Oleh Nimoiz T.Y
Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 08:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nimoiz T.Y mengalu-alukan para penulis untuk meneliti bahasa sukan, khususnya bahasa bola sepak yang mempunyai estetikanya yang tersendiri sebagai sumber ciptaan pengkaryaan.

Di situlah saya melihat bahawa bola sepak tidak jauh berbeza daripada kehidupan …

Akhirnya pentas akhir Piala Dunia FIFA 2026 sudah menemukan dua kuasa besar bola sepak dunia, Sepanyol dan Argentina. Pasukan lain sudah “bungkus”.

Kedua-dua pasukan ini membuktikan bahawa kejayaan tidak pernah muncul secara kebetulan, tetapi dibina melalui latihan yang panjang, disiplin yang tinggi, kebijaksanaan mengatur strategi, kesabaran menghadapi tekanan, serta semangat juang yang tidak pernah padam. Namun hal ini tidaklah bermakna Mexico, Norway, Brazil, Portugal, dan negara lain tidak hebat.

Saya sempat acah-acah mengikuti perlawanan separuh akhir antara England dengan Argentina. Konon-konon minat bola. Sebelum ini pun mana minat sangat bola. Saya cuma minat tulis sajak. Tapi, kalau perlawan separuh akhir dan akhir nanti kena tengok. Menjadi penulis sajak kena ikut arus semasa. Bukan sekadar berkurung dalam bilik atau pergi ke pantai menganyam diksi.

Melihat corak permainan, England sebenarnya bermain dengan cukup baik. Mereka berani mengasak dan menyerang, malah menguasai beberapa fasa dan babak permainan.

Namun begitu, sukan bola sepak sering kali ditentukan oleh perkara-perkara yang tidak terjangka. Satu kesilapan kecil atau rembatan tepat sudah cukup mengubah keseluruhan cerita. Nah, Argentina akhirnya menang 2-1 hasil jaringan Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez. Kali ini Messi tidak mencetak gol. Tapi sebenarnya Messi banyak membantu Argentina dari awal.

Saya sengaja menggunakan ungkapan “mencetak gol” dalam ayat “kali ini Messi tidak mencetak gol”. Entah mengapa, saya menyukai ungkapan ini sejak dahulu lagi. Barangkali kerana kata ‘mencetak’ sering dikaitkan dengan mencetak buku sajak. Dalam bola sepak, mencetak gol memberikan konotasi bahawa setiap gol bukan sekadar menambah angka di papan keputusan, tetapi meninggalkan cop pada sejarah sesuatu perlawanan.

Ada sesuatu yang puitis pada ungkapan itu pada saya. Pada orang lain saya tidak tahu.

Beberapa hari sebelum ini, Sepanyol melangkah bergaya ke pentas akhir dengan menewaskan Perancis. Corak permainan Sepanyol begitu kemas. Hantaran bola di kaki pemain mereka tersusun kemas. Sebagaimana kemasnya T. Alias Taib menyusun metafora. Pergerakan tanpa bola sentiasa membuka ruang. Manakala pertahanan mereka cukup berdisiplin.

Begitulah dalam arena bola sepak.

Setiap pasukan akan bermain dengan bersungguh-sungguh. Mereka tahu bila hendak mengasak dengan kencang atau memperlahankan rentak bila perlu, lalu tiba-tiba kencang melakukan serangan balas yang mematikan.

Sebenarnya, di situlah saya melihat bahawa bola sepak tidak jauh berbeza daripada kehidupan. Tidak semua kemenangan dicapai dengan cara yang sama. Ada yang menang kerana keberanian menyerang. Ada yang menang kerana kesabaran bertahan. Ada yang menang kerana kebijaksanaan membaca keadaan. Ada pula yang menang kerana tidak pernah berhenti mencuba walaupun berkali-kali diasak lawan.

Falsafahnya, kita sebagai manusia pun begitu.

Ada yang menemukan kejayaan ketika usia masih muda. Ada yang hanya tiba ke garisan kemenangan setelah melalui pelbagai kegagalan. Ada yang sering dipuji. Ada yang bekerja dalam diam. Namun akhirnya, setiap orang sedang menuju ke gawang yang sama, iaitu impian yang ingin dicapai.

Arena Piala Dunia bukan sekadar perebutan trofi Piala Dunia, tetapi pertembungan antara dua tradisi bola sepak yang besar. Masing-masing sudah tentu akan mempamerkan corak permainan yang berbeza. Sepanjang aksi akhir nanti, tersimpan harapan berjuta-juta penyokong yang datang daripada pelbagai bahasa, budaya dan jiwa.

Termasuklah penyokong di Malaysia.

Yang menariknya, setiap kali berlangsungnya Piala Dunia, kita seolah-olah menjadi sebuah keluarga besar. Kedai mamak dipenuhi oleh peminat yang berjaga sehingga dinihari. Ruang media sosial pula dipenuhi ramalan dan analisis. Kaum penulis pun saling menyindir manja pasukan rakan yang “pulang” awal. Begitulah, ada yang benar-benar memahami strategi permainan. Malah, ada yang hanya muncul setiap empat tahun sekali (termasuk saya). Mereka yang “kaki bangku” juga tiba-tiba menjadi pengulas tidak rasmi. Jelas, bola sepak mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk menyatukan manusia melalui satu minat yang sama.

Bagi saya, bahasa bola sepak bukan sekadar bahasa sukan. Bahasa ini menyimpan kemungkinan makna yang luas.

Dalam keghairahan menikmati permainan itu, perhatian saya sering beralih kepada sesuatu yang lain.

Bahasa sajak. Ya, bagaimana bola sepak boleh bersatu dalam susunan diksi mengikut corak permainan. Dulu, saya sangat suka mendengar ulasan oleh Dato’ Rahim Razali dan Allahyarham Dato’ Hasbullah Awang.

Saya selalu merasakan bahawa bola sepak memiliki khazanah bahasa yang sangat indah. Ketika pengulas sukan berbicara, saya bukan sahaja menikmati permainan di atas padang hijau, tetapi menikmati pemilihan kata daripada suara emas pengulas.

Antara yang saya selalu dengar termasuklah gawang, jaringan, formasi, tendangan, rembatan, sepakan penjuru, sepakan percuma, tepukan, penalti, mencetak gol, hantaran, umpanan, lambungan, tandukan, serangan balas, benteng pertahanan, penjaga gawang, pengadil, wisel, padang, garisan tengah, garisan gol, kad kuning, kad merah, masa tambahan, penentuan penalti, kesebelasan utama, dan pemain simpanan.

Istilah-istilah ini sudah mempunyai nilai estetik yang tersendiri. Jika diperhatikan dengan lebih dekat, setiap satunya menyimpan lapisan makna yang boleh dipinjam dan diolah menjadi bahasa sajak.

Bagi saya, bahasa bola sepak bukan sekadar bahasa sukan. Bahasa ini menyimpan kemungkinan makna yang luas. Bahasanya boleh dipinjam oleh penyair untuk membina metafora, simbol dan citra yang segar serta baharu. Yang penting penulis kena bijak menyaring kata dan menyusunnya menjadi sebuah sajak. Setiap perkataan membawa makna yang tersendiri.

Misalnya begini.

Gawang bukan lagi dua batang tiang, tetapi lambang cita-cita. Padang bukan sekadar hamparan rumput, tetapi dunia yang sedang kita lalui. Jaringan pula bukan sekadar gol, tetapi kejayaan yang diperolehi selepas pelbagai kegagalan.

Seterusnya, rembatan menjadi keberanian membuat keputusan. Hantaran melambangkan kepercayaan kepada sahabat. Serangan balas mengingatkan bahawa kehidupan juga mempunyai saat untuk bangkit setelah ditekan atau ketika pernah berada di titik terendah kehidupan. Benteng pertahanan menjadi prinsip yang perlu dipelihara.

Ada banyak lagi. Misalnya kad kuning ialah peringatan. Kad merah ialah akibat. Pemain simpanan mengajar bahawa sebelum tiba giliran bukan bererti tidak diperlukan.

Tentang kesebelasan utama pula mengingatkan kita kepada insan-insan yang sentiasa berada di sisi ketika susah dan senang. Manakala wisel penamat, betapa pun kita cuba mengelak, tetap menjadi perlambangan bahawa setiap perjalanan akhirnya akan sampai ke penghujung.

Di sinilah saya percaya bahasa sukan bola sepak mempunyai hubungan yang akrab dengan dunia sastera. Penyair melihat sesuatu dengan cara yang berbeza. Yang dilihat oleh orang lain sebagai istilah teknikal. Tetapi yang dilihat oleh penyair ialah benih metafora. Manakala yang didengar oleh pengulas sebagai bahasa permainan.

Nah, daripada istilah-istilah itulah potensi lahirnya idea. Daripada idea lahirlah metafora. Daripada metafora lahirlah sajak. Misalnya, kita boleh tulis sajak dengan judul “Jaringan Kehidupan”.

Jaringan Kehidupan

Gawang itu masih jauh
tetapi dia tidak pernah berhenti
merembat harapan.

Di garis tengah kehidupan
dia mengatur umpan permainan.

Di pentas perlawanan
ada benteng harus ditembus
ada kad merah mengajar
harga sebuah kesilapan.

Setiap sepakan penjuru
hadir harapan baharu
setiap sepakan penalti
menuntut keberanian teliti.

Seusai wisel penamat ditiup
biarlah namanya tercatat
sebagai pemain hebat
yang tidak pernah berhenti
mengejar jaringan hakiki.

Nimoiz T.Y
16 Julai 2026
Ipoh, Perak

Ya, ini baru draf awal. Masih boleh diperbaiki lagi. Kena masukkan dan tukar beberapa perkataan. Tambah metafora lain dan sebagainya. Fokus tulisan ini pun sebenarnya esei. Bukan sajak.

Begitulah, menjadi penulis ini jangan hanya menonton bola sepak. Dengarlah bahasanya. Barangkali di celah-celah gawang, rembatan, hantaran, dan wisel penamat itu sedang menunggu sebuah sajak yang belum ditulis oleh sesiapa.

Barangkali juga, tugas penulis sajak bukan sekadar merakam apa-apa yang berlaku di atas padang, tetapi menemukan makna yang tersembunyi di sebalik setiap istilah. Apabila bahasa terus hidup dalam pengalaman manusia, di situlah sastera akan sentiasa menemukan padangnya sendiri.

_________________________

Nimoiz T.Y ialah nama pena Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub. Beliau boleh diikuti melalui laman web www.nikmohdiznan.com. Beliau telah menghasilkan lebih seribu penulisan yang tersiar dan diterbitkan dalam pelbagai akhbar, majalah, buku, dan media digital. Puisi dan cerpen ecerannya pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.07/2026.

Kredit Foto: Jack Hunter/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi