Diterbitkan pada 30 Mac 2026, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri menyatakan bahawa peradaban Melayu mempunyai kata-kata falsafah zaman-berzaman yang cukup ampuh untuk mendalami pengalaman hidup, dan seharusnya terus ditelaah dalam penciptaan sastera kontemporari hari ini.

Apabila kearifan tempatan dijadikan sebagai teras falsafah, sesebuah karya sastera tidak akan terumbang-ambing tanpa hala tuju. Hasilnya menjadi lebih bermakna, berjiwa dan bergerak seiring dengan naluri serta denyut jantung masyarakat pembacanya.

Pada hakikatnya, sastera melangkaui sekadar susunan kata indah atau manipulasi bahasa untuk memikat estetika pembaca. Penghasilannya sebenarnya sebuah wadah pemikiran. Satu ruang bagi kita untuk merenung kembali erti kehidupan serta kewujudan diri sebagai manusia. Di sebalik kehalusan gaya bahasa yang dipersembahkan, wujud elemen yang jauh lebih mustahak, iaitu falsafah. Elemen inilah yang memberikan impak besar kepada sesebuah penulisan, sekali gus menghidupkan roh intelektual yang membuatkan sesuatu karya itu terus relevan dan “bernyawa”.

Dalam dunia sastera, semenjak zaman tradisi hingga era pascamoden, falsafah kearifan tempatan wujud bukan hanya sebagai perencah yang menyedapkan, tetapi sebagai sumber ilmu yang mengukuhkan sastera pada akar budaya sendiri. Hal ini lahir daripada pengalaman hidup bersama, dibentuk oleh zaman, dan diwariskan sebagai panduan adab dalam hubungan manusia dengan alam, sesama insan, dan Tuhan Yang Maha Pencipta.

Apabila kearifan tempatan dijadikan sebagai teras falsafah, sesebuah karya sastera tidak akan terumbang-ambing tanpa hala tuju. Hasilnya menjadi lebih bermakna, berjiwa dan bergerak seiring dengan naluri serta denyut jantung masyarakat pembacanya.

Keistimewaan Falsafah yang Berasal daripada Budaya Sendiri

Bahasa Melayu mempunyai khazanah ilmu yang sangat kaya dalam bentuk peribahasa, pepatah, simpulan bahasa, bidalan, serta pelbagai kiasan. Di situlah tersimpannya kebijaksanaan pemikiran bangsa kita; ringkas dari segi sebutannya, namun sangat mendalam dari segi maksudnya.

Pepatah seperti “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” bukan sekadar mengajak kita bekerjasama, malah membawa falsafah musyawarah yang sangat mementingkan keharmonian sosial sebagai asas hidup bermasyarakat. Dalam sebaris ayat tersebut, tersirat pandangan hidup yang mengutamakan keseimbangan komuniti berbanding kepentingan individu atau sifat individualistik dalam diri.

Begitu juga dengan perumpamaan “laksana pohon kayu tiada berbuah”. Perumpamaan ini bukan sekadar sindiran buat orang yang berilmu tetapi tidak beramal, malah merupakan satu teguran intelektual yang halus dan beradab, namun tetap tajam menusuk kesedaran. Bidalan “jangan disangka air yang tenang tiada buaya” pula mengajar kita falsafah waspada: bahawa kebenaran tidak selalunya jelas dilihat pada rupa luaran sahaja.

Perbandingan seperti “bijak laksana Kancil” atau “garang seperti harimau” membuktikan betapa masyarakat Melayu berfikir melalui pemerhatian terhadap alam sekeliling. Flora dan fauna bukan sekadar hiasan gaya bahasa, tetapi sebahagian daripada sistem makna yang membentuk cara kita memandang kehidupan seharian.

Kehebatan sumber ini terletak pada penggunaan bahasanya yang jimat; hanya sedikit kata, namun sarat dengan pengajaran. Dalam kepadatan kata itu, terhimpun konsep etika, pegangan hidup dan nilai sosial yang mendalam, tetapi disampaikan dalam bentuk yang mudah untuk kita ingat dan fahami.

Walau bagaimanapun, memasukkan falsafah kearifan tempatan dalam karya bukanlah sekadar menampal peribahasa secara rawak dalam dialog atau penceritaan. Usaha ini memerlukan penghayatan yang mendalam, tafsiran yang tepat serta penerapan nilai dalam struktur cerita itu sendiri.

Pertama, dalam aspek pembinaan watak:

Watak yang mengamalkan falsafah “padi semakin berisi semakin tunduk” akan digambarkan sebagai individu berilmu yang tetap rendah diri. Keadaan ini sangat berbeza daripada watak yang mungkin bersifat “seperti kera mendapat bunga”. Di sini, falsafah kearifan tempatan bertindak sebagai peraturan moral yang menggerakkan konflik dan perkembangan jalan cerita.

Kedua, dalam pengembangan tema dan plot:

Konsep hukum alam seperti “sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga” boleh dijadikan asas penceritaan tentang kesan perbuatan dan pembalasan. Tema yang berakar pada kebijaksanaan lama ini tidak akan terasa asing bagi kita, kerana intinya berpijak pada kebenaran yang sudah sekian lama diakui oleh masyarakat.

Ketiga, dalam aspek keindahan bahasa:

Perumpamaan “umpama kaca terhempas ke batu” semasa menggambarkan kesedihan bukan sekadar hiasan seni, tetapi merupakan alat yang memadatkan emosi dalam bentuk gambaran visual yang jelas. Bahasa akhirnya menjadi tempat meluahkan rasa, bukan sekadar alat untuk menyampaikan maklumat semata-mata.

Kesan terhadap Kekuatan Sesebuah Karya

Falsafah kearifan tempatan menjadi sauh yang mengikat sastera kita supaya tidak hanyut sehingga kehilangan jati diri bangsa.

Apabila kearifan tempatan dijadikan sumber falsafah, karya yang dihasilkan akan mempunyai ketahanan budaya yang tinggi. Hal itu tidak akan mudah luput atau dilupakan walaupun zaman silih berganti.

Malah, karya tersebut akan kelihatan lebih berwibawa kerana isi kandungannya menghiburkan pembaca sambil mendidik nilai-nilai murni. Karya tersebut memikul tanggungjawab moral. Perkara kedua, karya tersebut dapat mengukuhkan identiti nasional kita di tengah-tengah pengaruh teori dan pemikiran asing seperti eksistensialisme atau pascamodenisme. Falsafah kearifan tempatan menjadi sauh yang mengikat sastera kita supaya tidak hanyut sehingga kehilangan jati diri bangsa.

Kita boleh melihat contoh ini dalam karya-karya tokoh besar seperti Sasterawan Negara A. Samad Said dan Sasterawan Negara Keris Mas yang menyatukan nilai kemanusiaan melalui latar belakang dan jiwa masyarakat tempatan. Karya mereka kekal diminati sehingga kini kerana berpijak pada pengalaman hidup bangsa sendiri.

Lebih penting lagi, pembaca akan berasa lebih dekat dengan karya tersebut. Proses memahami maksud cerita menjadi lebih natural kerana teks tersebut berbicara dalam laras bahasa budaya yang sudah sedia ada dalam jiwa mereka.

Namun begitu, tidak semua penggunaan falsafah kearifan tempatan ini dilakukan secara mendalam. Ada kalanya sekadar menjadi ungkapan biasa yang hilang maknanya; hanya hiasan tanpa roh. Peribahasa digunakan, tetapi falsafah di sebaliknya tidak digandingkan dengan baik.

Selain itu, proses urbanisasi yang menjauhkan generasi muda daripada alam semula jadi, menyebabkan kiasan yang berasaskan flora dan fauna semakin sukar difahami maknanya. Ungkapan seperti “pucuk dicita ulam mendatang” mungkin kedengaran pelik bagi mereka yang tidak lagi mengenali kebun atau hutan sebagai sebahagian daripada pengalaman hidup mereka.

Oleh itu, falsafah kearifan tempatan tidak seharusnya dianggap sebagai artifak sejarah yang kaku. Hal ini perlu ditafsir semula, diolah dengan gaya baharu dan disesuaikan dengan keadaan semasa tanpa membuang nilai asalnya.

Langkah Pelestarian yang Bijak

Usaha memelihara kearifan tempatan sebagai sumber falsafah dalam karya memerlukan perancangan yang teliti dan berterusan. Pendigitalan khazanah peribahasa perlu dibuat secara menyeluruh, bukan sekadar mengumpul maksud luaran, tetapi menghuraikan aspek falsafahnya serta memberikan contoh penggunaannya dalam sastera lama dan kini.

Institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka serta persatuan penulis perlulah memperbanyak bengkel penulisan yang membimbing penulis untuk mendalami nilai ini dalam penghasilan karya. Dalam bidang pendidikan pula, komponen KOMSAS tidak seharusnya terhad kepada hafalan maksud untuk peperiksaan sahaja. Pelajar perlu dilatih berfikir mengikut acuan tempatan serta mengolah peribahasa sebagai satu alat kreatif. Anugerah atau hadiah sastera yang bertemakan falsafah kearifan tempatan juga wajar diwujudkan bagi menggalakkan “inovasi-lestari” dalam pengolahan karya sastera.

Falsafah dalam kearifan tempatan sebenarnya adalah khazanah intelektual yang membentuk jati diri pemikiran kita. Kalau kita teliti, peribahasa dan kiasan warisan kita bukannya sekadar susunan kata yang indah, tetapi merupakan instrumen hikmah yang mengatur cara kita memahami realiti kehidupan.

Apabila falsafah ini dijadikan teras dalam sastera, karya tersebut tidak lagi sekadar mementingkan estetika luaran, malah mempunyai kekuatan makna yang mendalam. Hal ini berfungsi sebagai pelindung identiti (jati diri) sekali gus menjadi jambatan yang menghubungkan nilai tradisi dengan dinamik dunia terkini.

Dalam usaha mendepani perubahan zaman, menyerapkan kearifan tempatan sebagai falsafah dalam penulisan bukanlah satu langkah mundur atau sekadar nostalgia. Sebaliknya, usaha sebegini menjadi satu tanggungjawab intelektual yang besar. Inilah usaha yang dapat memastikan “roh” dan pemikiran bangsa kita tetap segar dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang melalui penulisan yang bermutu.

_________________________

Ibnu Din Assingkiri merupakan nama pena Sanusi bin Din. Beliau lahir di Kedah dan menetap di Pulau Pinang. Ibnu Din aktif menulis sejak tahun 2010. Beliau telah menghasilkan tujuh kumpulan puisi dan tiga kumpulan cerpen serta menyumbang dalam berpuluh antologi pelbagai genre di Malaysia dan Indonesia. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit dalam pelbagai media tempatan dan antarabangsa. Ibnu Din menerima empat hadiah sastera negeri, tiga di Pulau Pinang (2023, 2025) dan satu di Kedah (2022) dalam kategori buku puisi, puisi eceran dan cerpen eceran.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi