Oleh S. Idzam Jamil
22 Disember 2022, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Malam Manifestasi Seni Puisi merupakan antara program pertama yang akan diadakan pada tahun 2023 melibatkan DBP Cawangan Sarawak dengan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) Cawangan Kuching.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa ICT dan Braille, Encik Adzohari Jamil, program yang dijangka akan diadakan pada awal Februari 2023 itu bertujuan mengangkat martabat seni puisi dalam kalangan masyarakat setempat dan seterusnya memberikan peluang kepada orang kurang upaya (buta penglihatan) mempamerkan bakat masing-masing. Beliau menyatakan sedemikian ketika mengetuai rombongan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) Cawangan Kuching semasa kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Menurut beliau lagi, program ini merupakan kesinambungan daripada bengkel lagu puisi yang pernah diadakan sebelum ini. Menerusi pertemuan tersebut, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dalam ucapan alu-aluannya menyatakan harapan serta kesudian pihak DBP Cawangan Sarawak untuk bekerjasama dengan SSB Cawangan Kuching bagi menjayakan program ini. Tambah beliau, program ini mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana melibatkan orang kurang upaya (buta penglihatan) mempamerkan bakat masing-masing.

Perbincangan antara DBP Cawangan Sarawak dengan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) Cawangan Kuching.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa pihak DBP Cawangan Sarawak sentiasa menyokong kegiatan yang melibatkan bahasa dan sastera dan bersedia untuk bekerjasama dari segi tenaga dan produksi serta menyediakan tempat persembahan di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak. Menurutnya lagi, program seperti ini harus diberikan keutamaan kerana kegiatan bahasa dan sastera seperti ini amat jarang diadakan terutamanya melibatkan orang kurang upaya.

Menurut Encik Adzohari Jamil, Malam Manifestasi Seni Puisi ini juga akan melibatkan beberapa persembahan seperti nyanyian lagu puisi, deklamasi puisi, syair, dekon dan pelbagai persembahan lain. Menariknya lagi, pada malam tersebut akan diadakan pelancaran album lagu puisi ciptaan pihak tunanetra yang terdiri daripada ahli SSB hasil daripada bengkel lagu puisi yang diadakan sebelum ini. Tetamu kehormat yang dijangka hadir pada malam tersebut ialah YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak. Pada penghujung pertemuan, Encik Adzohari Jamil menyampaikan cenderamata hasil kraf tangan daripada SSB Cawangan Sarawak kepada Encik Abang Haliman Haji Abang Julai.

Encik Adzohari Jamil sedang menyampaikan taklimat berkaitan dengan program yang bakal dianjurkan.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Encik Abdul Rasid Haji Subet, Pemangku Timbalan Pengarah Pembinaan, Penyelidikan Sastera dan Bahasa, Encik Nasir Hamid, Pegawai Unit Komunikasi Korporat DBP Cawangan Sarawak dan Encik Shamsul Idzam Jamil selaku pegawai projek bersama Malam Manifestasi Seni Puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.