9 Ogos 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Belaga – Pengumpulan dan pendokumentasian cerita rakyat terus digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kali ini mengumpulkan kisah-kisah Etnik Serapan yang jarang-jarang sekali dapat diadakan.

Ketua Unit Pembinaan dan Penyelidikan Sastera DBPCS, Puan Edith Sulie Bidas dan pasukan telah bertandang ke sebuah perkampungan etnik tersebut, iaitu di Rumah Sekapan Panjang yang terletak dalam Daerah Belaga, Sarawak, baru-baru ini.

Puan Edith Sulie menyatakan bahawa etnik Sekapan merupakan etnik minoriti di Sarawak yang kaya dengan warisan budaya, kesenian dan cara kehidupan yang unik.

Ujar beliau, “Etnik ini hanya terdapat di Sarawak dan hanya mempunyai dua buah perkampungan sahaja menyebabkan masyarakat tidak mengetahui kewujudan etnik ini.”

Namun begitu, cerita rakyat milik etnik ini amatlah menarik dan perlu ditonjolkan kepada masyarakat luar.

“Pelbagai cerita rakyat Etnik Sekapan berjaya dikumpul dan dirakam, seperti cerita tentang pahlawan, binatang, asal usul dan hantu.

“Antaranya, kisah Lenya Menjelma Menjadi Harimau, Pengembaraan Lereya, Menjala dengan Hantu Ki’riya dan Sumpahan Bapa Selengan,” tambah beliau.

Dalam menjayakan projek ini, pasukannya telah dibantu oleh Persatuan Bangsa Sekapan (PBS) agar proses pendokumentasian dapat dijalan dengan baik.

Pengerusi PBS, Encik Erick Drenner Dangan amat mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh DBPCS untuk mengumpul dan merakamkan cerita rakyat etnik Sekapan.

“Cerita rakyat merupakan warisan budaya yang sangat penting kerana menggambarkan cerminan, lambang, rakaman sistem nilai dan pandangan hidup, pemikiran serta ketamadunan bangsa atau masyarakat itu sendiri.”

Kerja merekod kisah-kisah Etnik Serapan sedang dilakukan dengan menemu bual dan merekod  kaum wanita Serapan.

Beliau berharap agar projek seumpama ini terus dipergiat dan menjadi langkah terbaik dalam usaha memelihara warisan budaya etnik Sekapan agar tidak hilang ditelan arus pemodenan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.