Oleh Suyuthi Yusuf
13 September 2022, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sastera lisan atau sastera rakyat merupakan warisan kesusasteraan Melayu yang amat tinggi nilainya. Sastera lisan ini ialah sastera Melayu lama yang dikenali juga sebagai folklore dan disampaikan secara lisan, dipertuturkan dan diperturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya dan menjadi milik bersama masyarakat Melayu.

Atas dasar dan semangat mahu menyebarluaskan ilmu berkaitan sastera lisan kepada masyarakat, terutamanya generasi sekarang, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) dengan kerjasama daripada Persatuan Sastera Lisan Malaysia mengadakan Seminar Sastera Lisan Kebangsaan 2022 dengan temanya “Sastera Lisan di Lapangan dan dalam Era Digital”. Seminar tersebut berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 14 September di Balai Seminar Tun Hamdan Syeikh Tahir, Wisma DBP. Seminar tersebut telah dirasmikan hari ini oleh YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran sedang menyampaikan ucapan.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan seminar ini, terutamanya kepada Persatuan Sastera Lisan Malaysia. Tambahnya, beliau juga berharap agar sinergi dan kerjasama yang berterusan diteruskan antara DBP dengan pihak yang terbabit seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya agar sastera dapat dimartabatkan dan ilmu sastera dapat sampai kepada masyarakat. Ujarnya lagi,

 Menariknya seminar pada kali ini menyentuh tentang tentang pendigitalan yang sememangnya merupakan hala tuju DBP dengan mengambil kira perkembangan terkini dan keadaan semasa. Dengan pendigitalan, ilmu dan penyelidikan serta kajian tentang sastera lisan dapat disampaikan kepada masyarakat, khususnya buat generasi muda. Usaha ini membuktikan bahawa sastera lisan masih relevan dalam kalangan masyarakat.

YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang menyampaikan ucapan perasmian.

YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam ucapan perasmiannya pula menyatakan bahawa MOTAC sangat mengalu-alukan kegiatan ilmiah seumpama ini dan akan memberikan bantuan dan geran bagi menggerakkan aktiviti dan kegiatan berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan.

Usaha yang dilakukan DBP dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia ini boleh dijadikan contoh dalam usaha mengembangkan ilmu kepada masyarakat. Usaha ini juga bertepatan dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang bertujuan untuk menintegrasikan pelbagai budaya dan seterusnya menjadi naratif baharu ke arah pembentukan identiti nasional.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa dengan adanya kegiatan ilmiah seumpama ini, maka pembinaan negara bangsa dapat dilakukan selain menjadi wadah perpaduan antara kaum.

Para ahli akademik dan pengkaji sastera lisan akan membentangkan kertas kerja masing-masing bermula pada hari ini. Tonton majlis perasmian program tersebut di sini:

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.