Oleh Firdaus Mul
12 Februari 2023, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Cerita rakyat merupakan salah satu sastera lisan yang terkandung dalam genre kesusasteraan Melayu. Cerita-cerita rakyat tersebut diwarisi dan disampaikan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya, selain berfungsi sebagai hiburan. Cerita rakyat juga berupaya untuk memberikan pendidikan kepada pendengarnya.

Sesi pertama Seminar Kesusasteraan Kedah yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dimulakan dengan pembentangan oleh Prof. Madya Dr. Nasirin Abdullah yang merupakan pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan merupakan salah seorang Munsyi Sastera. Beliau berkongsi kajian berkenaan dengan “Pendokumentasian Cerita Rakyat Kedah Kurang Popular – Satu Tinjauan”.

Pengumpulan cerita rakyat di Malaysia terutamanya cerita rakyat di negeri Kedah masih lagi memerlukan penyelidikan teliti khususnya secara ilmiah. Terdapat beberapa cerita rakyat di Kedah yang kurang popular di tempat sendiri, misalnya cerita asal usul Pendang, kisah Kubor Panjang, kisah Telagah Gajah, kisah Kampung Bukit Hijau dan Kampung Hangus.

Menurut beliau, kepentingan menekuni cerita rakyat dengan teliti berupaya untuk meningkatkan pengetahuan tentang masyarakat lampau, sekali gus menjadikan cerita rakyat tersebut sebagai teladan dan pengajaran kepada masyarakat kini mahupun generasi yang akan datang.

Prof Madya. Dr. Nasirin sedang mengemukakan hasil dapatan kajian beliau tentang cerita rakyat Kedah.

Kita di Malaysia sedikit terkebelakang apabila bercakap berkenaan dengan kajian yang melibatkan cerita rakyat, terutamanya dalam usaha kita untuk menyelongkar cerita rakyat yang kurang popular. Kalau kita perhatikan banyak kajian cerita rakyat berkisarkan kisah yang popular sahaja.

Ramai pengarang Barat mengambil sumber penulisan daripada cerita rakyat ataupun mitos berbanding dengan kita di Malaysia. Pada akhir perkongsian, beliau sempat menyatakan tentang kepentingan pendokumentasian cerita rakyat:

Pendokumentasian cerita-cerita rakyat terutamanya yang melibatkan orang-orang Melayu masih lagi perlu dipergiat agar menjadi tatapan generasi akan datang. Melalui cerita rakyat inilah kita akan dapat memahami leluhur bangsa sendiri dan pemikiran nenek moyang kita.

Seminar ini diadakan di Perpustakaan Negeri Kedah, Alor Setar Kedah. Bagi individu yang berminat untuk mengikuti seminar tersebut melalui siaran secara dalam talian bolehlah mengikutinya menerusi platform rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka di Youtube, Facebook, Twitter, dan Jendela DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.