Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDr. Victor A. Pogadaev, penterjemah novela Haji Murat menampilkan butir-butir sejarah penting kemunculan karya terakhir Leo Tolstoy ini dan hal-hal yang berkaitan dengan dunianya.
Karya ini merupakan pernyataan terakhir Tolstoy tentang kebebasan diri dan apa-apa yang mengekangnya.
Kejayaan pementasan teater Haji Murat yang diadaptasi daripada novela Leo Tolstoy yang baru-baru ini dipentaskan oleh kumpulan teater perdana Badan Budaya DBP mendorong saya sebagai penterjemah buku itu ke dalam bahasa Melayu untuk menjelaskan beberapa keistimewaannya.
Seorang askar Kaukasia yang berpihak kepada pihak musuhnya ialah suatu citra wira yang ideal bagi Tolstoy tentang daya tahan dan sifat yang merosakkan kekuasaan. Haji Murat ialah karya sastera terakhir yang hebat daripada pengarang besar Rusia ini, dalam erti kata lain, suatu wasiat akhir daripada Tolstoy.
Novela ini tentang Apa?
Haji Murat ialah kisah seorang pemerintah Avar yang memihak kepada Rusia semasa Perang Kaukasia pada abad ke-19. Dengan bantuan Rusia, Haji Murat berharap yang dia dapat menyelamatkan keluarganya yang ditangkap oleh Imam Shamil, tetapi tidak lama kemudian, dia sendiri selepas menjadi tawanan dalam pentadbiran Empayar Rusia memutuskan untuk melarikan diri daripada cengkaman lalu meninggal dalam satu insiden tembak-menembak.
Haji Murat ialah salah satu karya terakhir Tolstoy. Karya ini merupakan pernyataan terakhir Tolstoy tentang kebebasan diri dan apa-apa yang mengekangnya. Inilah penilaian tegas dasar Rusia waktu itu yang berdasarkan fakta yang didokumenkan. Inilah juga bukti kejayaan penulisan Tolstoy yang mampu menghidupkan dokumen fakta sejarah tersebut dengan menggambarkannya dengan sama mendalam antara pertempuran ketenteraan dengan jamuan makan di istana, askar dengan pemimpin, Rusia dengan penduduk daerah pergunungan, kehidupan dengan kematian.
Bilakah Novela ini Ditulis?
Tolstoy menulis novela ini selama beberapa tahun, iaitu sejak 10 Ogos 1896 apabila beliau mula mengarang sebuah “cerita Kaukasia” yang bertajuk “Burdock” hingga 19 Disember 1904, apabila beliau membuat perubahan terakhir pada Bab XXIII, lalu manuskrip itu bertukar judulnya menjadi “Haji Murat” (Хаджи-Мурат dalam bahasa Rusia).
Pengkaryaannya berjalan dengan susah payah. Selama tiga tahun – sejak tahun 1899 hingga 1901 – Tolstoy tidak menyentuh teks itu sama sekali. Hal ini terutamanya atas kesibukannya dengan novel Kebangkitan (1899), drama “Bangkai Hidup” (1900) dan kegiatan aktifnya dalam dunia penerbitan. Cabaran lain yang merumitkan rancangan asalnya ialah persoalan kemasukan tokoh sejarah utama, iaitu Shamil dan Nicholai I ke dalam cerita tentang pelarian dan kematian Haji Murat yang memerlukan kajian tambahan.
Tolstoy kerap menyebut tentang pengkaryaan Haji Murat dalam diarinya. Terdapat kegembiraan (“Saya menulis dua bab dengan sangat baik”) yang kemudian diganti dengan kekecewaan (“Saya bekerja dengan buruk. Saya kecewa lagi”). Terdapat juga rasa senang sekembalinya pada kerja menulisnya (“Apabila saya selesaikan hal itu, saya mahu meneruskan kerja sastera saya”) dengan rasa malu kerana masa dan usaha yang dirasainya sia-sia (“Saya malu untuk menulis perkara kecil”). Tolstoy cuba meninggalkan penulisan Haji Murat berulang kali, tetapi kemudian kembali padanya, menulis semula bahagian yang berbeza, berkali-kali. Misalnya, 13 bab pertama buku ini ditulis semula sebanyak lima kali, dan bab ke-15 tentang Nicholai I – lapan kali. Haji Murat ternyata menjadi teks Tolstoy yang paling menyakitkannya dan juga paling intim kepadanya. Beliau tidak dapat berpisah dengan manuskrip itu sehingga 28 Oktober 1910, hari terakhirnya di estet Yasnaya Polyana.
Bagaimanakah Haji Murat Ditulis?
Seperti Perang dan Damai, Haji Murat menampilkan gambaran stereoskopik konflik ketenteraan yang sebenar: pertentangan antara Empayar Rusia dengan Imamat Kaukasia Utara digambarkan dari sudut pandangan yang berbeza – melalui kaca mata askar dan jeneral, lelaki dan perempuan, dari St. Petersburg dan juga dari barisan hadapan. Tolstoy seakan-akan masuk ke dalam minda mereka yang membuat keputusan dan menemui di belakangnya, tindakan mereka yang menentukan nasib bangsa. Terdapat juga sejumlah emosi: pergelutan hasrat yang amat ketara serta sikap waswas dan ketakutan yang tersembunyi, selain adanya pertembungan antara sikap rasional dengan bawah sedar.
Seperti Kebangkitan, Haji Murat menampilkan kritikan tajam dan berasasnya terhadap lembaga-lembaga kerajaan era itu. Tolstoy bukan sahaja menceritakan kisah seorang wira, tetapi juga mendedahkan bermacam-macam perkara tentang kekuasaan dan keadilan. Beliau menunjukkan kekejaman sehari-hari oleh badan-badan yang terlibat. Salah satu akibat daripada tumpuan terhadap ketulusan yang melampau itu ialah penggambaran pembunuhan Haji Murat yang sangat naturalistik, suatu hal yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam sastera klasik Rusia.
Pengkritik sastera Rusia Vladimir Tunimanov menyatakan bahawa Haji Murat dan novel awal Tolstoy, Para Kossak sebagai “rima” Kaukasia yang menghubungkan pelbagai sudut dan pencapaian sang pengarang. Dalam kedua-dua novel itu, pengarang berkarya dalam konteks serantau dan menampilkan ketelitian seorang ahli etnografi dan kecergasan seorang jurnalis: Tolstoy mampu mengkaji struktur budaya Kaukasia pada tahap-tahap yang berbeza dan menggariskan konflik antara tamadun, termasuk antara Rusia (metropolis) dengan alam semula jadi (daerah pinggiran yang sukar ditebak).
Pengaruh Penulisan Haji Murat
Pada tahun 1890-an, Leo Tolstoy kembali sepenuhnya pada kesusasteraan, seolah-olah atas dasar baharu: selepas berehat panjang, beliau sekali lagi merasakan adanya keperluan untuk mengekspresikan teks sastera yang membolehkannya menyampaikan ideanya dalam bentuk yang popular. Dalam hal itu, bolehlah dikatakan bahawa Haji Murat telah didahului oleh karya-karya lain yang ditulis oleh Tolstoy dalam dekad itu, daripada Hasil-hasil Penerangan (1890), Setan (1890), sehingga “Mimpi Raja Muda” (1894) serta “Majikan dan Pekerja” (1895).
Tema novel Haji Murat juga pasti berkaitan dengan beberapa peristiwa peribadi dalam hidup Tolstoy. Pada 21 Februari 1895, beliau mengumumkan kepada isterinya akan keinginannya untuk meninggalkan rumah: mereka bertengkar mengenai kiriman cerpennya, “Majikan dan Pekerja” kepada majalah Utusan Utara secara percuma dan dengan itu, mengurangkan pendapatan keluarga. Dua hari kemudian, anak bongsu mereka, Vanya, yang berusia enam tahun dan amat dikasihinya meninggal dunia. Tolstoy menulis dalam diarinya: “Buat pertama kali dalam hidup saya bahawasanya saya berasa putus asa”. Dua motif ini – kemahuan untuk meninggalkan keluarga dan kebimbangannya terhadap anak-anak – digabungkan dalam surat perpisahannya kepada isterinya pada bulan Jun 1897, yang juga ada dalam Haji Murat.
Akhirnya, Tolstoy melakukan banyak kajian untuk Haji Murat. “Apabila saya menulis sejarah, saya suka setia terhadap butiran terkecil dalam realiti,” katanya kepada Ivan Korganov, yang pada masa kanak-kanaknya pernah melihat Haji Murat dan berkongsi kenangannya dengan pengarang. Atas prinsip itu, Tolstoy mengkaji pelbagai sumber maklumat untuk menyediakan dirinya untuk penyiapan novela ini. Terdapat sekurang-kurangnya 172 buah kertas kajian yang dikumpulnya.
Antara yang paling penting dalam kertas kajian tersebut termasuklah “Kumpulan Maklumat tentang Penduduk Kaukasia” yang berbilang jilid, “Dua Puluh Lima Tahun di Kaukasia” oleh Arnold Zisserman, “Memoir” oleh Vladimir Poltoratsky, “Dalam Tawanan Shamil” oleh Evgraf Verderevsky, “Maharaja Nicholai I. Kehidupan dan Pemerintahannya” oleh Nikolai Schilder, selain memoir tentang maharaja yang disediakan oleh pelukis Ekaterina Junge atas permintaan Tolstoy. Selain itu, Tolstoy telah membaca semula karya fiksyen zaman Maharaja Nicholai I, misalnya novel Ammalat-Bek (1832) dan Mulla-Nur (1836) oleh Alexander Bestuzhev-Marlinsky yang sebelum itu dikritiknya kerana memaparkan banyak klise romantik. Mungkin tulisan Tolstoy sendiri tentang Kaukasia boleh turut dimasukkan dalam senarai kajian ini: “Serangan” (1852), “Catatan Seorang Pelayan Biliyad” (1853), “Penebangan Hutan” (1855), “Yang Dipecat daripada Perkhidmatan” (1856), “Para Kossak (1862), dan “Tawanan Kaukasia” (1872).
Bagaimanakah Haji Murat Diterbitkan?
Selepas kematian Tolstoy pada tahun 1910, arkibnya diuruskan oleh seorang rakan penulis, Vladimir Chertkov. Semasa Chertkov sedang menyediakan edisi Karya-karya Sastera Anumerta L. N. Tolstoy dalam tiga jilid (termasuk Haji Murat) bersama-sama dengan Pavel Boulanger, beliau mengambil keputusan untuk mengirimkan buku itu sendiri kepada pihak berkuasa untuk tapisan awal. Hal ini dilakukan agar melindungi mereka daripada apa-apa tindakan rampasan oleh pihak berkuasa selepas buku diterbitkan. Kementerian Istana membayangkan kepada Chertkov bahawa Maharaja Nicholai II sendiri mahu menjadi ketua penapis karya Tolstoy, hal yang sama seperti datuknya Nicholai I sebagai penapis karya-karya Pushkin. Namun akhirnya, tugas itu diserahkan kepada Alexei Bellegard, iaitu Ketua Jabatan Hal Ehwal Akhbar.
Bellegardlah yang kemudian menemui banyak perkara “haram” dalam Karya-karya Sastera Anumerta L. N. Tolstoy. Terutamanya, menurut Bellegard, dalam Haji Murat, terdapat banyak serangan askar yang sangat biadab, kurang ajar dan tidak menghormati susuk Maharaja Nicholai I sebagai pemegang kuasa tertinggi yang akan mencemarkan namanya. Maka hal ini tidak boleh diterima dan mampu mencalar reputasi raja-raja dan ratu-ratu yang memerintah sebelumnya.
Akibatnya, edisi pertama novela ini diterbitkan (Moscow, 1912) dengan beberapa potongan selepas penapisan. Bab tentang Nicholai I dipotong lebih daripada separuh: yang kekal hanya empat setengah muka surat daripada sepuluh muka surat. Dalami Bab XVII, yang tinggal hanya satu ayat: “Aul yang dimusnahkan dalam serangan itu ialah aul yang dikunjungi oleh Haji Murat pada malam sebelum dia memihak kepada Rusia”.
Pada tahun 1912 yang sama, Rumah Penerbitan I.P. Ladyzhnikov di Berlin menerbitkan versi dalam Karya-karya Sastera Anumerta L. N. Tolstoy yang tidak ditapis. Haji Murat termuat dalam jilid ketiga. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kedua-dua edisi Moscow dan Berlin itu berdasarkan teks yang disediakan oleh Boulanger, yang tidak mempunyai akses pada manuskrip asal Tolstoy. Edisi lengkap Haji Murat berdasarkan naskhah asal penulisnya diterbitkan hanya pada tahun 1950, dalam jilid ke-35 kumpulan karya lengkap Tolstoy.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
Novela Haji Murat boleh dibeli di sini.
Kredit Foto: Anton/Unsplash, Victor A. Pogadaev dan Ilham Books
_________________________
Victor A. Pogadaev (Prof. Madya Dr.) merupakan Timbalan Presiden Nusantara Society, Lomonosov Moscow State University.