Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Terjemahan cerpen Anton Chekov ialah usaha dua hal, iaitu memperkenalkan karya sasterawan Rusia itu kepada penutur bahasa Melayu, dan dalam masa yang sama menunjukkan bahawa bahasa Melayu mampu menampung karya agung dunia.
Demikian menurut Sarjana Kesusasteraan Melayu Dr. Victor A. Pogadaev pada majlis pelancaran naskhah terjemahan terbaharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perempuan dan Anjing yang menghimpunkan cerpen klasik nukilan Chekhov yang kini boleh dinikmati dalam bahasa Melayu hasil terjemahan Pogadaev sendiri.

Dalam ucapannya, Pogadaev menyatakan bahawa terjemahan bukan semata-mata kerja teknikal, tetapi misi budaya yang lebih mendalam.
“Saya bukan hanya mahu memperkenalkan kesusasteraan Rusia, saya juga mahu memartabatkan bahasa Melayu,” ujarnya malam kelmarin.
Menurutnya, Chekhov terkenal kerana kemampuannya menulis tentang “orang biasa dengan masalah luar biasa”, dan itulah sebabnya beliau kekal relevan merentasi zaman dan benua.
Jelas Pogadaev, “Chekhov menulis tentang manusia seperti perasaan mereka, ironi kehidupan dan absurditi keseharian yang hadapi.
“Walaupun berakar dari Rusia, kisah-kisah beliau bersifat sejagat. Saya yakin pembaca Melayu akan memahami dan menghayati jenaka halus dan sisi tragis dalam cerpen-cerpen ini.”
Perempuan dan Anjing menghimpunkan 13 cerpen pilihan Chekhov yang diterjemahkan dengan penuh teliti dan telus budaya.
Pogadaev turut menzahirkan penghargaan terhadap DBP dan editor naskhah, iaitu Puan Hasnah Ahmad Nadzar, yang menyempurnakan proses penyuntingan dan membetulkan kesilapan linguistik agar karya tersebut dapat dihadam sempurna oleh khalayak pembaca tempatan.
“Saya bukan penutur jati, sudah tentu saya membuat kesilapan.
“Tapi editor seperti Puan Hasnah menjadikan naskhah ini lebih indah, lebih tepat dan lebih hidup dalam bahasa Melayu,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa usaha penterjemahan ini ialah lanjutan tradisi tahunan bersama Rumah Rusia, yang sebelum ini merangkumi karya Mikhail Lermontov (Wira Zaman Kita) dan Nikolai Gogol (Taras Bulba). Kini, Pogadaev dalam perancangan menerbitkan karya Pushkin dan Turgenev pula.
“Pushkin sangat terkenal di Rusia, dan saya sedang usahakan terjemahan Puteri Kapten dan dongeng-dongeng Pushkin supaya penutur bahasa Melayu juga dapat menikmatinya,” katanya.
Majlis anjuran Rumah Rusia itu menghimpunkan tokoh besar dunia sastera Malaysia, termasuk Sasterawan Negara Dato’ Seri A. Samad Said dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.
Dalam majlis yang sama, Anwar Ridhwan pula menyifatkan Pogadaev sebagai “jambatan budaya” yang bukan sahaja membuka ruang kepada pembaca Malaysia mengenal karya agung Rusia, malah membawa karya sastera Melayu ke Rusia.
Menurut Anwar, “Beliau bukan sekadar penterjemah, beliau ialah pencinta budaya Melayu yang sebenar. Sejak tahun 1971, kami sudah saling mengenali sebagai rakan penuntut di Universiti Malaya.
“Beliau mendalami bahasa dan budaya Melayu bukan secara akademik sahaja, tetapi melalui kehidupan dengan banyaknya keluarga angkat di sini, tidak kurang juga pengalamannya yang rencam,” ujar Anwar.
“Melalui usaha beliau, sastera agung Rusia seperti karya Chekhov dapat merentas sempadan budaya dan geografi, dan itulah sifat karya agung, yakni tidak terikat dengan zaman atau tempat.
“[Karya agung] akan terus hidup seribu tahun dan seribu tahun kemudiannya lagi.”
Anwar turut berkongsi bahawa beliau pernah menjadi editor terjemahan Haji Murat oleh Pogadaev dan ketika itu berazam menjadikan karya tersebut sebagai skrip filem.
Karya itu kemudiannya dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir tahun lalu dan mendapat pujian Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Terjemahan Dr. Pogadaev sentiasa kuat dari segi penguasaan budaya dan bahasa. Kami di DBP hanya menyemak aspek kebahasaan dan penyesuaian budaya. Selebihnya, sudah cukup baik,” katanya.
Rumah Rusia menyatakan bahawa selain Perempuan dan Anjing, beberapa karya terjemahan Pogadaev turut dipamerkan seperti Taras Bulba dan Pushkin dan Dunia Timur. Kesemua ini menjadi bukti bahawa sastera mampu menjadi jambatan kemanusiaan di tengah dunia yang penuh pergolakan.
“Dalam dunia yang semakin berpecah, sastera boleh menjadi penyembuh dan menyentuh perasaan manusia. Selagi emosi dan kemanusiaan wujud, selagi itu karya agung akan terus hidup,” simpul Anwar mengakhiri ucapannya.
Majlis disusuli dengan pembacaan cerpen Chekhov dalam bahasa Melayu oleh beberapa pelajar Rusia di Malaysia dan sesi menandatangani buku bersama-sama khalayak.
Beli Prempuan dengan Anjing di sini.