14 Ogos 2024, 19:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Victor A. Pogadaev, penterjemah novela Haji Murat menampilkan butir-butir sejarah penting kemunculan karya terakhir Leo Tolstoy ini dan hal-hal yang berkaitan dengan dunianya.

Ahli sejarah sastera Rusia, Dmitry Svyatopolk-Mirsky (1890 – 1939) pula percaya bahawa isi kandung novela ini ‘mencapai kemuncak tertingginya’.

Reputasi Haji Murat: Kritikan Awal dan Kemudian

Pada awalnya, sambutan para pengkritik sastera terhadap Haji Murat agak sejuk. Pengkritik Rusia Vasily Rozanov (1856 – 1919) menganggap bahawa karya-karya terakhir Tolstoy lemah dan memanggil halaman Haji Murat tentang Nicholai I sebagai “memalukan”. Kritikan seorang penerbit majalah Novoye Vremya (Masa Baharu), Alexey Suvorin (1834 – 1912) adalah lebih keras: “Apa itu berbanding dengan Puteri Seorang Kapten? Sampah.”

Akan tetapi lambat laun, reputasi Haji Murat semakin baik. Penulis Rusia Mark Aldanov (1886 – 1957) pernah berkata kepada penulis Rusia, pemenang Hadiah Nobel Ivan Bunin (1870 – 1953): “Sastera Rusia yang besar berakhir dengan Haji Murat.” Penulis Soviet, Isaac Babel (1894 – 1940) pula mengesyorkan agar para penulis belajar dengan aspek kesederhanaan dan ketepatan pemaparan daripada novela itu: “Di dalamnya, arus tenaga mengalir dari tanah, terus melalui tangan, terus ke atas kertas, tanpa sebarang halangan, tanpa belas kasihan, merobek semua penutupnya dengan rasa kebenaran, dan apabila kebenaran itu muncul, ia ada pakaian yang telus dan cantik.” Ahli falsafah Austria, Ludwig Wittgenstein (1889 – 1951), seorang peminat sastera klasik Rusia pula mengesyorkan pembacaan Haji Murat kepada rakan-rakannya sambil meletakkannya dalam kategori novel “Kebangkitan” yang agak didaktik: “Falsafah (Tolstoy) bagi saya nampaknya paling betul apabila ia tersembunyi dalam naratif.”

Pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, Tolstoy hampir tidak menulis fiksyen. Beliau lebih menumpukan perhatian kepada penulisan diari, artikel dan surat. Hal ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penyakit yang berlarutan yang dialami olehnya pada tahun 1901 – 1902; mungkin sebab yang lebih penting ialah kekecewaan muktamadnya terhadap kemampuan sastera cereka yang diungkapkannya dalam risalah “Apakah Itu Seni?” [https://www.gutenberg.org/files/64908/64908-h/64908-h.htm] (1897) dan “Tentang Shakespeare dan Drama” (1906).

Pada tahun 1906, Akademi Sains Rusia mencalonkan Tolstoy untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan. Pada bulan Oktober, beliau meminta penulis dan penterjemah Finland, Arvid Järnefelt (1889 – 1951) untuk mempengaruhi keputusan Akademi Sweden agar tidak menamakannya sebagai penerima. Tolstoy tidak mahu menerima anugerah kerana beliau tidak tahu cara menguruskan hadiah wang tunai. Hadiah itu diberikan kepada penyair Itali, Giosue Carducci (1835 – 1907).

Keadaan pemergian dan kematian Tolstoy diketahui umum: beliau meninggalkan rumahnya dan meninggal dunia pada 7 November 1910 di stesen kereta api Astapovo. Haji Murat yang diterbitkan semula selepas kematiannya menjadi cepat terkenal bersama-sama dengan trilogi Masa Kanak-kanak, Masa Remaja dan Masa Muda, novel-novel besarnya, dan Kematian Ivan Ilyich. Pengkritik Soviet, Viktor Shklovsky (1893 – 1984) menganggap bahawa novela Haji Murat sebagai “hasil karya Tolstoy yang terbesar dan antara karya yang besar”. Ahli sejarah sastera Rusia, Dmitry Svyatopolk-Mirsky (1890 – 1939) pula percaya bahawa isi kandung novela ini “mencapai kemuncak tertingginya”. Dalam ulasannya tentang novel bersajak Eugene Onegin oleh Pushkin, penulis Amerika Vladimir Nabokov (1899 – 1977) menyebut bahawa Haji Murat sebuah “kisah yang menakjubkan”. Akhir sekali, menurut pengkritik sastera dan pengarang Amerika Harold Bloom (1930 – 2019), Haji Murat ialah “novel terbaik dunia” dan mempunyai “standard yang luhur dalam fiksyen”.

Awalnya, adaptasi filem dan pementasan teater Haji Murat sangat jarang dihasilkan. Novela ini mula difilemkan di Jerman pada tahun 1930 di bawah tajuk Setan Putih, dibintangi oleh pelakon Rusia, Ivan Mozzhukhin. Pada tahun 1959, filem Itali-Yugoslavia Haji Murat dikeluarkan. Pada tahun 1966, pengarah Soviet Georgy Danelia (1930 – 2019) mahu membuat filem berdasarkan novela itu, tetapi penapis Soviet menolak skrip oleh penyair Avar Rasul Gamzatov (1923 – 2003). Beliau meninggalkan sebuah puisi kecil di halaman skripnya: “Tetapi mengapa, walaupun kamu sudah lama meninggal, Goskino masih takut kepada kamu?” Dalam pementasan, teater adaptasi Haji Murat kebanyakannya dipentaskan di daerah Kaukasia saja: di Buynaksk (1934), Makhachkala (2012), Tbilisi (2014), Baku (2016), dan Sukhumi (2018). Pementasan paling mutakhir dibuat di bawah arahan Adgur Kove bersempena dengan Festival Teater Tolstoy di Yasnaya Polyana pada Julai 2019. Adalah membanggakan bahawa senarai yang tidak panjang itu pada bulan Jun 2024 ditambah dengan persembahan oleh kumpulan teater Perdana Badan Budaya DBP.

Pementasan sulung teater Haji Murat dalam bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dengan Apa Haji Murat berbeza daripada Karya Tolstoy yang Lain tentang Kaukasia?

Pertama-tama, dengan skopnya: sarjana sastera Rusia, Pyotr Paliyevsky (1932 –2019) memanggil bahawa Haji Murat ialah sebuah “epik ringkas”, yang bermaksud bahawa Haji Murat mempunyai sifat panoramik Tolstoy tetapi dengan ruang pengembangannya yang sangat sederhana. Kedua, berbanding dengan “Serangan”, “Penebangan Hutan” dan Para Kossak, Haji Murat ialah teks yang ditulis pada jarak yang besar daripada peristiwa sejarahnya. Penulisannya bukan sekadar menampilkan pemaparan estetik atas kesan-kesan pengalaman sendiri dari Kaukasia, tetapi merupakan hasil sintesis daripada pelbagai sumber. Menurut definisi pengarangnya sendiri, sumber sejarah dan sastera. Ketiga, adanya kematangan gaya kreatif: pada tahun 1850-an, Tolstoy masih belajar memadukan gaya cereka dengan khutbah, termasuk gaya artistik dengan didaktik. Pada tahun 1890-an dan 1900-an, beliau dengan senang menukarkan gaya penulisannya dengan gaya-gaya yang dinyatakan, bergantung pada kesan yang ingin diberikannya kepada pembaca.

Bagaimanakah Susunan Naratif dalam Haji Murat?

Tolstoy banyak bereksperimen apabila bercerita. Beliau merasakan dan juga mengkritik bahawa adanya sifat teks sastera yang dibuat-buat dan susah untuk dihapuskan. Beliau berusaha untuk mengatasinya dengan menyampaikan prosanya dengan menjelmakan gaya “kenangan” lisan Rusia era Nicholai I (seperti dalam “Selepas Majlis Tari-Menari”), perbualan dalam kereta api (“Sonata Kreutzer”) atau memoir watak separa mitos (“Nota Anumerta Fyodor Kuzmich Si Tua”).

Haji Murat mungkin contoh yang paling menarik dalam pembahagian ruang beberapa pencerita dalam sebuah karya. Kisah Haji Murat bermula dengan perkataan ‘saya’. Kisah awal ini sebenarnya catatan diari olahan Tolstoy sendiri yang menceritakan bagaimana bunga repei mengingatkannya dengan Haji Murat. Perlu diperhatikan bahawa dalam prolog pendek itu, pengarang mendedahkan kepada kita kaedahnya bekerja dengan bahan dokumentari: “Dan teringat saya sebuah cerita Kaukasia yang lama. Sebahagiannya saya saksikan dengan mata kepala sendiri, sebahagiannya pula pernah saya dengar melalui cerita orang lain dan sebahagian lagi saya reka sendiri.”

Sudah tentu terdapat pencerita lain dalam novela ini. Pertama, Haji Murat sendiri yang menceritakan kisah hidupnya kepada pegawai Loris-Melikov. Kedua, pencerita gabenor Kaukasia Vorontsov yang menulis mesej terperinci kepada Menteri Pertahanan Chernyshev sambil menceritakan semula dan mentafsirkan peristiwa yang sudah diketahui oleh pembaca (dalam peristiwa sejarah) melalui pengalaman alami gabenor tersebut. Akhirnya, pencerita dari sudut pegawai Kamenev yang mula-mula menunjukkan kepala Haji Murat yang dipenggal kepada Ivan Matveevich, Butler dan Marya Dmitrievna, lalu kemudian menceritakan bagaimana segalanya itu terjadi. Kisah daripada Kamenev ialah cereka yang paling dibuat-buat: jelaslah bahawa Tolstoy tidak dapat tahu apa yang sebenarnya Haji Murat fikirkan sebelum kematiannya. Dalam bab terakhir, Tolstoy mendapatkan semula haknya sebagai pengarang yang maha tahu.

Apakah maksud Adegan Bunga yang Dipetik oleh Pencerita dalam Prolog Haji Murat?

Pada permulaan novela – sebelum memperkenalkan watak utama – Tolstoy menggariskan tema utamanya dan memperkenalkan simbol utama. Beliau turut menggunakan teknik gubahan itu dalam novel Anna Karenina: hidangan yang dipesan oleh dua watak, Levin dan Stiva semasa makan tengah hari di restoran Anglia seolah-olah menggariskan jalan cerita buku itu – daripada percintaan Vronsky dengan Anna kepada pemergiannya ke daerah Balkan. Dari segi itu, Haji Murat tidaklah disusun dengan begitu mengagumkan, tetapi kaedah penyusunan leitmotifnya tetap sama.

Sewaktu pulang ke rumah melalui ladang, pencerita (Tolstoy) memutuskan untuk mengarang sejambak bunga musim panas yang tipikal seperti margaritka, skabioz dan dodder. Tiba-tiba, perhatiannya ditarik oleh bunga burdock yang tumbuh di dalam longkang – iaitu secara berasingan daripada bunga-bunga lain – sejambak bunga repei cantik berwarna merah murup yang sedang berkembang penuh yang dinamai sebagai tatarnik. Dengan begitu sahaja, dua motif rapat muncul serentak dalam teks: kebebasan, hampir kesepian dan sesuatu yang asing, termasuk dalam pengertian etnobudaya.

Selama beberapa minit, Tolstoy cuba memetik bunga burdock itu tetapi akibatnya hanya merosakkannya: “tangkainya terkopek dan bunga itu sendiri tidak kelihatan segar dan cantik lagi.” Sejambak bunga, gabungan harmonis tumbuhan yang berbeza tidak jadi; tatarnik itu “cantik hanya pada tempatnya”. Nampaknya Tolstoy membayangkan bahawa pengembangan Rusia di Kaukasia ditakdirkan menemui kegagalan. Selepas itu, pengarang melahirkan kekaguman yang benar-benar nyata terhadap tenaga burdock itu, daya hidupnya yang luar biasa: “Betapa kuat ia membela dan menjual mahal nyawanya.”

Menemui dirinya di ladang hitam itu, tanpa sehelai rumput pun, Tolstoy bercakap tentang kesan merosakkan manusia terhadap alam semula jadinya. “Hitam” menjadi sinonim dengan “mati”, tamadun disamakan dengan pembunuhan. Akan tetapi, di sini, “di tepi kanan jalan” (sekali lagi motif pengasingan), pencerita menemui semak belukar yang secara ajaib kekal hidup – tatarnik juga. Selepas digilis roda, kehilangan salah satu tangkai, dilumuri dengan tanah gambut, ia masih bertahan, tidak menyerah kepada “manusia yang memusnahkan semua semak-samun yang lain di sekitarnya.”

Pada saat itulah, Tolstoy teringat dengan “cerita Kaukasia yang lama” yang kemudiannya menjadi Haji Mura“. Dan wira itu sendiri dalam perlawanan akhirnya, mengulangi hampir sepenuhnya nasib bunga yang tidak patuh itu: “Tetapi yang kelihatan seperti tubuh mati itu tiba-tiba bergerak. Mula-mula, kepala bercukur berlumuran darah tanpa papahan, kemudian sekujur tubuh dengan berpaut pada sebatang pokok, berdirilah dia sepenuhnya.” Jika tatarnik yang dilihat oleh Tolstoy dapat bertahan, maka Haji Murat yang terluka dan dikelilingi oleh musuh pun akhirnya mati: “Tiba-tiba tubuhnya gementar, relai dari pokok dan dengan lurus seperi repei yang dipotong, jatuh terlentang dan tidak bergerak lagi.”

Baca Bahagian Pertama Refleksi | 

Novela Haji Murat boleh dibeli di sini.

Kredit Foto: Anton/Unsplash, Victor A. Pogadaev dan Ilham Books

_________________________

Victor A. Pogadaev (Prof. Madya Dr.) merupakan Timbalan Presiden Nusantara Society, Lomonosov Moscow State University.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.