Oleh Mohd Azizul Asri
29 November 2022, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu –Program Secangkir Kopi siri empat 2022 bersempena dengan Pasar Buku UMS-DBP berjaya dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS). Sebanyak 30 peserta yang terdiri daripada staf dan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri program ini di Perpustakaan UMS.

Program ini dilaksanakan bagi mengangkat karya penulis Sabah melalui medium bual bicara yang bersifat santai, seterusnya mempromosikan buku-buku baharu penulis Sabah yang diterbitkan oleh DBP, khususnya kepada khalayak umum. DBPCS mengambil peluang menampilkan Naib Presiden 2 Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), iaitu Encik Juri Durabi bagi mengupas mengenai karya baharunya berjudul Sihir Cinta. Selain beliau, Dr. Norsuhaila Sulaiman turut menjadi salah seorang panel yang membicarakan buku tersebut. Encik Yasni Yakub pula bertindak sebagai moderator.

Buku kumpulan cerpen Sihir Cinta mengisahkan tentang seorang penulis yang sangat mendambakan cinta. Namun, cinta yang dimaksudkan dan ditampilkan dalam buku ini bukanlah hanya cinta terhadap manusia semata-mata tetapi merangkumi cinta terhadap Sang Pencipta dengan menyedari bahawa unsur kerohanian dan rasa syukur perlu wujud dalam diri manusia.

Dr. Norsuhaila Sulaiman berpendapat bahawa kumpulan cerpen ini memperlihatkan kepada pembaca perjalanan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, iaitu jalinan hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan. Selain itu, kumpulan cerpen ini juga memaparkan realisme magis dan mempunyai unsur-unsur yang tersirat. Pengisian kumpulan cerpen ini sarat dengan tema keislaman yang mempunyai hubung kait dengan nilai kemanusiaan. Ujar Juri Durabi ketika membicarakan bukunya,

Kumpulan cerpen Sihir Cinta ini memuatkan sebanyak 21 buah cerpen yang diilhamkan daripada cerpen Yunda, iaitu kumpulan cerpen hasil saya sendiri. Sebagai penulis, saya sentiasa mencari cara untuk menghidangkan kepada pembaca dengan idea baharu dan sengaja mencetuskan beberapa persoalan agar pembaca lebih mengenali Sang Pencipta dan apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka. Manusia yang sering saya ibaratkan seperti ‘perantau’ terkadang tidak terlepas daripada kealpaan di dunia bersifat sementara ini. Dari situlah tercetusnya idea untuk memaparkan cinta dalam dunia realisme magis dalam kumpulan cerpen ini.

Selanjutnya, beliau mengatakan bahawa kumpulan cerpen ini dihasilkan tanpa dirancang dan menghasilkan karya sastera sememangnya merupakan minat beliau sejak di bangku sekolah lagi. Oleh itu, dengan adanya minat dan kesungguhan ini, maka lahirlah pelbagai karya termasuklah kumpulan cerpen Sihir Cinta ini. Katanya,

Sudah menjadi stigma masyarakat kita untuk meletakkan konotasi negatif terhadap perkataan ‘sihir’. Namun begitu, ‘sihir’ dalam buku ini mempunyai pemaknaan yang sedikit berbeza, iaitu melambangkan cinta terhadap Yang Maha Esa dan makhluk-makhluknya seterusnya pengabdian diri terhadap Sang Pencipta. Secara peribadi, saya sering berasa seakan-akan tersihir setiap kali melihat dan menaakul keindahan ciptaan-Nya.

Program Secangkir Kopi ini merupakan program bicara buku yang amat menarik kerana menyediakan perbincangan yang informatif dan khalayak umum berpeluang berjumpa dengan penulis untuk mendapat jawapan terhadap pelbagai persoalan yang timbul semasa membaca karya mereka. Encik Juri turut menasihati penulis dan bakal penulis untuk sentiasa meneruskan karya dengan hati yang ikhlas dalam usaha mengembangkan diri dan meningkatkan kualiti pemikiran masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.