Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang telah bersama-sama menganjurkan Bengkel Cerpen Pasca-COVID-19 pada 2 Julai 2022 bertempat di Pejabat Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Bukit Jambul, Pulau Pinang. Bengkel ini diadakan untuk memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat mendalami ilmu penulisan cerpen.
Tuan Haji Hasan Baseri Budiman, penulis tersohor tanah air diundang untuk membimbing bengkel ini. Beliau yang merupakan Munsyi Sastera dan Guru Cemerlang Kesusasteraan Melayu banyak berkongsi maklumat tentang cerpen dan penulisan cerpen. Menurut beliau, antara prasyarat untuk menjadi penulis termasuklah menjadikan buku sebagai teman akrab penulis. Tambah beliau, sebagai langkah pertama bagi bergelar cerpenis ialah dengan membaca cerpen yang dihasilkan oleh penulis mapan agar dapat dijadikan sebagai motivasi kepada bakal penulis. Antara ciri-ciri cerpen yang bermutu seperti yang dinyatakan oleh Hasan termasuklah kesan yang diterima daripada mesej dalam cerpen tersebut yang dapat dirasai sanubari pembaca.
Dalam masa yang sama, Hasan menyarankan kepada peserta supaya memulakan penulisan cerpen yang bersumberkan daripada pengalaman diri sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis akan lebih akrab dan mempunyai lebih penghayatan terhadap mesej dan naratif yang ingin diketengahkan memandangkan penulis menulis perihal diri secara langsung.
Dalam ucapan penutup, Presiden Karyawan Pulau Pinang, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz menyatakan harapannya agar para peserta dapat menghasilkan cerpen mengikut panduan dan bimbingan yang telah diberi melalui bengkel ini. Karya cerpen yang bakal dihasilkan bertemakan tentang ragam kehidupan selepas pandemik COVID-19. Karya tersebut akan dihimpunkan dan diterbitkan dalam bentuk antologi cerpen untuk tatapan masyarakat.
Kredit Foto: Dimitri Karastelev/Unsplash