Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGerik – Kajian lapangan pengumpulan sastera lisan Orang Asli rumpun Negrito, iaitu suku kaum Kintak, Lanoh dan Jahai berjaya direkodkan oleh kumpulan penyelidik dari Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Penyelidikan yang dilaksanakan bermula pada 22 hingga 26 Julai 2024 lalu tertumpu di tiga perkampungan, iaitu Kampung Orang Asli Bukit Asu (Kintak), Kampung Orang Asli Air Bah (Lanoh) dan Kampung Orang Asli Sungai Tiang (Jahai).
Ketua penyelidik BPS, Encik Saifullizan Yahaya berkata DBP tekad meneruskan pengumpulan dan rakaman cerita rakyat Orang Asli ini bagi membantu dalam usaha memperbanyak karya-karya sastera etnik di Malaysia.
“Cerita rakyat yang diperoleh ini akan diterbitkan dalam bentuk bahan bacaan bercetak, khususnya untuk bacaan kanak-kanak dan remaja”
“Menariknya, walaupun orang asli ini berada dalam satu rumpun yang sama, iaitu rumpun Negrito namun perbezaan adat, budaya dan kepercayaan melahirkan cerita lisan yang berbeza mengikut fahaman dan kepercayaan suku kaum masing-masing.”
Osman Senek salah seorang penutur suku kaum Kintak berkata kebanyakan orang asli Kintak sudah mula menerima arus pemodenan. Mereka lebih bersifat terbuka menerima pendedahan dari luar, terutamanya anak-anak mereka.
“Anak-anak Orang Asli terutamanya peringkat umur remaja lebih mudah bergaul dengan masyarakat di luar penuturnya kerana ramai yang bekerja di bandar”
“Manakala selebihnya lebih selesa bekerja di kampung sebagai penoreh getah dan mengusahakan kebun namun budaya bercerita tidak lagi diperturunkan.”
Menurut beliau lagi, cerita-cerita tentang binatang, pahlawan atau asal usul suku kaum Kintak tidak diketahui oleh masyarakat setempat di situ. Jika ada, hanya segelintir sahaja cerita-cerita yang masih ada dalam ingatanya, terutamanya cerita binatang, iaitu kisah Sang Tenggiling dengan Gajah.
Penutur suku Lanoh, Azmi Tero berkata, orang tua-tua dahulu kala pandai menyimpan rahsia. Tidak semua cerita disampaikan kepada anak-anak cucunya. Hanya beberapa cerita sahaja. Kemungkinan cerita berkenaan mengandungi petua, pantang larang atau adat.
Orang tua-tua beranggapan, generasi muda dalam kalangan masyarakatnya tidak dapat berpegang kepada pantang larang. Mereka risau sesuatu yang buruk akan menimpa suku kaumnya jika adat, kepercayaan dan pantang larang dilanggar.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah lagi cerita yang masih berlegar dalam ingatan mereka sewaktu kecil dahulu . Antaranya, cerita Orang Beruas, sumpahan ikan menjadi lipan, sumpahan ikan menjadi pacat dan dongeng manusia kera.
Hal ini berbeza pula dengan masyarakat suku kaum Jahai. Salah seorang penutur, iaitu Che Mat Titik berkata suku kaum Jahai menyimpan pelbagai cerita rakyat yang menarik.
Antara cerita yang sering didengarnya semasa kecil ialah cerita tentang asal usul Bukit Melintang@Bukit Rim, Cerita Pokok Ipoh, Cerita Ning, Cerita Tuk Beruk dan Cerita Pokko dengan Mengkarung. Cerita rakyat ini masih terus diceritakan kepada anak-anak suku kaum Jahai sebagai hiburan dan pengajaran.
Sehingga kini, kumpulan penyelidik DBP telah berjaya mengumpul dan merakam hampir keseluruhan suku kaum yang berada di bawah rumpun Negrito, iaitu Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai dan Bateq.
Hasil dapatan awal mendapati, setiap sastera lisan Orang Asli Negrito memiliki keunikan yang tersendiri. Malah, mereka sedaya upaya berusaha menjaga kelestarian suku kaum masing-masing dengan menerapkan unsur, nilai dan pengajaran dalam setiap cerita yang ada. Hal ini membuktikan bahawa, setiap kepercayaan, adat, budaya dan pantang larang diselitkan dalam sastera lisan mereka supaya khazanah warisan mereka tidak lenyap dalam arus pemodenan.