Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sarjana Kesusasteraan Melayu terkemuka, Dr. Victor A. Pogadaev baru-baru ini menerima pingat penghargaan atas sumbangannya kepada kebudayaan Rusia.
Majalah sastera dalam talian, Russky Pereplet menyerahkan pingat itu kepada Pogadaev, yang disampaikan oleh Ketua Pengarangnya, Prof. Vladimir Lipunov di Moscow State University pada 31 Mei lalu.
Pogadaev, sarjana kelahiran wilayah Ural Selatan yang diapit oleh Eropah Timur dan Barat Siberia tiba di Malaysia pada tahun 1970-an.
Beliau ketika itu merupakan sebahagian daripada delegasi Rusia ke Malaysia untuk mempelajari bahasa Melayu di Universiti Malaya (UM), sebelum berada di Malaysia bertahun-tahun lamanya dengan kali terakhir berkhidmat sebagai pensyarah UM sebelum bersara pada tahun 2016.
Penerimaan pingat itu dinyatakan secara ringkas oleh Pogadaev menerusi hantaran di Facebooknya dan disambut baik oleh khalayak.
Selain dikenali sebagai sarjana, beliau juga turut terbabit dengan pelbagai projek alih bahasa karya Rusia kepada bahasa Melayu dan sebaliknya. Antara naskhah terjemahan terbaharu yang diusahakan termasuklah novel klasik Rusia yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Taras Bulba dan Wira Zaman Kita.
Tahun lalu, Pogadaev juga dianugerahi Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023. Anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangannya memperkenalkan serta mengembangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di Rusia.
Kredit Foto: Victor A. Pogadaev