Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tidak semua perjalanan seorang penulis bermula dengan keyakinan penuh terhadap genre yang dipilih.

Namun bagi cerpenis Hazwani Rameli atau Rebecca Ilham, cerpen hadir sebagai titik keseimbangan antara keterbatasan puisi dengan keluasan novel, lalu menjadi ruang utama untuk membentuk suara kepengarangan.

“Penulisan saya bermula sejak usia muda dengan karya pertama yang tersiar ialah puisi kecil dalam majalah Dewan Siswa pada tahun 2000 ketika berusia 15 tahun.

“Namun, puisi kurang menjadi pilihan kerana menuntut ketelitian tinggi dalam pemilihan kata, manakala novel pula dianggap terlalu panjang serta memerlukan komitmen masa yang berterusan.

“Oleh sebab itu, cerpen dipilih sebagai genre yang lebih seimbang,” katanya ketika berkongsi kertas kerjanya, “Mengarang Cerpen sebagai Pantulan Pengalaman” dalam Kolokium Cerpen, anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, pagi semalam.

Katanya, penulisan cerpen beliau bermula ketika melanjutkan pengajian kejuruteraan di Colorado School of Mines, Amerika Syarikat.

Persekitaran yang jauh dari komuniti berbahasa Melayu menyebabkan bahasa ibunda jarang-jarang digunakan, sekali gus menjadikan penulisan sebagai cara melunaskan kerinduannya terhadap bahasa Melayu.

“Cerpen pertama saya yang diterbitkan di media ialah ‘Langit Lazuardi’ pada tahun 2007 ketika tahun kedua pengajian, dengan latar kehidupan pelajar di Amerika Syarikat.

“Pengalaman di luar negara bukan sekadar rakaman kehidupan harian, sebaliknya menuntut penelitian dan pemikiran lebih mendalam terhadap isu yang ingin disampaikan.

“Dalam dekad pertama, sejumlah cerpen dihasilkan dan kemudiannya dihimpunkan dalam Kimono Ungu Bersulam Bunga (2010), yang mengangkat tema identiti, keterasingan budaya, feminisme, serta pertembungan agama dan ilmu empirik,” katanya.

Perkembangan seterusnya memperlihatkan kematangan gaya penulisan melalui Hujan Hujung Januari (2014) yang lebih menekankan dialog dan wacana antara watak berbanding aksi atau latar tempat.

Naskhah itu turut diiktiraf dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2014 sebagai Kumpulan Cerpen Terbaik, sekali gus menjadi pengesahan terhadap perkembangan penulisannya.

Pengiktirafan itu dilihat sebagai titik penting selepas karya awalnya pernah terpilih dalam kategori karya remaja HSPM 2010. Pengalaman itu dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan kematangan berkarya dan peneguhan terhadap bentuk cerpen yang ingin diketengahkannya.

Selepas hampir sedekad dalam dunia penulisan, beliau melihat penulisan cerpen tidak lagi tertumpu kepada permainan kata, sebaliknya kepada usaha menyampaikan makna dengan lebih tepat.

Cerpen juga dilihat sebagai pantulan pengalaman, pemikiran dan perjalanan kematangan seorang pengarang yang sentiasa berkembang mengikut waktu.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi