Oleh Norma Sanid
9 Februari 2022, 18:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Program Bicara Sasterawan Negara bagi Tahun 2022 yang bertemakan “Sastera Digali Keterampilan Dicari” buat julung-julung kalinya diadakan di Teater Ahmad Nisfu, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 9 Februari 2022. Antara kupasan yang dibincangkan dalam bual bicara ini ialah kepentingan sastera dalam pelbagai sudut kehidupan, wajar atau tidak sastera dan penulisan kreatif diteruskan pada peringkat universiti dan keberkesanan komponen sastera (KOMSAS) kepada murid sekolah.

Program bicara yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Pusat Alumni UMS ini telah berjaya menghimpunkan sebahagian penulis Sabah, kakitangan UMS, kakitangan DBP, serta ahli Majlis Perwakilan Pelajaran UMS. Hadirin turut bertuah kerana program ini dihadiri oleh Puan Azmah Nordin, penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah kedua. Program bicara ini dikemudi oleh moderator, YBrs. Dr. Mohamad Puad Bebit manakala panelnya pula ialah Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Alumni Seni Kreatif UMS, Encik Jasman Bandar.

“Walau apa pun suku kaum kita, sastera kita menyimpan ingatan ribuan tahun, misalnya leluhur kita masuk ke hutan atau ke laut mereka, mencatatkan apa-apa melalui tulisan atau lukisan tentang penemuan-penemuan mereka, bukan sahaja nama ikan, tetapi kejadian-kejadian alam dan tentang segala mukjizatnya.

“Jadi, dalam sastera kita, ada satu falsafah alam yang sekarang dicari-cari untuk membina falsafah Malaysia,” kata Prof. Muhammad Haji Salleh.

Menurut Prof. Muhammad lagi, hampir semua suku kaum menyimpan sejarahnya sendiri sejak awal lagi. Orang sastera menggunakan imaginasi untuk menyampaikan perkara yang dialami oleh datuk nenek moyong mereka. Dalam sastera, tersimpan sejarahnya yang tersendiri, seperti dalam Hikayat Perak, Hikayat Kelantan, Hikayat Johor, dan ratusan hikayat yang lain. Sastera juga kaya dengan peribahasa pelbagai kaum yang sifatnya padat, mempunyai rima, cantik, dan sekali gus dapat menyentuh perasaan pembaca. Demikian juga halnya dengan pantun. Penggunaan pantun dalam kehidupan seharian begitu meluas. Oleh itu, kita perlulah mengekalkan warisan sastera kita. Hal ini kerana dalam sastera, tersimpan bahasa dan perasaan yang penuh kelembutan tetapi bermakna dan nilai-nilai indah dalam kehidupan kita.

Dalam hal kewajaran sastera dan penulisan kreatif diteruskan di universiti, Jasman Bandar berpendapat bahawa kursus dan program sebegitu masih wajar diteruskan kerana pelaksanaannya dapat membentuk manusia dan kemanusiaan. Dalam dunia yang mengalami pandemik, aspek kemanusiaan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Oleh itu, menerusi sastera dan penulisan kreatif, pengarang dapat menyalurkan idea, pandangan dan teguran melalui penulisannya. Misalnya melalui puisi, pengarang dapat mengajar manusia tentang sabar, reda dan amanah menghadapi ujian.

Selain mendidik, emosi manusia perlu juga dimanjakan dengan kata-kata dan nasihat. Jasman juga berpendapat, pendidikan sastera harus juga ditekankan pada peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini kerana melalui sastera, murid dapat belajar tentang adab, teladan dan disiplin, serta meningkatkan kualiti diri sebagai seorang insan.

Dalam hal keberkesanan pembelajaran KOMSAS kepada murid di sekolah, menurut Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh, sastera dahulu bersifat alamiah dan mengajar kita untuk menghayati sesuatu cerita, serta memahami suara dan detak hati pengarang. Sastera tidak boleh dijawab dengan jawapan A, B atau C. Perkara inilah yang merosakkan sastera itu sendiri. Sebetulnya, kita perlu mendalami sesebuah sastera itu untuk melihat nilai dan pengajarannya. Kita perlulah lebih terbuka untuk membincangkan sesuatu karya sastera. Oleh itu, sastera mengajar kita menjadi manusia yang baik dan menyumbang kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.