Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZa’im Yusoff cuba bertanya jika figura utama dalam filem adaptasi karya sastera klasik Yunani, The Odyssey, dan perjalanan yang diambilnya menyerupai perjalanan politik Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Teknologi sinema paling moden digunakan bukan untuk mentertawakan manusia lama, tetapi untuk membuktikan bahawa manusia tiga ribu tahun dahulu masih tinggal dalam diri manusia hari ini.
Sastera bermula ketika fakta berhenti pada permukaan. Fakta dapat memberitahu siapa memenangi pilihan raya, berapa kerusi dikuasai sesebuah gabungan, berapa lama seorang pemimpin dipenjarakan, dan pada tarikh apakah beliau mengangkat sumpah sebagai pemerintah. Namun begitu, fakta tidak mampu menyelam sendirian ke dalam ruang paling sunyi dalam jiwa kekuasaan. Apakah harga yang telah dibayar untuk sampai ke puncak? Siapakah yang ditinggalkan sepanjang pendakian, dan adakah kemenangan yang diperoleh masih menyerupai cita-cita yang mula-mula menggerakkan perjalanan? Di ruang yang tidak dapat dihuni oleh statistik inilah sastera menyalakan pelitanya. Sastera tidak sekadar bertanya sama ada seseorang telah menang, tetapi sama ada kemenangannya masih memiliki makna. Sastera tidak sekadar menghitung jarak perjalanan, tetapi memeriksa perubahan yang berlaku pada jiwa pengembara.
Pertanyaan itu memperoleh gema baharu melalui The Odyssey arahan Christopher Nolan. Filem tersebut bukan semata-mata menghidupkan kembali pelayaran Odysseus dari medan Perang Troy menuju Ithaca, tetapi membuka sebuah cermin purba untuk manusia yang hidup di bawah langit politik moden. Di hadapan cermin itu, riwayat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hampir dengan sendirinya mengambil bentuk sebuah odyssey. Perjalanannya dari gelanggang mahasiswa ke pusat kekuasaan, dari singgahsana Timbalan Perdana Menteri ke penjara, dari jeriji besi ke jalan raya Reformasi, dan tahun-tahun terkini, dari Ketua Pembangkang ke Putrajaya. Beliau memulakan kegiatan kepemimpinan sejak zaman mahasiswa, memasuki pentadbiran pada tahun 1982, menduduki beberapa kementerian penting, menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, melalui tempoh panjang sebagai pemimpin pembangkang, lalu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh (PMX) pada 24 November 2022.

Namun begitu, persamaan antara PMX dengan Odysseus tidak boleh berhenti pada panjangnya perjalanan. Ramai manusia berjalan jauh tanpa menjadi tokoh sastera. Odysseus menarik kerana pelayarannya merupakan pertarungan antara manusia dengan pelbagai wajah dirinya sendiri. Setiap pulau menguji suatu nafsu, setiap raksasa memperlihatkan suatu kelemahan, setiap dewa mempersonifikasikan kuasa yang tidak mampu dikawal, dan setiap kehilangan memaksa pembaca bertanya sama ada seorang manusia masih boleh dinamakan sebagai pemenang setelah semua orang di sekelilingnya tenggelam. Maka, pertanyaan “Adakah PMX Odysseus?” bukanlah permainan padanan antara seorang ahli politik Malaysia dengan seorang raja Yunani. Sebaliknya, pertanyaan tersebut merupakan jalan untuk memikirkan makna ketahanan, kecerdikan, kompromi, kepulangan, dan warisan seorang negarawan.
Keagungan produksi Nolan memberikan tubuh yang sesuai pada persoalan sebesar itu. The Odyssey menjadi filem cereka pertama yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera filem IMAX, termasuk teknologi baharu yang membolehkan adegan dialog dirakam dengan bunyi segerak pada skala tersebut. Pencapaian teknikal itu tidak wajar dibaca sebagai angka promosi semata-mata. Dalam tangan Nolan, IMAX bukan hanya alat untuk membesarkan kapal, ombak dan peperangan, tetapi suatu tatabahasa visual untuk mengecilkan keangkuhan manusia. Semakin luas lautan memenuhi layar, semakin kecil tubuh Odysseus kelihatan di hadapannya. Semakin tinggi langit dibentangkan, semakin rapuh dakwaan seorang raja bahawa dunia dapat disusun hanya sanya menurut kecerdikannya.
Homer membesarkan dunia melalui irama, pengulangan dan julukan. Laut muncul berulang kali bukan sebagai latar yang mati, tetapi sebagai tenaga yang mempunyai ingatan. Nolan pula memindahkan daya puitis itu ke dalam saiz bingkai, bunyi, tekstur, dan jarak. Dalam puisi lisan, pengulangan membina rasa bahawa manusia berada dalam putaran takdir yang lebih tua daripada dirinya. Dalam sinema, ombak yang kembali menghentam kapal, bunyi angin yang menelan suara dan cakerawala yang seakan-akan tidak berpenghujung menghasilkan kesan yang sama. Kamera bukan sekadar merakam ruang, tetapi menyusun hierarki kewujudan, khususnya ketika manusia berada di tengah-tengah cerita, namun tidak berada di tengah alam semesta.
Kecenderungan Hollywood ketika mengadaptasi epik purba selama ini dilihat seperti percubaan untuk membersihkan mitos daripada segala sesuatu yang dianggap terlalu asing dengan rasionalisme moden. Dewa diturunkan menjadi halusinasi, nubuat ditukar menjadi kebetulan, raksasa dijadikan binatang besar, manakala laut dikurangkan menjadi lebuh raya bagi aksi peperangan. Hasilnya mungkin lebih mudah dipercayai oleh penonton moden, tetapi kurang setia pada cara masyarakat lama mempercayai dunia. Keaslian sesebuah adaptasi bukan hanya bergantung pada ketepatan pakaian, warna kulit, binaan kapal atau susunan senjata. Keaslian lebih ketara terletak pada kemampuan karya mengekalkan Weltanschauung, yakni pandangan semesta yang membentuk kesedaran masyarakat asal. Dari lensa ini, Nolan berhasil melakukannya.
Nolan memahami bahawa dalam dunia Homer, para dewa bukan aksesori fantasi yang boleh dibuang tanpa mencederakan rangka cerita. Poseidon ialah akibat yang memperoleh wajah. Athena ialah akal strategik yang memperoleh suara. Circe ialah kuasa kenikmatan yang boleh menurunkan martabat manusia menjadi makhluk yang kehilangan bahasa. Para Siren ialah pujian yang mengetahui kelemahan tersembunyi pendengarnya. Raksasa-raksasa The Odyssey tidak sekadar hidup di gua atau di laut. Mereka tumbuh dalam dada manusia, lalu mitos memberi tubuh pada sesuatu yang terlalu abstrak untuk disentuh.
Perdebatan tentang wajah dan tubuh yang dipilih untuk menghidupkan watak Yunani purba turut membuka pertanyaan tentang batas antara keaslian budaya dengan sifat sejagat sebuah mitos. Sinema Barat sering menuntut kesetiaan budaya secara tidak sekata. Sesebuah kisah mahu diangkat sebagai warisan sejagat, tetapi tubuh yang dianggap layak mewakili “kesejagatan” itu tetap dipilih melalui ukuran pusat industri yang sama. Namun begitu, persoalan yang lebih subur daripada sekadar menghitung asal usul para pelakon ialah sama ada adaptasi tersebut mengekalkan jiwa kebudayaan yang melahirkan mitosnya. Wajah manusia boleh melintasi sempadan bangsa apabila kosmologi cerita tidak dipadamkan. Odysseus boleh dibaca oleh seluruh dunia, tetapi lautnya tidak boleh dicabut daripada rasa takut, kehormatan, keramah-tamahan, takdir dan hubungan dengan para dewa yang membentuk imaginasi Yunani.
Di sinilah filem Nolan mengelakkan perangkap menjadikan The Odyssey hanya sebuah filem aksi atau perang yang kebetulan memakai nama Homer. Kebesarannya bukan terletak pada jumlah pertempuran, tetapi pada kesanggupan membiarkan mitos tetap menjadi mitos. Dunia purba tidak diperolok sebagai dunia yang belum mengenal sains, sebaliknya dibaca sebagai dunia yang mempunyai bahasa tersendiri untuk menerangkan perkara yang masih gagal dikuasai oleh manusia moden, termasuklah perihal ketakutan, keinginan, kebetulan, alam, kuasa, dan kematian. Teknologi sinema paling moden digunakan bukan untuk mentertawakan manusia lama, tetapi untuk membuktikan bahawa manusia tiga ribu tahun dahulu masih tinggal dalam diri manusia hari ini.

Pemilihan Nolan sebagai pengarah terasa serasi kerana The Odyssey sendiri merupakan karya tentang waktu yang retak. Kisah tersebut tidak bermula dari permulaan. Pembaca memasuki cerita ketika Odysseus telah lama hilang, Ithaca telah pun dicerobohi oleh para peminang dan Telemachus sedang membesar di bawah bayang-bayang seorang bapa yang telah menjadi legenda kerana ketiadaannya. Sebahagian besar pelayaran Odysseus pula muncul kemudian melalui penceritaannya sendiri. Struktur in medias res itu menjadikan masa bukan garis lurus, tetapi lautan yang berpusar. Masa lalu tidak benar-benar berlalu kerana terus diceritakan semula untuk menentukan identiti orang yang masih hidup.
Odysseus bukan sekadar watak dalam ceritanya. Dia juga pencerita tentang dirinya sendiri. Ketika berada di hadapan masyarakat Phaeacia, Odysseus memilih episod, mengatur penderitaan dan membina gambaran tentang manusia yang mahu dikenali oleh para pendengarnya. Di sinilah The Odyssey menunjukkan bahawa kuasa bukan hanya kebolehan melakukan sesuatu, tetapi kebolehan menentukan cerita tentang perkara yang telah dilakukan. Tokoh politik juga hidup melalui struktur serupa. Mereka bukan sekadar menjalani sejarah, tetapi mengarang sejarah diri melalui memoir, ucapan, slogan, perhimpunan dan penceritaan berulang tentang penganiayaan serta perjuangan mereka.
Riwayat PMX telah lama dibentuk sebagai sebuah naratif kepulangan. Penjara menjadi gua gelap, Reformasi menjadi kapal, pilihan raya menjadi ribut, manakala Putrajaya berdiri sebagai pantai yang tertunda. Naratif tersebut mempunyai kekuatan pathos yang nyata kerana penderitaannya bukan rekaan. Sastera mengingatkan bahawa kisah seorang wira tidak boleh dinilai hanya melalui penderitaan yang telah ditanggungnya. Penderitaan mungkin memberikan kewibawaan moral, tetapi tidak memberikan kekebalan moral. Seseorang boleh pernah dizalimi dan kemudian tersilap ketika berkuasa. Seseorang boleh menjadi mangsa dalam satu babak dan menjadi punca kekecewaan dalam babak yang lain. Sastera menolak keselesaan hitam putih kerana manusia yang sebenar tidak hidup dalam satu warna.
Kata pertama yang sering digunakan untuk mencirikan Odysseus ialah polytropos, manusia yang mempunyai banyak putaran, banyak jalan dan banyak cara. Maknanya merangkumi kecerdikan, kelenturan, kerumitan, dan kemampuan yang berubah menurut keadaan. Odysseus bukan Achilles yang menundukkan dunia melalui kekuatan tubuh. Senjata terbesarnya ialah metis, kecerdikan strategik yang licin, tangkas dan mampu membaca kelemahan lawan. Dia tahu bila harus menjadi raja, bila harus menyamar sebagai pengemis, bila harus memuji, bila harus menangis, bila harus menyembunyikan nama dan bila harus mencipta sebuah identiti baharu.
Dalam pengertian ini, PMX memang mempunyai sifat Odyssean. Kemampuan membina kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 2022 yang menghasilkan Parlimen tergantung memerlukan kelenturan luar biasa. Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan beberapa gabungan lain yang memiliki sejarah persaingan, dihimpunkan dalam sebuah kerajaan perpaduan. Langkah itu mengembalikan suatu tahap kestabilan selepas tempoh pergolakan yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam masa beberapa tahun. Namun begitu, kerajaan yang dibina daripada bekas lawan turut berdepan dengan ketegangan dalaman, perbezaan pendirian tentang reformasi serta persoalan mengenai arah politik setiap rakan gabungan.
Riwayat PMX telah lama dibentuk sebagai sebuah naratif kepulangan. Penjara menjadi gua gelap, Reformasi menjadi kapal, pilihan raya menjadi ribut, manakala Putrajaya berdiri sebagai pantai yang tertunda.
Kecerdikan mendirikan kerajaan tidak semestinya sama dengan kebijaksanaan membina negara. Seorang ahli strategi bertanya bagaimana kuasa dapat dipertahankan. Seorang negarawan bertanya untuk apakah kuasa itu dipertahankan. Pertanyaan pertama mungkin membawa seseorang sampai ke Putrajaya, tetapi hanya jawapan terhadap pertanyaan kedua dapat membawanya ke Ithaca yang dicita-citakan. Putrajaya ialah lokasi. Ithaca sebaliknya ialah pemenuhan moral.
Metis menyelamatkan Odysseus daripada Cyclops, tetapi kesombongan terhadap metis juga memanjangkan pengembaraannya. Setelah berjaya melepaskan diri dengan memperkenalkan dirinya sebagai “Tiada Siapa” (sekali pun dalam versi Nolan petikan “Tiada Siapa” ini ditiadakan), dia tidak mampu menahan keinginan agar musuh mengetahui nama manusia yang telah memperdayakannya. Odysseus melaungkan identiti sebenarnya dari kapal. Keinginan memperoleh kemasyhuran mengubah kemenangan senyap menjadi dendam Poseidon. Laut yang hampir dilepasi menjadi lebih panjang kerana seorang wira mahu namanya bergema.
Episod itu mempertemukan dua nilai penting dalam epik Yunani, yakni kleos dan nostos. Kleos ialah kemasyhuran yang membuat nama seseorang hidup selepas kematiannya, manakala nostos ialah kepulangan yang mengembalikan seseorang kepada rumah dan identitinya. Odysseus mendambakan kedua-duanya. Dia mahu pulang, tetapi juga mahu dikenali sebagai manusia paling cerdik yang pernah menundukkan raksasa. Ketegangan serupa menghantui setiap negarawan. Seorang pemimpin mungkin mahu membina warisan besar di mata dunia, meninggalkan ucapan yang dipetik, dasar yang dinamakan dan citra sebagai tokoh zaman. Namun begitu, kemasyhuran antarabangsa tidak boleh menggantikan kepulangan moral di dalam negeri. Kleos seorang negarawan tidak terletak pada tepukan di luar pantai, tetapi pada keadaan rumah ketika beliau kembali.
Dalam politik, kecerdikan menjadi berbahaya apabila pemimpin mula mempercayai bahawa semua pihak dapat dikawal selama-lamanya. Rakan gabungan yang kelihatan lemah tidak semestinya berhenti membina kekuatan. Sambil seorang nakhoda menumpukan tenaga mengekalkan kapal, penumpang lain mungkin sedang menghafal peta, mengumpulkan bekalan, menguatkan jentera dan menunggu masa untuk belayar dengan arah laluan panji sendiri. Setiap parti memiliki Ithacanya sendiri. Kesetiaan dalam kerajaan campuran tidak bermakna sesebuah parti telah membatalkan naluri untuk terus hidup, menang dan kembali berkuasa melalui kekuatannya sendiri.
Keputusan pilihan raya Johor pada Julai 2026 memperlihatkan hakikat tersebut dengan tajam. Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan memperoleh baki lapan kerusi. Keputusan itu sekalipun tidak serta-merta mengubah majoriti kerajaan Persekutuan, tetapi moral politiknya menguatkan kedudukan tawar-menawar BN, menambahkan tekanan terhadap hubungan antara rakan kerajaan dan membesarkan keresahan tentang kelembapan reformasi dalam kalangan penyokong progresif. Jika ditamsilkan dalam dunia The Odyssey, ombak itu belum tentu menenggelamkan kapal, tetapi seorang nakhoda yang bijaksana tidak menunggu air memenuhi geladak sebelum mengakui bahawa arah angin telah berubah.
Ancaman terbesar kepada PMX bukan semata-mata kemungkinan sekutu meninggalkannya. Bahaya yang lebih halus muncul apabila setiap kompromi yang dibuat untuk menjaga kestabilan menjadi kemenangan naratif bagi pihak lain. Apabila satu pihak berulang kali menerangkan mengapa sesuatu pembaharuan perlu ditangguhkan, pihak yang lain boleh tampil kepada penyokongnya sebagai kelompok yang berjaya memaksa kerajaan mengalah. Apabila seorang pemimpin meminta rakyat memahami kerumitan kuasa, pesaingnya hanya perlu menunjukkan bahawa mereka memahami kemarahan rakyat. Kuasa politik bukan hanya dikuasai oleh mereka yang memegang kementerian. Kuasa turut dimiliki oleh sesiapa yang mampu menentukan cerita tentang siapa sebenarnya tunduk kepada siapa.

Dalam The Odyssey, ketegangan ini dapat dibaca melalui Scylla dan Charybdis. PMX berada antara tuntutan mempertahankan kestabilan dengan kewajipan menunaikan reformasi. Terlalu dekat pada satu sisi, kerajaan boleh pecah kerana kehilangan nombor dan sokongan. Terlalu dekat pada sisi yang lain, perjuangan boleh kehilangan jiwa kerana terlalu banyak prinsip dilonggarkan. Namun begitu, mitos tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan setiap kehilangan. Dalam demokrasi, rakyat berhak mengetahui apakah yang sedang diselamatkan, apakah yang sedang dikorbankan, dan sampai bilakah sesuatu penangguhan masih layak dinamakan strategi.
Tanpa sempadan moral yang jelas, pragmatisme akan kelihatan seperti ketakutan. Kesabaran akan disalahertikan sebagai penyerahan. Kestabilan pula akan menjadi nama yang indah bagi ketidakberanian. Kompromi hanya mulia apabila pemimpin mengetahui perkara yang tidak boleh dikompromikan. Kapal boleh mengubah arah layarnya, tetapi tidak boleh membuang kompasnya ke laut.
Penelope sendiri tidak harus dikecilkan menjadi isteri setia yang hanya menunggu. Dia ialah pengarang yang menguasai masa. Pada siang hari, kain catannya ditenun. Pada malam hari, tenunan itu dileraikan semula. Tindakan tersebut menangguhkan tuntutan para peminang dan mempertahankan ruang bagi kepulangan Odysseus. Tenunan Penelope ialah teks politik, kerana sesiapa yang mengawal apabila cerita selesai turut mengawal siapa yang bakal memperoleh kuasa.
Reformasi Malaysia kadangkala kelihatan seperti kain tenunan Penelope. Pada siang hari, benangnya ditenun melalui ucapan, kerangka dasar, slogan tatakelola dan janji tentang keberanian institusi. Pada malam hari, sebahagian benang kelihatan terurai apabila bertembung dengan tuntutan gabungan, ketakutan kehilangan sokongan atau kepentingan kelangsungan pemerintahan. Namun, terdapat perbezaan moral yang tidak boleh dipadamkan. Penelope meleraikan kain untuk melindungi rumah. Pemerintah tidak boleh meleraikan reformasi hanya untuk melindungi penghuni takhta.
Konsep xenia, etika keramah-tamahan dalam dunia Homer, turut mengayakan pembacaan terhadap rumah politik. Para peminang di Ithaca bukan tentera asing yang menawan istana melalui peperangan. Mereka masuk sebagai tetamu, tinggal di rumah Odysseus, memakan ternakannya, meminum araknya dan menghabiskan kekayaannya sambil menunggu peluang merampas Penelope serta takhta. Kejahatan mereka bermula dengan pelanggaran terhadap batas antara tetamu dengan pemilik rumah.
Alegori tersebut tidak harus dipaksa menjadi tuduhan terhadap satu parti tertentu. Sastera menjadi cetek apabila setiap raksasa diwajibkan memakai wajah seorang politikus. Sebaliknya, xenia mengajak pembaca bertanya secara lebih luas. Siapakah yang diterima masuk ke rumah kekuasaan, apakah harga kerjasama yang dituntut oleh setiap tetamu, dan pada titik manakah keramahan politik berubah menjadi pendudukan terhadap sumber, naratif dan arah rumah? Kerajaan campuran memerlukan meja yang panjang, tetapi tuan rumah yang kehilangan kuasa menentukan hidangan akhirnya mungkin mendapati dirinya hanya membayar jamuan untuk kemenangan orang lain.
Odysseus sendiri pulang ke Ithaca sebagai pengemis. Penyamaran itu penting kerana kepulangannya dalam The Odyssey tidak terus menghasilkan pengiktirafan. Raja yang sah perlu memasuki rumahnya sebagai manusia yang tidak mempunyai kedudukan. Melalui keadaan hina itulah dia dapat melihat siapa yang masih setia, siapa yang telah berpaling, siapa yang memakan hartanya, dan siapa yang hanya tunduk kepada mahkota. Anagnorisis, atau detik pengenalan, berlaku sedikit demi sedikit. Tubuh mungkin sudah pulang, tetapi identiti perlu diuji sebelum dapat diterima.
Bagi PMX, Putrajaya mungkin menjadi tempat kepulangan fizikal pada pusat kuasa, tetapi pengenalan moral masih belum selesai. Rakyat bukan sekadar perlu mengetahui bahawa pemimpin lama akhirnya berjaya. Mereka mahu mengenali semula suara Reformasi dalam tubuh seorang pemerintah. Mereka mahu memastikan bahawa manusia yang dahulu bercakap dari luar pagar masih memahami suara mereka setelah berada di dalam istana kekuasaan. Kepulangan sejati tidak berlaku apabila pengembara mengenali takhtanya. Kepulangan berlaku apabila rumah masih dapat mengenali pengembaranya.
Telemachus pula membuka persoalan tentang pewarisan. Dia membesar bukan bersama-sama bapanya, tetapi bersama-sama legenda tentang bapanya. Ketiadaan Odysseus menjadikan namanya semakin besar, sementara anaknya terpaksa hidup di dalam rumah yang semakin rosak. Perjalanan empat bahagian awal epik, yang sering disebut sebagai Telemachy, bukan kisah sampingan. Bahagian itu memperlihatkan bagaimana generasi baharu mencari suara ketika generasi lama terlalu lama mendominasi sejarah.

Generasi muda Malaysia juga membesar dengan mitos Reformasi. Mereka mewarisi cerita tentang pemecatan, penjara, jalan raya, mata lebam, keberanian, dan penantian. Namun begitu, setelah wira akhirnya tiba di pusat kuasa, generasi tersebut tidak lagi puas mendengar betapa jauh perjalanan yang telah dilalui. Mereka mahu mengetahui bentuk rumah yang sedang dibina. Mereka tidak bertanya berapa banyak ombak yang telah ditempuh oleh PMX, tetapi sama ada mereka sendiri masih perlu menyeberangi laut yang sama.
Seorang negarawan besar bukan sekadar manusia yang berjaya pulang. Dia membina dunia yang tidak memaksa generasi selepasnya mengulangi penderitaan yang sama. Dia tidak menjadikan dirinya pusat tunggal pada segala cita-cita sehingga parti dan negara tidak mampu berdiri tanpa bayang-bayangnya. Dia melahirkan pemimpin baharu yang boleh berbeza tanpa dianggap menderhaka, menegur tanpa disisihkan dan membina gagasan tanpa menunggu izin daripada mitos seorang bapa politik.
Lebih membimbangkan daripada kehilangan sekutu ialah kehilangan anak-anak kapal sendiri. Sesebuah parti tidak hanya mati apabila kalah dalam pilihan raya. Parti turut mati ketika jentera kehilangan keyakinan terhadap arah, ketika cawangan tinggal sebagai papan tanda, ketika pemikirnya pergi, dan ketika penyokong masih berada di dalam kapal tetapi tidak lagi mahu mendayung. Odysseus akhirnya sampai ke Ithaca setelah kehilangan seluruh anak kapalnya. Dari sudut epik, ketahanannya mengagumkan. Dari sudut etika kepemimpinan, kepulangan itu sebaliknya menyimpan pertuduhan. Apakah nilai seorang nakhoda yang berjaya menyelamatkan dirinya tetapi gagal membawa pulang mereka yang menggerakkan bahteranya?
Kapal boleh mengubah arah layarnya, tetapi tidak boleh membuang kompasnya ke laut.
Di belakang perjalanan PMX, terdapat manusia biasa yang pernah berhimpun, berkempen, menanggung ejekan, mempertahankan namanya ketika nama itu belum mempunyai kuasa dan mempercayai bahawa kemenangan kelak akan membersihkan rumah negara. Mereka bukan angka undi yang hanya dipanggil ketika pilihan raya. Mereka ialah pendayung yang menggerakkan kapal dalam malam panjang. Kekecewaan mereka tidak selalunya berbunyi seperti ribut. Kekecewaan yang paling berbahaya datang sebagai sunyi ketika tubuh masih berada di atas geladak, tetapi tangan tidak lagi memegang dayung.
Kemudian datanglah Para Siren. Mereka tidak menarik pelaut dengan paksaan, tetapi dengan nyanyian yang memberitahu pendengar hal yang paling ingin dipercayainya tentang diri sendiri. Bagi seorang pemimpin yang telah lama menderita, nyanyian itu mungkin berbunyi bahawa hanya dirinya mampu menjamin kestabilan, bahawa setiap kompromi dibenarkan kerana lawannya lebih buruk, bahawa semua kritikan lahir daripada ketidaksabaran, dan bahawa keselamatan negara bergantung pada kelangsungan dirinya.
Odysseus meminta tubuhnya diikat pada tiang kapal supaya dapat mendengar nyanyian Para Siren tanpa menyerahkan diri kepada laut. Dalam demokrasi, tali yang mengikat pemimpin bukan kesetiaan peribadi. Tali itu bernama Parlimen, media bebas, kehakiman yang berwibawa, masyarakat sivil, parti yang berani menegur dan rakyat yang tidak takut kehilangan akses pada kuasa. Pemimpin yang memotong semua tali akan berasa bebas, sedangkan sebenarnya sedang berenang menuju suara yang mahu memakannya.
Episod pemakan bunga teratai pula mempersonifikasikan godaan melupakan tujuan. Mereka yang memakan teratai tidak dibunuh atau diseksa. Mereka hanya kehilangan hasrat untuk pulang. Di sinilah letaknya bahaya paling lembut dalam politik. Perjuangan tidak semestinya mati kerana kekalahan. Perjuangan boleh mati kerana keselesaan. Setelah sekian lama hidup dalam ribut, kestabilan terasa begitu manis sehingga manusia lupa mengapa kapal itu mula-mula dibina. Jawatan, protokol, kedudukan dan rutin pentadbiran boleh menjadi bunga teratai yang membuat reformis tidak lagi merindui Ithaca.
Sastera diperlukan agar seorang negarawan dapat membezakan pelabuhan persinggahan daripada rumah. Tanpa sastera, kuasa mudah menganggap setiap kemenangan taktikal sebagai kejayaan sejarah. Sastera mengingatkan bahawa Calypso menawarkan keabadian kepada Odysseus, tetapi keabadian di pulau yang indah tetap merupakan bentuk pemenjaraan apabila manusia kehilangan jalan pulang. Tidak semua tempat yang selamat ialah rumah. Tidak semua kuasa yang bertahan ialah warisan.
Keagungan Nolan terletak pada kemampuannya memberikan berat fizikal pada pemikiran tersebut. Kapal, air, batu, tubuh, api, dan angin tidak hadir sebagai hiasan komputer yang ringan, tetapi sebagai bahan dramatik yang menentang manusia. Produksi besar itu memperlihatkan bahawa tubuh seorang wira tetap boleh keletihan, luka dan terpelanting meskipun namanya telah menjadi legenda. Sinema Nolan menghasilkan paradoks yang indah apabila teknologi paling agung digunakan untuk meruntuhkan ilusi tentang keagungan manusia.
Politik juga mempunyai IMAXnya sendiri. Pentas gergasi, layar digital, slogan peradaban, ucapan antarabangsa, muzik kemenangan, dan gambar seorang pemimpin yang kelihatan berjalan seiring dengan sejarah mampu menghasilkan rasa bahawa negara sedang bergerak menuju zaman baharu. Namun begitu, negara tidak boleh ditadbir seperti sebuah sedutan filem. Dalam sinema, kesan praktikal memberikan berat pada ilusi. Dalam politik, hasil memberikan berat pada janji. Reformasi mesti dapat disentuh melalui undang-undang yang adil, institusi yang merdeka, harga kehidupan yang lebih tertanggung, pekerjaan yang bermaruah dan peluang yang tidak hanya dimiliki mereka yang sudah berada dekat dengan meja kekuasaan.
Di sinilah sastera dan filem saling melengkapi. Filem memberikan tubuh pada ombak, tetapi sastera memberikan ombak kehidupan kedua dalam fikiran pembaca. Filem memperlihatkan raksasa, tetapi sastera bertanya raksasa apakah yang tinggal dalam diri penonton setelah layar menjadi gelap. Adaptasi tidak sekadar memindahkan cerita daripada halaman kepada layar. Adaptasi ialah pembacaan, pentafsiran dan pengkhianatan kreatif yang diperlukan supaya teks lama dapat bercakap kepada zaman baharu. Nolan tidak menyalin Homer. Beliau memasuki rumah Homer sebagai tetamu, lalu menyusun semula cahaya agar manusia moden dapat melihat retak pada dindingnya.

Di sinilah sastera dan filem saling melengkapi. Filem memberikan tubuh pada ombak, tetapi sastera memberikan ombak kehidupan kedua dalam fikiran pembaca.
Sastera pula hadir di antara pemimpin dengan rakyat untuk menghalang kedua-duanya daripada dipenjarakan oleh cerita yang terlalu mudah. Sejarah rasmi mungkin menggambarkan seorang pemimpin sebagai wira yang tidak pernah salah. Propaganda lawan mungkin menggambarkannya sebagai penipu yang tidak pernah ikhlas. Sastera menolak kedua-dua kemudahan itu. Sastera membenarkan seorang manusia menjadi berani dan angkuh, dizalimi dan tersilap, cerdas dan tertipu, ikhlas dan berkepentingan dalam tubuh yang sama.
Homer tidak memaksa pembaca memilih sama ada Odysseus seorang pahlawan atau pendusta. Kedua-dua sifat itu hidup serentak dalam dirinya. Kebolehan berdusta menyelamatkan nyawanya, tetapi keinginan memperoleh nama memanjangkan penderitaannya. Kesetiaan pada rumah mendorongnya pulang, tetapi keputusan-keputusannya turut mengorbankan manusia lain. Kerumitan tersebut menjadikan Odysseus hidup selama ribuan tahun. Watak yang sepenuhnya suci hanya layak menjadi patung. Watak yang bercanggah layak menjadi cermin.
Bagi negarawan, sastera menyediakan kamar tanpa pengawal peribadi. Di dalamnya, gelaran ditanggalkan dan seorang perdana menteri boleh bertemu raja yang pulang sebagai pengemis. Penguasa dapat melihat bahawa kuasa tidak mampu memerintah laut, kemenangan perang tidak menjamin kebijaksanaan mengurus rumah, dan musuh yang paling berbahaya tidak semestinya menunggu di luar kota. Musuh itu mungkin tumbuh sebagai kesombongan di dalam dada, ketakutan kehilangan kuasa atau keyakinan bahawa sejarah telah memberikan seseorang hak untuk sentiasa dibenarkan.
Bagi rakyat, sastera menyediakan jarak untuk mengkritik tanpa mabuk oleh kebencian. Rakyat boleh menghormati ketabahan PMX tanpa menghalalkan semua keputusannya. Mereka boleh mengakui kecerdikannya tanpa menyerahkan hak untuk menyoal. Mereka boleh memahami kesukaran mentadbir sebuah kerajaan campuran tanpa menjadikan kerumitan sebagai alasan untuk membatalkan prinsip. Belas kasihan tidak bererti ketundukan. Kritikan pula tidak semestinya pengkhianatan.
Namun begitu, alegori Odysseus mempunyai batas yang penting. PMX bukan raja Ithaca yang memiliki takhta sebagai warisan. Putrajaya bukan rumah persendirian yang telah dirampas para peminang. Rakyat bukan Penelope yang wajib menunggu kepulangan seorang lelaki, manakala lawan politik bukan raksasa yang boleh dibunuh untuk memulihkan ketertiban. The Odyssey berakhir dengan keganasan terhadap para peminang. Sebaliknya, demokrasi mesti berakhir dengan pilihan raya, pertanggungjawaban, perdebatan, dan peralihan kuasa yang sah.
Kesedaran tentang batas alegori itulah yang membezakan renungan sastera daripada propaganda. Sastera tidak digunakan untuk mengangkat PMX sebagai wira takdir atau menamakan musuhnya sebagai makhluk jahat. Sastera digunakan untuk merumitkan cara kita melihat kuasa. Seorang lawan boleh mempunyai kepentingan tanpa menjadi raksasa. Seorang sekutu boleh membina kekuatan tanpa menjadi pengkhianat. Seorang pemimpin boleh melakukan kompromi tanpa kehilangan seluruh maruahnya. Namun, terlalu banyak kompromi masih boleh menghakis akar rumah.
Maka, adakah PMX seorang Odysseus? Ya, apabila Odysseus bererti manusia yang berkali-kali dicampakkan keluar daripada sejarah tetapi terus mencari jalan kembali. Ya, apabila Odysseus bererti ahli strategi yang memahami bahawa kapal yang terlalu kaku akan patah dalam ribut. Ya, apabila Odysseus bererti pengembara yang menyimpan imej rumah dalam fikirannya walaupun lautan memanjangkan jarak selama puluhan tahun.
Namun begitu, jawapannya belum apabila Odysseus bererti manusia yang benar-benar telah pulang. Putrajaya hanyalah pelabuhan tempat sebuah kapal berjaya berlabuh. Ithaca ialah saat rakyat merasakan bahawa perjalanan panjang itu telah memperbaiki mutu rumah mereka. Ithaca ialah ketika reformasi tidak lagi menjadi kain yang ditenun pada siang hari dan dileraikan pada malam politik. Ithaca ialah ketika institusi lebih kukuh daripada persahabatan individu, generasi Telemachus tidak lagi hidup di bawah bayang-bayang seorang bapa politik, dan akar pokok zaitun tidak boleh dipindahkan hanya kerana susunan tetamu di dalam rumah berubah.
Seorang politikus dikenang melalui cara dia memperoleh kuasa. Seorang negarawan dikenang melalui perkara yang dilakukannya setelah kuasa tidak lagi perlu dikejar. Odysseus menghabiskan hidupnya mahu kembali ke rumah. PMX kini harus membuktikan bahawa rumah yang dicarinya bukan semata-mata kerusi di Putrajaya, tetapi sebuah negara tempat rakyat tidak lagi terasa seperti pendayung yang dikorbankan supaya nakhodanya sampai ke daratan.
Pada akhirnya, sejarah mungkin tidak terlalu lama mengingati siapa yang berjaya mengakali siapa dalam satu musim politik. Sejarah akan bertanya tentang kapal, tentang mereka yang mendayung, tentang nama-nama yang hilang di tengah laut, dan tentang rumah yang menunggu di seberang. Seorang pengembara menjadi legenda kerana tidak tenggelam. Seorang negarawan hanya menjadi agung apabila kepulangannya turut memulangkan harapan kepada seluruh bangsa.
Sastera bermula ketika fakta berhenti pada permukaan, tetapi tugas sastera tidak berakhir dengan menemukan sebuah jawapan. Tugasnya adalah untuk memastikan penguasa tidak menjadi mitos kepada dirinya sendiri, dan memastikan rakyat tidak menyerahkan nasibnya bulat-bulat kepada mitos seorang penguasa. Laut menguji sama ada manusia mampu pulang; kuasa menguji sama ada manusia yang pulang itu masih mengenal makna rumah.
_________________________
Za’im Yusoff yang kini bertugas dalam dunia perbankan juga merupakan seorang penulis yang banyak menyumbangkan puisi dan esei, baik dalam media maya mahupun media bercetak.