Oleh Khairun Haneffa
16 Februari 2022, 09:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Buku terbaharu terbitan Tinta Karya.

Tangkak – Persatuan Pengkarya dan Pencinta Seni Tinta Karya (Tinta Karya) mengadakan majlis pelancaran 14 buah buku terbitan persatuan itu pada 22 Januari 2022 lalu dalam suasana sederhana tetapi meriah.

Buku terbaharu yang diterbitkan oleh Penerbitan Tinta Karya berjudul Kluster Seri Paya menghimpunkan puisi dan catatan pengalaman mereka yang dikuarantinkan akibat jangkitan COVID-19.

Penasihat Tinta Karya, Profesor Madya Dr. Zaleha Kassim dalam ucapan pelancaran berkata, setiap penulis kreatif terutama penulis pemula perlu diberikan bimbingan berkaitan teknik serta asas penulisan dalam pelbagai genre yang mereka minati.

Katanya, kolaborasi bersama antara persatuan penulis dengan institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesenian dan kesusasteraan berupaya membina golongan penulis yang berilmu.

“Bidang penulisan yang menjadi fokus utama, maka kita perlu dapatkan banyak pendedahan dalam bidang tersebut dengan merujuk kepada pakarnya supaya karya yang dihasilkan lebih baik,” katanya pada Majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan Tinta Karya di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir.

Hadir sama, Pengerusi Tinta Karya, Dato’ Ab. Ghafar Nin; Timbalannya, Mohd Noh Mohamed; Dr. Nur Shuhadah Mohd dari Kuliyyah Bahasa dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Pagoh; serta ahli Gabungan Penulis Tinta Karya dari seluruh negara.

Sementara itu, Dato’ Ab. Ghafar berkata, pelancaran 14 buah buku karya ahli Gabungan Penulis Tinta Karya diterbitkan sepanjang tahun 2020 hingga 2021 berbentuk antologi puisi bersama, kumpulan puisi persendirian dan catatan pengalaman.

Katanya, ketika negara dalam suasana pandemik COVID-19 yang turut membataskan pergerakan, golongan penulis tidak melepaskan peluang untuk berkarya dengan menyertai projek penerbitan buku secara swaterbit yang dianjurkan oleh persatuan.

“Walaupun mereka mengeluarkan modal sendiri bagi menerbitkan buku-buku tersebut, namun kos penerbitan menjadi ringan apabila mereka berkongsi modal untuk mencetak sekali gus memiliki buku sendiri.

“Kami akan terus mendokumentasikan karya ahli dalam bentuk buku supaya dapat ditatap oleh semua generasi dan menjadi bahan bacaan untuk ditempatkan di perpustakaan bagi menggalakkan masyarakat membaca,” jelasnya.

Menurutnya, antara buku yang dilancarkan pada majlis tersebut termasuk antologi puisi bersama Ramadan Kareem, Bahtera Merdeka, Pasrah, Tinta Karya, Tikar Perpaduan, dan Gemilang 64 yang menghimpunkan karya Gabungan Penulis Tinta Karya.

Bagi kumpulan puisi pula, Garis Sempurna (lima penulis Tinta Karya), Maafkanlah (Mohd Aris Sutan, Melaka), Suara Hati (Abd Aziz Ali, Perak), dan Simpang 4 (Mameq Tq2, Tangkak). Turut dilancarkan, buku tulisan Mohamed MN, Kampung Solok, Bingkisan Kenangan dan Gelang Merah Jambu.

Penasihat Tinta Karya, Prof. Madya Dr. Zaleha Kassim (duduk kiri) dan Pengerusi Tinta Karya, Dato’ Ab. Ghafar Nin (duduk tengah) bergambar bersama ahli Gabungan Penulis Tinta Karya selepas majlis pelancaran buku.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.