Oleh Karmila Azmi
29 Mei 2024, 06:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Cerita rakyat akan terus relevan jika diadaptasi dalam pelbagai bentuk sama ada cerpen, skrip atau pelbagai genre yang mampu menarik minat audiens.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail berkata, cerita rakyat popular dalam kalangan masyarakat sebelum kedatangan teknologi, malah masyarakat dahulu kala menidurkan anak-anak dengan pelbagai cerita rakyat.

“Cerita rakyat ini ialah satu bentuk kaedah pengajaran juga hiburan yang disampaikan dalam bentuk lisan.

“Perubahan zaman menyaksikan cerita ini terpinggir tetapi ada banyak dokumentasi mengenainya dibuat dan semoga lebih ramai penulis akan mendokumentasikan,” katanya ketika merasmikan forum Borak Orang Timur: Maghi Baghi Cerita Rakyat Kelantan dan Terengganu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), baru-baru ini.

Acara itu yang dimudahcarakan oleh Sdr. Kamarul Baisah Hussain dan menampilkan tiga panel, iaitu dua pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi dan Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar, manakala seorang lagi panel ialah pensyarah Universiti Malaya, Dr. Madiawati Mamat.

Sementara itu, Roslina dalam sesinya berkata, cerita rakyat Melayu mempunyai inti pati yang unik dan sangat istimewa kerana dituturkan dan diwariskan secara lisan.

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar.

“Cerita rakyat berfungsi sebagai hiburan namun turut menekankan fungsi mendidik dan tidak meminggirkan unsur moral.

“Cerita rakyat ialah gambaran masyarakatnya, ia milik kolektif yang dijadikan teladan,” katanya.

Tambah Roslina, dalam cerita rakyat terdapat tokoh-tokoh yang menjadi teladan dan panduan umum dalam kepelbagaian cerita.

Sementara itu, Madiawati berkata, sastera rakyat akan terus relevan kerana sastera itu juga boleh menjadi sebahagian daripada kandungan sastera digital.

Sastera digital atau elektronik katanya, ialah gabungan karya sastera dengan pelbagai teknologi multimedia.

“Kandungannya bukan hanya sastera rakyat tetapi juga sastera kanak-kanak dan karya moden.

“Hal ini mampu menjadikan sastera rakyat itu hidup dalam sastera digital dan menarik minat audiens,” katanya.

Kredit Foto: Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.