhan, China, telah menyerang ke merata tempat walau di Antartika. Warga dunia perlu menanganinya dengan sabar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan.

Sastera Era Pandemik

Dengan platform digital, aksesnya kini hanya di hujung jari sahaja untuk maklumat dan bahan sastera di internet.

Perkataan ‘sastera’ berasal daripada kata bahasa Sanskrit, ‘sastra’, yang bermaksud “kitab suci”. Kesusasteraan pula membawa maksud penghasilan sastera yang disampaikan melalui tulisan, pembacaan, pendengaran dan lisan.

Sastera ialah bidang seni kreatif yang menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Sastera sudah bermula sejak tradisi lisan muncul dalam masyarakat dan terus berkembang kepada penulisan, mengikut peredaran zaman. Terkini, sastera beralih kepada platform digital, iaitu internet dan media sosial. Bahkan akhir-akhir ini, sewaktu wabak COVID-19 berleluasa dan masyarakat perlu berkurung di dalam rumah, media sosial menjadi tarikan utama bagi pengguna internet mengisi masa lapang. Malah, Malaysia merekodkan jumlah penggunaan internet kedua tertinggi di dunia sewaktu tiga hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.

Sememangnya, platform digital atau maya telah membawa perubahan dan perkembangan yang cukup besar dalam urusan media massa. Antara ciri biasanya termasuklah dapat diakses dengan mudah serta cepat dan boleh ditulis, dibaca dan didengar (jika berbentuk buku audio atau audio siar [podcast]) di mana-mana sahaja dengan telefon pintar yang juga semakin canggih dan nipis bentuk fizikalnya.

Itulah kelebihan bagi seorang (pengguna) OKU yang mungkin tidak dapat menikmati kemudahan yang sama seperti orang biasa yang cukup sifatnya. Dengan platform digital, aksesnya kini hanya di hujung jari sahaja untuk maklumat dan bahan sastera di internet. Malah, perkembangan platform ini terus meluas, khususnya dalam aplikasi (disebut sebagai Apps) permainan dan media sosial (seperti Tik Tok) yang terus melalaikan pengguna.

Manfaat OKU dalam Sastera Digital

Aplikasi sebegini amat sesuai untuk OKU yang mahu bergiat dalam bidang sastera dan ingin karya-karyanya dibaca oleh massa.

Kemajuan media sosial yang rencam dan pelbagai dalam dunia global sebebarnya mampu menyemarakkan kesusasteraan secara amnya. Pada tahun 2021, ramai penulis yang sudah menggunakan media sosial sebagai platform yang cukup berkesan, terutamanya dalam penerbitan e-buku. Saya sendiri, sudah berjaya menghasilkan dan memasarkan karya sastera dalam platform digital bagi mendekatkannya kepada masyarakat.

Dalam hal ini, aplikasi Wattpad menjadi batu loncatan terbaik bagi penulis menghasilkan karya-karya hebat tanpa perlu bergantung pada para penerbit konvensional. Malah, sudah ramai penulis yang telah popular melalui Wattpad. Penulis-penulis ini tidak mengenal peringkat umur dan latar belakang pendidikan. Kemunculan Wattpad memberi galakan untuk mereka mencurah bakat secara berterusan.

Mungkin aplikasi sebegini amat sesuai untuk OKU yang mahu bergiat dalam bidang sastera dan ingin karya-karyanya dibaca oleh massa. Sehingga kini, karya-karya sastera Malaysia masih lagi bergantung pada penerbitan konvensional, seperti Dewan Sastera yang kini sudah diterbitkan secara dalam talian.

Karya sastera dalam talian pun bukanlah sesuatu yang baharu dan segar. Karya terbitan sebegini sebenarnya sudah bermula pada akhir 1990-an apabila terdapat penulis blog peribadi yang menghimpunkan karyanya untuk diterbitkan sebagai buku fizikal, baik dalam genre novel, cerpen, esei, mahupun puisi. Kini, ada pula sasterawan dan penyair yang menggunakan YouTube untuk bersajak dan berpuisi. Di Facebook sahaja, sudah banyak nama pena dan “avatar” yang muncul untuk mempromosi karya dan bakat demi capaian dan sambutan warganet.

Dalam hal ini, Media sosial mempunyai kelebihan kuasa hebahan dan penyebaran karya sastera. Malah, karya sastera di internet sudah mula dijejaki oleh peminat sastera di seluruh dunia. Namun begitu, terdapat juga kekurangannya. Kebiasaannya, akses media sosial adalah percuma walaupun mempunyai puluhan ribu peminat.

Sudah tentu dalam hal ini, baik penulis biasa atau penulis OKU, tidak mungkin mampu terus menulis tanpa menghiraukan kewangan. Sudah tentu dalam kehidupan seharian OKU yang sukar dan rumit untuk bergerak bebas tidak akan mampu untuk terus berkarya dalam media sosial selama-lamanya.

Oleh itu, terdapat sinar yang terang apabila terdapat beberapa penerbit yang berminat untuk membukukan karya yang tersiar dalam aplikasi Wattpad. Malah, karya-karya ini akan dipasarkan secara terbuka.

Malah, dengan kemunculan platform digital pada alaf ini, telah menyuntik nafas baharu untuk dunia sastera terus relevan dengan dunia yang melangkah masuk ke era Revolusi Perindustrian 4.0.

Oleh sebab pandemik ini masih melanda negara, kita mungkin tidak dapat menyangkal akan muncul pula sastera pintar (dengan penerokaan baharu kecerdasan buatan dan alogoritma) pada masa akan datang. Malah, mungkin sahaja kemunculannya dipercepatkan kerana hakikat keadaan dunia sekarang. Bagaimanakah pula bentuknya dan adakah prakarsa baharu ini akan mengancam penulis sedia ada? Hanya masa yang dapat menentukan.

_________________________

Fudzail atau nama penuhnya, Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di Emiriah Arab Bersatu selama 18 tahun. Beliau pernah bekerja di TV3 dan menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan BH Ahad. Beliau juga merupakan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.