16 Mac 2021, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak tahun 19872020, sudah 34 kali Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK).

Maknanya, sudah ada 34 orang juara SDPK sejak Puzi Hadi, juara pertama sehingga yang terbaharu, Mohd. Aqi Mohd. Azmi (2020) dinobatkan. Tidak semua juara SDPK aktif mendeklamasikan sajak dalam acara peringkat kebangsaan, dan negeri. Antara sebabnya termasuk tiada jemputan, kesibukan tugas hakiki, dan telah meninggal dunia.

Selain Puzi, yang masih aktif mendeklamasikan sajak dalam acara berkaitan ialah Ahmad Shukri Abdullah (juara SDPK 1996). Walaupun dalam kebanyakan penampilan, Puzi dan Shukri melihat teks, tetapi kehebatan mereka sebagai juara SDPK tetap dihargai.

Menyebut tentang deklamasi sajak, dapatkah kegiatan tersebut menjadi kerjaya di negara kita? Secara peribari, tiada salahnya, selagi tidak menyalahi undang-undang negara – prinsip keempat Rukun Negara: Kedaulatan Undang-undang. Cuma, memang hal ini sukar untuk menjadi kenyataan. Sebab itulah timbul persoalan: Dapatkah?

Ada kerjaya bererti ada pendapatan, baik kecil atau besar. Jumlah penyajak atau deklamator yang wujud atau berkemampuan juga tidak ramai kerana menulis sajak itu sendiri bukanlah kerjaya sepenuh masa di negara kita.

Pada keseluruhannya, menulis dan mendeklamasikan sajak di negara kita merupakan “kerja” sambilan. Setiap orang ada kerjaya dan bergaji tetap secara bulanan. Anak muda masih bekerja atau belajar. Pesara pula menghadapi kekangan kesihatan dan tenaga akibat peningkatan usia. Namun demikian, tetap menarik jika mendeklamasikan sajak menjadi kerjaya di negara kita. Mungkin ada pihak yang mahu memberikan bayaran kepada deklamator sepenuh masa. Mendeklamasikan sajak, jika kena gayanya, turut menghiburkan.

Jika ada penari kebudayaan yang bergaji tetap secara bulanan dalam Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), mengapa tidak untuk deklamator?

Mamu MK Hasmy

Beberapa orang penulis berbeza pandangan dalam hal ini. Mamu MK Hasny berpendapat barangkali bilangan dan aura juara SDPK akan hilang kerana semakin kurang mendapat undangan daripada badan-badan tertentu.

Walau bagaimanapun, Mamu mempersoal tindakan GAPENA terhadap juara-juara SDPK. Beliau tidak menuduh, tetapi merasakan juara deklamator yang beraksi, djemput atas dasar pilih kasih.

Mamu yang menetap di Sitiawan, Perak, membuat kesimpulan yang pendeklamasian sajak tidak akan menjadi kerjaya bergaji bulanan di negara kita kerana Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia mahupun JKKN sendiri tidak menganggapnya penting.

Penyair veteran dari Kuala Nerang, Kedah, Ahkarim, menganggap idea dan cadangan ini hanya mimpi walaupun tidak salah – bermimpi itu percuma. Bagi persoalan “deklamasi sajak sebagai satu hiburan”, Ahkarim mengatakan hiburan boleh membuat keuntungan, dan kini sudah ada banyak unsur hiburan percuma. Namun begitu, beliau bertanya, sejak bila deklamasi sajak itu satu hiburan, dan mengapa kita perlu membayar untuk menontonnya?

Walaupun kurang yakin, Ahkarim tetap mengatakan mungkin ada orang yang mahu memberikan gaji bulanan kepada deklamator profesional.

Asimo S pula menganggap cadangan ini tidak salah jika ada ruang atau peruntukan. Baginya, Sasterawan Negara yang masih hidup, turut diberikan elaun bulanan oleh kerajaan.

Dalam hal ini, Asimo menggesa GAPENA dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk menyokong dengan menyediakan imbuhan kepada deklamator-deklamator yang jelas profesional dalam deklamasi. Tambahnya, GAPENA dan PENA juga perlu menyuarakan masalah ini agar mendapat saranan atau teguran. Bukan soal banyak atau sedikit, tetapi hargailah deklamator yang telah mewarnai acara bertaraf kebangsaan di negara kita dengan sepenuh tenaga dan jiwa. Semangat patriotik mereka menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia.

Asimo juga berharap agar Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi institusi penting dan penghubung untuk merintis cadangan ini dengan memberikan sokongan moral dalam bentuk insentif.

Bagi penyar dari Kuala Kangsar, Perak, Al Hisyam, cadangan menjadikan deklamasi sajak sebagai kerjaya bergaji bulanan tidak salah. Walau bagaimanapun baginya, apakah nama jawatan deklamator berkenaan, dan tanggungjawab ini perlu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia atau Kementerian Komunikasi dan Multmedia Malaysia?

Pelakon teater yang turut menulis sajak, Nizam Yamin turut menyokong idea ini. Cuma, anak kelahiran Batu Pahat ini berpendapat yang pengelasan kerjaya tersebut perlu dilihat dengan lebih terperinci, terutamanya dalam bidang dan tugasan kerja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.