1 Mac 2022, 08:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandan basah, belulang basah,
     Mengkuang belum dijalin lagi;
Berjalan sudah, pulang pun sudah,
     Mengarang sahaja belum lagi.
                                    ~Nisah Haron

Pada musim wabak begini, mengembara ke negara asing mahupun melancong di dalam negara memerlukan pertimbangan dan kewajaran yang kukuh lantaran jangkitan virus COVID-19 yang mudah merebak dan amat sukar dibendung. Kita seboleh-bolehnya mahu mengehadkan pergerakan dan mengelak daripada tempat-tempat yang sesak dan padat dengan manusia.

Namun begitu, terdapat satu kaedah yang boleh dimanfaatkan oleh pengembara untuk menikmati dan merancakkan kembali pengalaman kembara tanpa perlu bergerak dan bersesak-sesak. Salah satu kaedahnya adalah dengan melalui penulisan.

Sehubungan dengan itu, Studio Nisah Haron telah menganjurkan satu bengkel penulisan travelog yang berlangsung pada Sabtu, 26 Februari 2022. Bengkel secara dalam talian ini memanfaatkan pelantar Google Meet, dan dihadiri oleh peserta dari seluruh tanah air daripada pelbagai latar belakang kerjaya, seperti ahli farmasi, guru, arkitek, ahli akademik, dan penulis novel sepenuh masa.

Antara tip penulisan kembara yang dikongsikan oleh Nisah Haron kepada peserta.

Penulisan travelog ialah dokumentasi pemikiran dan perasaan pengarang lewat kembaranya. Setiap tempat yang dilawati walaupun sekejap, pasti ada sejarah dan asal usulnya. Begitu juga halnya dengan jenis hidangan yang dinikmati, ada falsafah dan keunikannya yang tersendiri. Di sinilah cabaran bagi seorang penulis travelog untuk memanfaatkan bahan-bahan kembara yang telah dikutip dan disimpan sepanjang tempoh kembaranya. Segala ingatan itu dalam bentuk yang tidak ketara (intangible) diterjemahkan kepada satu bentuk yang jelas dan ketara (tangible). Kaedahnya adalah dengan menulis travelog dengan berstruktur, lengkap dengan latar, watak, dialog, suara (voice), sudut pandang, tema khusus, dan foto-foto terpilih.

Menurut pembimbing bengkel, Nisah Haron, “Jarak antara waktu kembara dengan waktu menulis travelog itu penting kerana ruang itu akan memberikan refleksi yang lebih jelas.”

Beliau memberi contoh bagaimana buku Warkah Eropah hasil tulisan Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said yang ditulis setelah pulang daripada kembaranya. Justeru, waktu selepas kembara dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mengembangkan catatan ketika kembara, mengolah bahan atau catatan yang ada dan melengkapkan maklumat sebagai bahan refleksi dan renungan.

Nisah Haron juga berkongsi tentang keanehannya yang gemar mengirim poskad kepada diri sendiri. Pada setiap tempat yang dikunjunginya, beliau pasti membeli poskad. Apa-apa penemuan yang menarik, beliau akan merakamkannya dengan tulisan dalam ruangan poskad kepada dirinya sendiri. Hal ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah orang namun, catatan yang ditinggalkan dalam poskad itu adakalanya catatan yang sangat berharga apabila kita membacanya semula.

Rozninah Abd. Azib menampilkan beberapa buku sebagai perbandingan.

Bengkel ini turut menampilkan Rozninah Abd. Azib yang diundang atas kapasiti beliau sebagai editor yang menangani buku Kembara Sastera Nisah Haron yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Rozninah berkongsi dengan peserta beberapa peluang penulisan menerusi wadah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, seperti Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, dan Tunas Cipta yang boleh dimanfaatkan oleh peserta. Beliau memberikan saranan kepada penulis untuk melatih diri dengan menulis artikel kembara.

Rozninah turut berkongsi lima tip untuk menghasilkan artikel kembara yang baik dan memberikan contoh berdasarkan penulisan dalam buku Kembara Sastera Nisah Haron. Hasilnya, peserta lebih menghargai dan dapat memaknai tip yang dikongsikan. Lima tip itu termasuklah berfakta, mempunyai unsur pemikiran dan perasaan, terkandung komentar dan pandangan penulis, bernostalgia, serta ada motivasi dan amanat.

Ternyata, bengkel penulisan travelog ini amat sesuai untuk penulis yang mahu memanfaatkan bahan kembaranya sebagai sebuah dokumentasi pemikiran untuk generasi masa depan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.