Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perkembangan cerpen Melayu moden yang bermula sekitar suku kedua abad ke-20 terus berkembang sehingga melahirkan pelbagai bentuk penulisan baharu, termasuk aliran yang dikenali sebagai “realisme baharu”.

Penerima SEA Write Award 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman, atau lebih dikenali sebagai S.M. Zakir berkata, perkembangan cerpen moden dipengaruhi oleh interaksi pemikiran Barat dengan kesusasteraan Melayu tradisional seperti hikayat dan cerita jenaka.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Daripada Formalisme kepada Realisme Baharu” dalam Kolokium Cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang semalam.

Menurutnya, di Tanah Melayu, perkembangan cerpen moden bergerak seiring dengan penubuhan ASAS 50 yang memperjuangkan konsep “Seni untuk Masyarakat”.

“Aliran ini menekankan karya realisme dengan tema kemiskinan, antipenjajahan dan kehidupan masyarakat marhaen,” katanya.

Beliau berkata, pengaruh formalisme dari Rusia pada awal abad ke-20 turut menjadi asas pembentukan sastera moden melalui pemikiran tokoh seperti Viktor Shklovsky dan Roman Jakobson.

Katanya, hasil pengaruh itu, cerpen Melayu berkembang dalam bentuk konvensional dengan jalan cerita lurus, watak jelas dan bahasa mudah difahami sebelum menjadi arus perdana kesusasteraan negara.

Walau bagaimanapun, sekitar era 1990-an, muncul cerpen eksperimental yang mencabar bentuk konvensional menerusi pendekatan antiplot, antiwatak dan antiklimaks, selain membawa unsur surealisme, absurdisme dan realisme magis.

“Sebahagian sarjana mengkritik karya eksperimental kerana dianggap sukar difahami, namun aliran itu membuka ruang penerokaan bentuk penulisan yang lebih bebas,” katanya.

Menurut beliau, memasuki abad ke-21, cerpen Melayu berkembang kepada bentuk yang lebih kompleks apabila sempadan antara realiti dengan fiksyen semakin kabur.

Katanya, penulis mula menggabungkan unsur fantastik, sejarah, mitos, dan psikologi manusia dalam satu naratif baharu yang dikenali sebagai “realisme baharu”.

Istilah itu dipengaruhi oleh pemikiran ahli sejarah seni Jerman, Franz Roh yang melihat realisme baharu sebagai lanjutan kepada realisme tradisional dengan memasukkan unsur magis dan luar biasa.

“Melalui realisme baharu, unsur magis bukan lagi sekadar fantasi, tetapi menjadi medium kritikan sosial dan politik secara satira,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan cerpen Melayu terus berubah mengikut zaman dan pemikiran semasa, sekali gus memperlihatkan kesusasteraan Melayu semakin terbuka kepada pelbagai bentuk pengucapan dan tafsiran baharu.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi