Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDr. Khairul Nizam Zainal Badri menampilkan keberkesanan cerita rakyat sebagai wadah sastera yang mendidik masyarakat, khususnya kanak-kanak.
Istilah cerita rakyat merangkumi kepercayaan tradisional, kisah penglipur lara, adat resam, dan legenda, yang disampaikan secara lisan.
Cerita rakyat ialah cerita rekaan tradisional. Tradisional di sini bermaksud bahawa cerita itu telah disampaikan atau diriwayatkan daripada seorang periwayat kepada periwayat berikutnya yang meliputi bentuk dan gaya tersendiri yang cukup rencahnya untuk dikelompokkan bersama-sama cerita rakyat dari tempat atau negara lain, berdasarkan ciri-ciri unik naratif lisan yang dimilikinya.
Ciri-ciri unik naratif lisan yang menjadi kriteria untuk diangkat sebagai cerita rakyat adalah seperti berikut:
Pertama, cerita tersebut dikongsi secara lisan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Kandungan asas yang merujuk tujuan sebenar cerita itu disampaikan tidak pernah berubah, walaupun mungkin terdapat tokoh tambah.
Kedua, jalan ceritanya sangat mudah difahami. Tidak berbelit-belit dan kompleks. Tujuannya agar maksud yang disampaikan mudah dihadam dan dihayati.
Ketiga, kandungan ceritanya menyerlahkan watak-watak utama dan lazimnya menonjolkan dua pihak yang berlawanan perwatakannya, sama ada baik atau jahat, protagonis atau antagonis, untung atau rugi, pemurah atau tamak, memuliakan atau menderhaka, dan sebagainya.
Keempat, plot ceritanya biasanya melibatkan konflik atau masalah yang perlu diselesaikan. Watak-watak utama terlibat secara langsung dengan konflik atau masalah tersebut dan pendekatan yang digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut diberikan penekanan. Turut diberikan penekanan ialah kesan akibat seandainya masalah itu tidak diatasi.
Kelima, setiap kisah atau cerita yang melibatkan watak dan masalah akan berakhir atau ditutup dengan kesimpulan penting berupa nilai mulia atau pengajaran moral yang boleh dipupuk dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Istilah cerita rakyat merangkumi kepercayaan tradisional, kisah penglipur lara, adat resam, dan legenda, yang disampaikan secara lisan. Terdapat empat genre utama yang selalunya menjadi tumpuan masyarakat, iaitu dongeng, legenda, hikayat, dan mitos.
Dongeng ialah satu bentuk sastera lama yang menceritakan kejadian luar biasa yang berlaku terhadap watak utama yang menimbulkan kebahagiaan atau kesedihan. Fungsi utama dongeng adalah untuk menyampaikan pesan moral yang bersifat mendidik tetapi pada masa yang sama menghadirkan hiburan kepada khalayak pendengar.
Legenda pula ialah kisah yang berkaitan dengan tokoh-tokoh tertentu yang dipercayai pernah hidup satu masa dahulu dan sering dihubungkan dengan gaya atau peristiwa luar biasa sehingga menjadi satu identiti kebudayaan kepada masyarakat setempat. Hal yang menjadikan legenda berbeza daripada cerita sejarah ialah kisahnya yang bercampur aduk dengan fantasi dan sejarah apabila watak yang ditonjolkan mempunyai keajaiban yang berlebih-lebihan, melampaui fitrah atau sifat yang dimiliki oleh manusia.
Hikayat pula ialah sebuah karya sastera lama yang mengandungi unsur dalaman dan luaran yang membangunkan cerita tersebut. Unsur dalaman termasuklah amanat, ketokohan, keperibadian dan tema, manakala unsur luaran merujuk peristiwa yang berlaku (misalnya penjajahan dan kezaliman). Walaupun hikayat kelihatan seperti kisah sejarah namun pada masa yang sama turut menghimpunkan kisah-kisah yang tidak masuk akal dan penuh keajaiban.
Mitos merujuk cerita rakyat dahulu kala yang berlawanan dengan sifat duniawi kerana selalunya dikaitkan dengan bangsa dewa yang melibatkan peristiwa luar biasa yang tidak rasional dan tidak dapat diterima oleh akal manusia. Mitos mengandungi pentafsiran tentang alam semesta, manusia dan bangsa, sehingga ada kalanya kisah tersebut dianggap sebagai suci dan mulia. Disebabkan demikian, maka terdapat banyak pantang larang yang dikenakan untuk mematuhi kisah tersebut dan perbuatan mempersendakannya adalah dilarang.
Kelompok masyarakat yang paling menggemari cerita rakyat ialah kanak-kanak. Mereka mendengar cerita rakyat tanpa prejudis.
Hari ini, cerita rakyat dikongsi untuk menghibur, mendidik dan memelihara budaya masyarakat. Cerita rakyat dianggap sangat berharga kerana mencerminkan identiti budaya nasional dan sejagat. Cerita rakyat harus dianggap sebagai instrumen yang baik untuk memahami dan meningkatkan pertukaran pandangan dan sikap saling hormat-menghormati dalam budaya yang pelbagai.
Cerita rakyat tidak pernah gagal mempesonakan masyarakat daripada satu generasi kepada generasi berikutnya atas pelbagai sebab. Pertamanya, cerita ini melestarikan warisan dan sejarah yang terkandung dalam suatu bangsa termasuk menerangkan tentang asal-muasal, nilai peradaban, adat resam, serta kebudayaan yang berkaitan.
Kedua, cerita rakyat yang diturunkan daripada generasi kepada generasi biasanya dihadirkan dengan pakej pemodelan tingkah laku tentang cara menjalani kehidupan yang bermakna. Dari masa ke masa, cerita rakyat secara halus memasukkan ciri-ciri watak seperti penyayang, kepintaran, kepercayaan, atau keberanian ke dalam struktur cerita.
Ketiga, cerita rakyat juga memodelkan unsur-unsur membuat keputusan yang berkesan dan membawa mesej yang jelas tentang akibat jika tidak membuat keputusan dengan betul. Aspek penting yang diberikan penekanan dalam cerita rakyat ialah sikap bertanggungjawab. Apabila seseorang membuat keputusan yang baik sudah tentu akan menatijahkan hasil yang positif, sebaliknya apabila seseorang membuat keputusan yang buruk, pasti membawa kepada hasil yang negatif.
Kelompok masyarakat yang paling menggemari cerita rakyat ialah kanak-kanak. Mereka mendengar cerita rakyat tanpa prejudis. Mereka boleh mendengar apa-apa sahaja kisah yang didatangkan kepada mereka, asalkan kisah itu mempunyai watak dan jalan cerita yang boleh menarik perhatian mereka. Tanpa disedari, mereka telah meraikan kepelbagaian sifat atau ciri yang terdapat dalam kisah tersebut. Mereka mencerap pengalaman berharga yang terlukis dalam kisah-kisah yang disampaikan kepada mereka seperti nilai, kepercayaan, sejarah, amalan, dan adat budaya. Apabila kanak-kanak belajar tentang tradisi budaya yang pelbagai, mereka bukan sahaja meluaskan pandangan mereka tentang dunia, malah mereka juga dapat mengembangkan penghargaan yang lebih besar terhadap warisan keluarga mereka sendiri.
Cerita rakyat memudahkan kanak-kanak membezakan nilai kehidupan antara baik dengan jahat, mengembangkan pemikiran kritis apabila mengikuti perjalanan watak yang ditampilkan dan membangunkan keperibadian diri menerusi penghayatan terhadap ungkapan yang berupa motivasi, nasihat dan renungan untuk memperbaiki diri. Selain itu, kanak-kanak juga dapat mengembangkan kemahiran membaca mereka, misalnya dengan melancarkan bacaan di samping dapat menambah kosa kata dan meningkatkan keupayaan untuk memahami sesuatu peristiwa yang berlaku.
Fungsi terpenting cerita rakyat kepada masyarakat tanpa mengira usia adalah untuk memberi pengajaran dan pendidikan dalam menguruskan kehidupan. Sebagai contoh, dalam kisah Nakhoda Tenggang. Watak utamanya iaitu Si Tenggang yang telah membuang ibu dan bapanya kerana malu dengan status kemiskinan keluarganya setelah berkahwin dengan kerabat diraja akhirnya bertemu dengan nasib yang menyedihkan apabila dia dan anak-anak kapalnya disumpah menjadi batu. Pengajaran yang hendak disampaikan dalam kisah ini ialah menderhaka kepada ibu bapa akan membawa mudarat kepada diri sendiri.
Cerita rakyat seperti Lebai Malang, Pak Kaduk, Pak Pandir, Pak Belalang, dan Si Luncai, walaupun dianggap sebagai kisah jenaka namun tetap mempunyai mesej yang mendidik. Sebagai contoh, kisah Lebai Malang dan Pak Kaduk mendidik masyarakat agar tidak mengamalkan sikap tamak kerana sikap tersebut tidak akan ke mana-mana, sebaliknya meletakkan diri dalam keadaan kerugian dan kebinasaan.
Kisah Pak Pandir pula mendidik masyarakat untuk berusaha mencari pengetahuan kerana tanpa pengetahuan, seseorang itu akan mudah ditipu dan mendapat kerugian. Walau bagaimanapun, disebabkan Pak Pandir memiliki sikap yang jujur maka dia dapat juga merasa keuntungan. Dengan kata lain, kisah ini juga mendidik masyarakat agar sentiasa bersikap jujur kerana setiap balasan yang baik akan dibalas dengan baik. Kisah Pak Belalang dan Si Luncai pula sarat dengan hikmah dan ciri-ciri kebijaksanaan. Orang yang pintar dan bernasib baik tentunya akan beroleh kejayaan.
Dengan teknologi dan platform media sosial terkini seperti YouTube, cerita-cerita rakyat dapat dinikmati dalam pelbagai variasi yang menyegarkan. Jika dahulu, kisah Nakhoda Tenggang hanya dapat dihayati dalam bentuk buku, lagu dan filem, kali ini menerusi YouTube, kisah tersebut telah diperluaskan dalam pelbagai bentuk atau format dokumentari yang dihasilkan oleh perakam-perakam bebas yang telah membuat kunjungan ke tempat-tempat yang dikaitkan dengan peristiwa berlakunya sumpahan, pensejarahan dan sebagainya, rakaman pertandingan bercerita di sekolah-sekolah, rakaman teater, animasi, dan pelbagai bentuk aktiviti lain.
Animasi memberikan kesan yang tersendiri dan kini merupakan satu bahagian penting dalam dunia pendidikan. Menerusi animasi, cerita rakyat dapat diperlihatkan dengan konsep yang kompleks tetapi dengan cara yang mudah difahami dan menarik perhatian, menjadikan pembelajaran lebih santai tetapi efektif. Dengan animasi, kisah-kisah yang terkandung dalam cerita rakyat dapat dihadamkan dengan mudah kerana beberapa faktor yang berikut:
Menerusi YouTube, cerita rakyat kini boleh ditonton pada bila-bila masa. Pelajar tidak terikat dengan hanya menontonnya di sekolah sahaja, sebaliknya boleh mengulanginya atau memainkannya semula ketika berada di rumah atau di mana-mana sahaja.
Beli buku Koleksi Terpilih Cerita Rakyat Malaysia di sini.
_________________________
Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.