Oleh
Nor Asiya Nasir
Diterbitkan pada 14 November 2022, 12:16
Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
“Mungkin kita tidak sedar bahawa lirik lagu yang indah itu juga ialah puisi dan apabila dilagukan boleh menjadi tarikan kepada golongan remaja dan anak muda. Peminat M. Nasir contohnya sanggup membeli tiket berharga RM300.00 atau RM1000.00 semata-mata untuk menyaksikan persembahan mereka. Saya yakin persembahan puisi atau puisi yang dilagukan juga boleh menarik perhatian penonton jika dibuat secara yang sebaiknya.”
“Pada tahun 1974, saya bersama-sama Kumpulan Anak Alam, Kuala Lumpur pernah membuat persembahan dan menjual tiket masuk bernilai 50 sen. Masa itu ramai yang datang. Jumlah 50 sen dahulu, jika dibandingkan sekarang, berapa nilainya? Bagi saya, puisi kita mesti dipopularkan dan dihasilkan dalam produk puisi campur lagu dan aksi. Itulah yang saya perjuangkan melalui puisi-puisi Tri-V selama ini. Saya harap Presiden PEMUISI, Dato’ Wanrazuhar yang telahpun berjaya menerbitkan album lagu puisi dapat merancang sesuatu untuk menaikkan lagu puisi dan seterusnya menarik perhatian masyarakat.”
“Saya tidak pernah masuk bertanding dan saya tidak percaya sastera untuk pertandingan. Sastera tetap sastera. Pengadili sastera ialah orang ramai.”
“Sebenarnya payah untuk menjadi diri sendiri. Lebih senang jadi orang lain. Hendak menjadi P. Ramlee, Saloma atau Elvis Presley misalnya, cuma tiru menyanyikan lagu dan gayanya, maka jadilah, walaupun tidaklah “original”. Tetapi untuk menjadi diri sendiri, mestilah mencari bentuk identiti sendiri. Contohnya, untuk menjadi pendaki gunung Everest, mestilah mendaki sendiri, atau ingin jadi tukang masak terkenal, kena belajar masak dan jadilah tukang masak yang terkenal dengan masakannya. Begitulah juga dalam berkarya. Jadi diri sendiri”.
“Sekali berpuisi, tetaplah berpuisi. Masyarakat akan menggangap kita macam-macam, termasuklah menggangap kita golongan yang gila-gila. Kalau kita tidak tahan, tentulah kita tidak dapat meneruskannya. Tetapi jika kita mempunyai semangat dan iltizam yang kuat, maka teruskanlah kerana ia merupakan sumbangan kita kepada khazanah persuratan negara.”

“Program Ziarah Sasterawan 3.0 anjuran PEMUISI ini merupakan kali ketiga diadakan, yang dimulai dengan SN Muhammad Hj Salleh dan kemudiannya diikuti SN Siti Zainon Ismail. Tujuan diadakan program ini adalah untuk bertemu mesra dan menimba pengalaman para sasterawan mapan sebagai panduan dan faedah ahli-ahli PEMUISI yang bakal mengikut jejak langkah mereka yang berjaya.”