Oleh Ghazali Lateh
16 Februari 2023, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Ghazali Lateh meneliti kepentingan integriti dalam urusan sastera dan kerisauannya terhadap kelunturan integriti dalam kalangan penggiat sastera sekarang.

Ketiadaan integriti mencetuskan pelbagai konflik dan polemik dalam sastera.

Integriti ialah fenomena yang sering diperkatakan sejak dahulu lagi. Biasanya, topik integriti dikaitkan dengan aspek pengurusan, pentadbiran dan juga perkhidmatan. Kamus Dewan (2005:583) mendefinisikan istilah ‘integriti’ sebagai kejujuran dan keadaan yang sempurna serta utuh. Sehubungan dengan itu, integriti merupakan keperluan yang dititikberatkan dalam kalangan individu yang melaksanakan tanggungjawab tertentu. Seruan untuk mengangkat aspek integriti sebagai amalan budaya kerja terus diberikan keutamaan, khususnya dalam bidang pentadbiran negara.

Sesungguhnya, integriti wajar diterapkan dalam semua aspek kehidupan. Bidang sastera juga tidak terlepas daripada tuntutan integriti bagi menjamin kesejahteraan sastera itu sendiri sebagai entiti penting dalam perkembangan peradaban sesuatu bangsa. Persoalannya, di manakah kedudukan integriti dalam dunia kesusasteraan kita? Adakah persoalan integriti ini ditekankan dalam dunia sastera kita sejak dahulu?

Integriti dalam sastera harus dipandang sebagai satu perkara yang penting. Banyak perkara yang melibatkan aspek integriti dalam dunia sastera. Ketiadaan integriti mencetuskan pelbagai konflik dan polemik dalam sastera. Kita sering terbaca tentang perlakuan plagiarisme, cetak rompak, ciplak, panel yang tidak telus, pemilihan karya pertandingan yang pilih kasih, editor yang pilih bulu, penerbit yang tidak membayar royalti atau menipu pengiraan jualan, dan bermacam-macam lagi. Semua perkara ini melibatkan aspek integriti dalam kalangan masyarakat sastera, tidak kira sama ada pengkarya, editor, syarikat penerbitan, ahli panel pemilihan, mahupun badan-badan penulis yang ada di negara ini.

Contoh ketiadaan integriti yang paling asas ialah plagiarisme. Jika pengkarya sendiri sudah tidak mengamalkan integriti, maka mereka akan mencuri, meniru, menjiplak karya orang lain dan mengaku bahawa karya tersebut milik mereka sendiri. Pelakuan plagiarisme perlu dibanteras sekuat-kuatnya bagi mendidik pengkarya bahawa integriti sangat penting untuk memajukan sastera. Kita kurang mengambil berat akan jenayah plagiarisme dan pelakuan ini akan terus menjadi duri dalam daging sastera kita.

Kita tidak pernah mengenakan hukuman yang setimpal dengan jenayah plagiarisme, malah pihak yang pernah terbukti memplagiat karya orang lain masih mendapat dan diberikan tempat oleh pihak berkuasa sastera kita. Apabila terbongkar sesuatu pelakuan plagiarisme, pelbagai pihak akan meluahkan komentar dan isu berkenaan akan hilang dalam jangka masa yang pendek. Akhirnya, isu ini tidak dipedulikan sehingga terbongkar pula plagiarisme yang berikutnya. Hal ini jelas bahawa integriti sastera yang paling asas sudah tidak dapat ditangani dengan sebaik yang mungkin.

Ketiadaan integriti sastera juga jelas dalam aspek pemilihan karya, sama ada untuk pertandingan, anugerah atau teks yang digunakan di sekolah. Rungutan demi rungutan pasti akan timbul selepas sesuatu pemilihan dibuat. Rungutan sebegini perlu dilihat sebagai petanda bahawa aspek integriti tidak begitu memuaskan. Selain itu, aspek integriti juga perlu diperkemas dalam kalangan anggota panel anugerah sastera yang ada di negara ini. Tahap integriti yang tinggi akan memastikan karya, individu serta badan yang dilantik sebagai pengelola atau peneraju yang menguruskan penghargaan dan anugerah benar-benar layak dan berketerampilan. Begitu juga halnya integriti dalam kalangan editor, penilai manuskrip, penerbit, dan badan-badan berkuasa sastera yang lain.

Contohnya, penilai manuskrip teks tidak wajar dipilih sendiri oleh pengkarya kerana dibimbangi tidak mengamalkan integriti. Jika perkara ini tidak diambil berat, tidak keterlaluan jika dikatakan banyak karya yang tidak terjual berlaku kerana ketiadaan integriti dalam aspek penilaian manuskrip. Contoh lain ialah polemik yang tercetus berkaitan pemilihan teks untuk kegunaan murid sekolah dilaksanakan. Boleh dikatakan setiap kali pemilihan teks dibuat, maka akan tercetusnya kontroversi dan polemik yang berpanjangan. Hal ini terjadi akibat aspek integriti yang tidak mantap semasa pemilihan dibuat.

Sehubungan dengan perkembangan ini, pihak-pihak berkuasa sastera perlu memikirkan dan mewujudkan mekanisme untuk meningkatkan amalan integriti sastera di negara kita. Semua pihak perlu dididik untuk mengamalkan integriti sastera agar dunia sastera terus berkembang dengan sihat dan terjamin kelangsungannya. Setiap individu yang terlibat dengan dunia sastera perlu menerapkan amalan integriti dalam jiwa mereka. Kita tidak mahu dunia sastera hilang arah kerana dicemari dengan unsur-unsur negatif akibat aspek integriti sastera yang terabai.

Kredit Foto: Sarah Crego/Unsplash

_________________________

Ghazali Lateh (Dr.) dilahirkan di Kampung Bukit Nibong, Bukit Jenun, Kedah. Beliau mula menulis sejak tahun 1993 dan pernah memenangi pertandingan penulisan cerpen, puisi dan novel. Novel beliau, Dari Lembah ke Puncak dijadikan teks Kesusasteraan Melayu Elektif 2010–2015, selain beberapa cerpennya terpilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Beliau kini tinggal di Banting, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.