Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 06:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nordin Saad berpandangan bahawa penulis perlu terus menulis walaupun budaya membaca sudah banyak berubah sekarang.

Hanya penulis sahaja yang tahu menikmati dan menilai keindahan dunia penulisan yang diceburinya itu.

Dia pun bertanya, “Masih menulis?”

Pertanyaan begitu sering dilontarkan tatkala berjumpa rakan yang agak lama tidak bertemu. Rasanya, rakan-rakan penulis lain juga sering menerima pertanyaan atau soalan klise dan nampak mudah begitu. Anehnya, agak sukar pula untuk kita mencari jawapan yang terbaik buat diri kita sebagai penulis dan rakan yang bertanyakan soalan tersebut.

Namun akhirnya, pasti akan terlontar juga jawapannya “Ya”, dan ada pula jawapannya “Tidak.” Malah, mungkin juga ada jawapan “Sikit-sikit”, atau sudah jarang-jarang menulis.

Sebagai penulis atau mungkin juga sudah berstatus bekas penulis, pastinya keinginan untuk terus menulis masih tetap kekal dalam diri masing-masing. Cuma pelbagai kekangan seperti masalah keluarga, kesihatan diri dan sebagainya, boleh menjadi penghalang untuk terus berkarya. Malah, ada juga halangan seperti rasa terbeban untuk terus berkarya, sehingga menimbulkan rasa malas atau tidak bersemangat lagi untuk berkarya. Walaupun, mungkin sudah ada karya separuh siap yang tersadai atau terbengkalai dan menanti masa sahaja untuk disiapkan.

Bagi penulis, tugas menulis atau berkarya itu tidak ada had masa atau tempoh tertentu. Malah, kerja menulis ini tidak ada umur persaraan yang khusus. Ada penulis yang berhenti menulis buat sementara waktu tatkala usianya masih boleh dimanfaatkan untuk berkarya. Ada pula penulis yang masih kekal menulis, walaupun usianya sudah melepasi usia persaraan.

Begitulah adat dunia penulisan. Suatu dunia yang bukan sahaja indah buat insan bergelar penulis, malah dunia penulisan juga merupakan satu dunia yang sarat dengan pelbagai cabaran.

Sebenarnya, senario keindahan atau keseronokan dunia penulisan buat seseorang penulis itu bermula apabila penulis tersebut mendapat sesuatu idea yang menarik untuknya menulis atau berkarya. Keindahan atau keseronokannya akan bertambah setelah penulis tersebut berjaya menyiapkan karyanya sama ada cerpen, sajak, rencana, atau novel, walaupun karya tersebut belum lagi dikirimkan untuk proses penerbitan atau penyiaran.

Keindahan atau keseronokan seterusnya, sudah tentulah akan terpancar apabila karya seseorang penulis itu berjaya diterbitkan dan boleh didapati di pasaran serta boleh ditatap oleh semua orang. Begitu juga jika seseorang penulis itu berjaya menghasilkan karya eceran seperti cerpen, sajak atau artikel lalu tersiar dalam pelbagai penerbitan. Hanya penulis sahaja yang tahu menikmati dan menilai keindahan dunia penulisan yang diceburinya itu.

Di sisi lain pula, ada juga kalangan penulis yang bercita-cita ingin menjadi penulis sepenuh masa setelah bersara daripada tugas hakikinya. Namun begitu, cita-cita murninya itu ada kalanya tersasar disebabkan pelbagai halangan yang tidak diduga. Walau bagaimanapun, kita tidak menafikan bahawa setelah beberapa lama menghilangkan diri, besar kemungkinan penulis tersebut akan muncul semula dengan karya-karya terbaharunya.

Dalam hal semangat berkarya yang tidak pernah luntur ini, pastinya kita amat mengagumi para penulis yang terus menghidupkan dan memeriahkan dunia sastera tanah air, di samping kemunculan para penulis baharu atau penulis muda. Malah, kehadiran kalangan penulis muda ini tidak pernah menggugat golongan penulis mapan untuk terus berkarya.

Kita semua juga sedia maklum, menulis lebih merupakan tuntutan hobi. Sebagai hobi, tentulah kerja-kerja menulis ini ada pasang surutnya berbanding tugas utama atau kerjaya yang mampu memberikan pulangan untuk menyara hidup keluarga. Walaupun kita memiliki status penulis sepenuh masa, namun sebilangan besar penulis kita ialah penulis yang menulis sebagai hobi. Memandangkan menulis sekadar hobi sahaja, mungkin juga hobi menulis ini boleh berubah atau beralih pula kepada hobi yang lain.

Walaupun kita memiliki status penulis sepenuh masa, namun sebilangan besar penulis kita ialah penulis yang menulis sebagai hobi.

Berbalik kepada pertanyaan “Masih menulis?” awal tadi, kita mungkin tertanya-tanya mengapa soalan begitu dilontarkan kepada insan yang bergelar penulis? Sudah tentu anda sebagai penulis mempunyai pelbagai andaian atau tanggapan terhadap soalan tersebut. Salah satunya mungkin rakan saya itu tidak lagi mengikuti perkembangan dunia penulisan tanah air. Mungkin juga, dia tidak lagi membaca karya-karya sastera setelah dunia kita sudah berubah daripada hanya membaca bahan-bahan berbentuk fizikal atau bahan bacaan bercetak kepada bahan-bahan bacaan berbentuk digital. Buku seperti novel, kumpulan cerpen, kumpulan sajak, malah surat khabar dan majalah bercetak juga sudah mula ditinggalkan. Masyarakat kini sudah beralih kepada bahan bacaan digital seperti e-mel, Facebook, TikTok, Instagram, dan sebagainya.

Sememangnya, perkembangan begini merupakan suatu perkembangan yang menarik dan berlaku di seluruh dunia. Dunia kita sentiasa berubah dan penghuninya juga akan turut berubah agar tidak ketinggalan.

Begitulah juga fenomena yang sedang melanda dunia penulisan, khususnya dunia sastera tanah air. Khalayak sastera yang setia dengan buku fizikal seperti antologi cerpen atau kumpulan cerpen, antologi sajak atau kumpulan sajak dan novel suatu ketika dahulu ternyata semakin mengecil saiznya.

Dahulu, situasi membimbit buku ke sana sini bagaikan suatu kebiasaan, malah suatu kebanggaan pula, tetapi kini sudah bertukar menjadi luar biasa. Jarang-jarang benar kita melihat pelajar atau para remaja kita yang sentiasa bersama-sama buku ke sana ke mari sekarang ini. Remaja atau pelajar yang duduk seorang diri atau berkumpulan sambil tekun membaca buku, sudah jarang-jarang dapat dilihat. Malah, tidak keterlaluan dikatakan bahawa di sesetengah tempat, fenomena ini sudah tidak wujud atau tidak dapat dilihat lagi.

Kini semua peringkat usia, kanak-kanak, remaja, dewasa, malah warga emas juga sudah beralih kepada bahan bacaan digital. Membelek telefon pintar bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Hal ini berlaku di mana-mana sahaja, di bandar atau di hujung desa.

Perkembangan hebat dunia digital telah merobah segala-galanya. Komputer dan telefon pintar pula mengambil tempatnya. Namun begitu, semua itu bukanlah alasannya untuk kita sebagai penulis meletak pena atau menyisih amalan menulis, lalu hanyut bersama-sama Facebook, TikTok dan pelbagai kemajuan baharu dan moden ini.

Menulis atau berkarya ini, walaupun sekadar hobi, ternyata lebih merupakan tanggungjawab sosial. Sebagai penulis, seharusnya kita terus menulis dan tugas membaca kita serahkan kepada khalayak pembaca. Pastinya kita tidak mahu, dunia penulisan khususnya penulisan karya sastera ini lenyap begitu sahaja mengikut peredaran masa. Perubahan medium untuk berkarya perlu diikuti, seiring dengan keinginan khalayak untuk terus menikmati atau membaca karya sastera yang kita hasilkan itu.

Sebagai penulis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan, kita pastinya inginkan suatu kepuasan yang berbeza dengan melihat karya kita dibukukan dan bercetak. Walaupun isi kandungan buku tersebut boleh dibaca dengan mudah dan cepat dalam bentuk digital. Sehubungan dengan itu, sebaik-baiknya kedua-dua bentuk bahan bacaan (bentuk fizikal dan digital) harus bergerak seiring untuk memberi pilihan kepada pembaca kerana khalayak pembaca pastinya akan tetap ada untuk kedua-dua jenis bahan bacaan tersebut.

Pastinya, karya sastera bukan sekadar dimiliki oleh generasi terdahulu sahaja, sebaliknya karya sastera perlu diwarisi oleh generasi baharu kita sebagai salah satu warisan budaya bangsa yang perlu dilestarikan, walaupun mediumnya berubah mengikut peredaran dan perubahan masa.

_________________________

Nordin Saad tinggal di Beseri, Perlis. Beliau banyak menghasilkan cerpen selain amat aktif dalam penulisan sastera remaja. Antara karyanya termasuk kumpulan puisi remaja Bercakap dengan Kucing (ITBM, 2014), kumpulan cerpen Bihun Goreng Berkuah Laksa (ITBM, 2015) dan Perempuan dalam Ombak (ITBM). Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Jun 2016.

Kredit Foto: Vitaly Gariev/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi