Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangUntuk Labrin dalam Helaian kali ini, Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 04/2026, Dr. Victor A. Pogadaev mengambil jalan yang sedikit berbeza daripada para karyawan tamu yang lain dengan hanya memilih untuk membicarakan dua karya sahaja, iaitu sebuah novelet kanak-kanak yang terkenal, Putera Kecil (The Little Prince) yang cukup memikat, tetapi kaya falsafah hidupnya, serta buku kajian sastera Rusia, Struktur Teks Artistik (The Structure of the Artistic Text).
Buku fiksyen yang digemari | Putera Kecil, karya Antoine de Saint-Exupéry yang paling terkenal ini diterbitkan pada 6 April 1943. Buku ini menceritakan kisah seorang juruterbang yang jatuh terhempas dan bertemu dengan seorang budak lelaki yang dikenali oleh pembaca sebagai Putera Kecil. Daripadanya, juruterbang-pencerita itu mempelajari tentang planet asal budak lelaki itu (sebuah asteroid) dan perjalanannya ke dunia kosmik lain. Selama lapan hari, mereka mengembara bersama-sama melalui padang pasir. Buku ini telah memukau banyak orang dewasa dan kanak-kanak selama lebih 80 tahun, dan halaman bergambarnya sudah diterjemahkan ke dalam 250 bahasa dan dialek.

Putera Kecil merupakan salah satu buku kegemaran saya. Saya akan tumpukan lima pengajaran yang saya dapat daripadanya.

Pencerita memulakan cerita dengan kisah tentang lukisan zaman kanak-kanak pertamanya, yang menggambarkan seekor ular sawa menelan seekor gajah. Dia percaya bahawa setiap orang dewasa, selepas membuka buku, akan melihat topik yang biasa. Juruterbang itu sudah lama meninggalkan dunia lukisan sehinggalah dia bertemu dengan Putera Kecil itu, yang segera memahami apa yang digambarkan oleh lukisan itu: seekor gajah di dalam seekor ular sawa.
Kata juruterbang, “Setiap kali saya bertemu dengan orang dewasa yang kelihatan lebih bijak dan lebih memahami daripada yang lain, saya akan menunjukkan lukisan saya itu kepada mereka, kerana saya menyimpannya dan sentiasa membawanya bersama-sama saya. Saya ingin tahu sama ada orang itu benar-benar memahami apakah yang dilukiskan. Tetapi mereka semua menjawab ringkas, ‘Itu topi.’ Dan, saya tidak lagi bercakap dengan mereka tentang ular sawa, hutan belantara atau bintang. Saya menyesuaikan diri dengan konsep mereka. Saya bercakap dengan mereka tentang jambatan dan golf, politik dan tali leher. Dan orang dewasa sangat gembira kerana bertemu dengan orang yang dikira mereka sudah begitu bijak.”
Pengajaran: Apabila anda semakin dewasa, anda perlu mengekalkan sekurang-kurangnya sedikit tenaga khayalan dan pandangan kreatif. Orang dewasa lebih suka nombor dan hal praktikal dalam segala-galanya, tetapi mereka lupa untuk melihat ke bawah permukaan untuk memberikan diri mereka sedikit kebebasan kreatif. Atas kehilangan rasa ingin tahu mereka itu, mereka lantas menjadi pasif.
Seperti yang dijelaskan oleh Putera Kecil, dalam penerbangan di antara planet, dia bertemu dengan seorang ahli perniagaan yang sangat serius. Lelaki ini sentiasa mengira bintang-bintang di galaksi. Walaupun dia membayangkan dirinya gembira kerana kononnya dia memilikinya, hidupnya tetap sunyi dan membosankan, kerana tiada apa-apa lagi yang ada di dalamnya. Dia tidak dapat menghargai keindahan bintang-bintang di langit. “Saya menguruskannya,” jawab ahli perniagaan itu (tentang bintang itu). “Saya mengiranya dan mengiranya semula. Kerja itu sangat sukar, tetapi saya (lakukan kerana) seorang lelaki yang serius.”
Pengajaran: Jangan korbankan kegembiraan kecil dalam hidup kita. Sudah menjadi fakta yang diketahui umum bahawa tiada apa-apa yang dapat mengangkat semangat seseorang dan meningkatkan kualiti hidup seseorang dengan hanya ketawa. Ya, ketawa. Pada tahun 2014, saintis dari Universiti Loma Linda, California mendapati bahawa orang yang lebih kerap ketawa mempunyai ingatan jangka pendek yang lebih baik dan tekanan toleransi yang lebih tinggi.
Putera Kecil bertemu dengan watak lain yang menarik di planet kelima. Setiap hari di sana berlangsung hanya selama seminit. Lampu planet itu mesti dipadamkan setiap minit, kemudian dinyalakan semula dengan cepat. Oleh sebab itu, orang planet kelima itu tidak mempunyai masa untuk tidur atau berehat. Katanya, “Begitulah keadaannya. Planet ini berputar sepenuhnya dalam satu minit, maka saya tidak mempunyai sesaat pun untuk berehat. Setiap minit saya memadamkan lampu saya lalu kemudian terus menyalakannya semula.”
Pengajaran: Anda perlu menghargai setiap saat dan menikmati hidup. Doktor tidak jemu mengulangi yang kekurangan tidur memudaratkan kesihatan. Selain tidur yang sihat, seseorang juga memerlukan masa untuk menumpukan perhatian kepada diri sendiri, bukan untuk kerja sahaja.
Di planet keenam, Putera Kecil bertemu dengan “seorang lelaki tua yang menulis buku tebal”. Pada mulanya, Putera itu menyangka dia seorang penjelajah dan pengembara, tetapi ternyata dia seorang ahli geografi yang tidak pernah meninggalkan bilik belajarnya.
Ujarnya, “Saya seorang ahli geografi, bukan pengembara. Saya sangat kurang mengembara. Lagipun, bukan ahli geografi yang mengira bandar, sungai, gunung, laut, lautan, dan gurun. Seorang ahli geografi terlalu penting untuk bersiar-siar. Dia tidak pernah meninggalkan pejabatnya. Tetapi dia menerima utusan pengembara dan mencatat kisah mereka.”
Pengajaran: Kita berusaha untuk kekal di zon selesa kita kerana hal itu lebih mudah daripada mengambil risiko. Namun eloklah lagi jika kita dapat meluangkan masa yang kita ada untuk menimba pelbagai pengalaman, bertemu orang baharu dan mengembara ke seluruh dunia. Terdapat sejuta sebab untuk keluar dari zon selesa anda, dan kebanyakannya disokong oleh bukti saintifik. Ahli psikologi percaya bahawa tekanan yang kita alami semasa saat-saat mencabar menyumbang kepada produktiviti kita. Menyesuaikan diri dengan keadaan baharu membantu kita mengekalkan ketajaman mental sehingga usia tua.
Putera Kecil menyukai bunga mawar yang ditinggalkannya di planet asalnya. Ia kelihatan tidak berbeza dengan bunga yang dilihatnya di Bumi. Tetapi bunga mawarnya unik kerana itu mawar yang dipilihnya: “Mawarmu sangat berharga bagimu kerana kamu telah memberikan seluruh harimu untuknya … Inilah rahsia saya, dan ia sangat mudah: hanya hati yang dapat melihat dengan jelas. Perkara penting tidak dapat dilihat oleh mata.”
Pengajaran: Putera Kecil menjelmakan hal spontan. Tidak seperti orang lain, dia berfikir secara naluri, mengikuti kata hatinya. Seperti yang dikatakan oleh si musang, inilah satu-satunya jalan sebenar untuk memahami apa yang benar-benar penting. Intuisi membolehkan kita mengekalkan keseimbangan. Intuisi berfungsi sebagai jambatan antara naluri dengan akal.
Jelas sekali, Putera Kecil penuh dengan nasihat hidup yang tidak ternilai. Tetapi untuk mengetahui lebih lanjut, anda perlu bertanya kepadanya sendiri. Jika anda terbang ke planetnya, anda pasti akan mendapati dia sedang menonton matahari terbenam bersama-sama bunga kegemarannya.
Buku bukan fiksyen yang digemari | Saya ingin mengetengahkan karya Yuri Mikhailovich Lotman (1922 – 1993) atau dikenali di Barat dan Eropah sebagai Juri Lotman, iaitu Struktur Teks Artistik (1970).

Yuri Mikhailovich Lotman merupakan seorang sarjana sastera dan ahli teori budaya Rusia yang terkemuka, salah seorang pengasas Sekolah Semiotik Tartu-Moscow.
Struktur Teks Artistik membincangkan pelbagai isu berkaitan kajian struktur teks sastera: seni sebagai bahasa, kekhususan maklumat artistik, hubungan antara teks dengan struktur tekstual ekstra, dan prinsip konstruktif teks. Dalam kajiannya, beliau mengkaji seni melalui prisma sistem tanda dan memecahkan konsep “teks” kepada komponen-komponennya yang paling kecil. Lotman dengan teliti mengkaji makna kiasan simbol dan tanda, peraturan pengekodan dan komposisi, serta permasalahan watak.

Kajiannya sangat komprehensif dan susah untuk menjelaskannya satu-satu. Di sini, saya memberi hanya sejumlah idea yang dipaparkannya dalam buku ini:
_________________________
Kenali Dr. Victor A. Pogadaev dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 04/2026.