Diterbitkan pada 8 Februari 2026, 19:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dunia kesusasteraan tanah air menyaksikan satu anjakan paradigma apabila Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Rahman Shaari memperkenalkan gagasan “Seni untuk Perjuangan Hartanah” sebagai satu keistimewaan baharu yang menghubungkan kreativiti sastera dengan kepentingan ekonomi dan kedaulatan tanah air.

Menurut  Dato’ Rahman Shaari, beliau mengimbau sejarah slogan sastera negara bagi memberikan konteks pada gagasan baharu ini.

Beliau berkata, kemunculan sastera ASAS 50 dengan slogan “Seni untuk Masyarakat” telah diperjuangkan oleh tokoh Sasterawan Negara seperti Usman Awang dan Keris Mas pada abad 1950-an, manakala gagasan “Seni untuk Seni” telah diterajui oleh Hamzah Hussin pada hujung tahun 1950-an.

“Perkembangan slogan dalam dunia kesusasteraan tersebut  seakan terhenti sehingga pihak Pejuang Hartanah telah memperkenalkan gagasan baharu, iaitu ‘Seni untuk  Perjuangan Hartanah’,” ujar beliau.

Dato’ Rahman turut menegaskan bahawa integrasi antara estetika sastera dengan perjuangan hartanah merupakan langkah kritikal dalam mempertahankan kedaulatan negara, sekali gus memastikan maruah ekonomi bangsa tidak terhakis di tanah air.

SN Dato’ Rahman Shaari ketika menyampaikan ucaptama dalam program Randau Buku: Antologi Puisi Mengukir Nama di Atas Peta.

Sementara itu, penyair Datin Barupawati Utamaju Baharum turut berkongsi latar belakang pendidikannya dalam aliran sains yang juga tidak menghalangnya untuk terus bergiat aktif dalam puisi, di samping mengangkat pantun Melayu lama sebagai “Pantun Usahawan Melayu Lama” yang mendasari semangat keusahawanan.

“Hutang budi seharusnya dibalas dengan budi agar kita tidak selamanya terbelenggu dalam hutang,” jelasnya.

Beliau turut memberikan nafas baharu pada pantun “Hutang Budi” agar lebih relevan dengan dunia perniagaan dan hartanah.

Ujarnya, rangkap “Hutang budi dibawa mati” telah ditukarkan kepada “Hutang budi dibalas budi” bagi memperkukuh jaringan perniagaan dan persahabatan, suatu kenyataan simbolik terhadap pengelakan hutang yang tidak terancang.

Penyair Datin Barupawati Utamaju Baharum ketika menyampaikan ucaptama.
Kredit Foto: Muhammad Shafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi