Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBenarkah karya AI tiada roh? Ahmad Noh mengupas dikotomi antara hasil seni yang dinukilkan oleh data dan logik dengan ekspresi artistik manusia yang berpunca daripada jiwa dan pengalaman.
Walaupun AI dapat menghasilkan puisi atau prosa pendek secara teknikal, tetapi adakah makna dan emosi dalam karya itu benar-benar wujud atau sekadar susunan perkataan yang meniru emosi manusia?
Kecerdasan Buatan atau nama asalnya dalam bahasa Inggeris, Artificial Intelligence (AI) merujuk kemampuan sebuah mesin atau sistem komputer untuk meniru dan melaksanakan fungsi (pemikiran) yang biasanya dikaitkan dengan kecerdasan otak manusia untuk berfikir. AI membolehkan mesin untuk berfikir dan bertindak seperti manusia, tetapi melalui program algoritma dan bukannya kesedaran semula jadi. Secara ringkasnya, mesin menerima dan memproses data, kemudian belajar daripada data tersebut untuk mengesan corak dan membuat kesimpulan.
Dalam konteks moden, AI juga berupaya menghasilkan kandungan baharu seperti imej, muzik atau teks, walaupun dihasilkan berdasarkan data yang telah dilatih berulang kali.
Contohnya, karya sastera yang dijana oleh AI boleh diperoleh dalam hasil puisi moden. Dalam hal in, AI dilatih menggunakan jutaan baris puisi (teks), mengikut genre puisi yang bersesuaian. Kemudian, proses ini mampu menghasilkan puisi baharu yang mempunyai irama dan gaya yang serupa dengan bentuk yang disuapkan sebagai data bacaan.
Timbul persoalan di sini, walaupun AI dapat menghasilkan puisi atau prosa pendek secara teknikal, tetapi adakah makna dan emosi dalam karya itu benar-benar wujud atau sekadar susunan perkataan yang meniru emosi manusia?
Roh dalam konteks falsafah sekular dan psikologi merujuk keadaan tentang diri sendiri atau persekitaran. Pengalaman subjektif amat berkait dengan kualiti pengalaman, otak manusia yang cenderung berfikir, atau deria manusia seperti sentuhan, bau dan penglihatan. Pemikiran yang sedar tentang kewujudan sesuatu perkara menjadikan manusia itu sangat berbeza daripada AI. Sementara itu, roh dalam konteks keagamaan pula menjurus pada kuasa atau entiti bukan material yang memberikan kehidupan kepada jasad fizikal, iaitu tubuh manusia. Kehidupan akan terhenti apabila roh meninggalkan jasad dan manusia akan mati. Manusia perlu berhadapan dengan fasa keabadian, sedangkan AI belum pasti di mana fasa itu berlaku. Inilah yang membezakan antara roh dengan AI.
Sehubungan dengan itu, saya letak satu contoh puisi yang dijana oleh AI dengan tajuk “Makam Bonda”. Kita lihat bagaimana puisi yang dijana oleh AI, adakah kualitinya ada jiwa atau tidak?
Sunyi batu nisan, sepi pagi memeluk, di tanah yang basah, rindu kian teruk. Hanya kemboja putih, saksi bisu berdiri, menyambut langkah sepi, hati kian sepi.
Di sini tersemadi, kasih tiada ganti. Bonda yang kusanjung, kini telah berbakti. Bukan lagi suara merdu memanggil nama. Hanya angin lalu membisikkan doa.
Rumput hijau memayung, menjadi selimutmu. Kutabur kelopak mawar, seharum doaku. Tangan yang pernah mengusap, kini kaku diam. Hati dalam kenangan suram.
Oh, kusedari, waktu kian merampas. Akan kugenggam erat, kasih tiada batas. Kini hanya sepi, di bawah lindungan Ilahi. Damailah bondaku, di rahap bumi ini.
Cuba kita perhatikan bait demi bait puisi yang dijana oleh AI di atas. Puisi ini memperlihatkan keupayaan teknologi untuk menggunakan dan menggabungkaitkan perbendaharaan kata. Kata-kata seperti ‘sunyi’, ‘sepi’, ‘rindu’, ‘teruk’, dan ‘suram’ ialah himpunan kata yang boleh sahaja diperoleh daripada Kamus Dewan. AI hanya belajar daripada konteks data emosi untuk menunjukkan puisi itu bernada sedih. Sebagai manusia, saya berpendapat yang susunan kata ini tidak begitu jelas menunjukkan “jiwa”. Susunannya hanyalah sebagai kata-kata biasa yang ada pada sesuatu emosi semata-mata. Manusia boleh sahaja mentafsirkan sedih itu dengan berlainan cara serta mungkin meneroka dengan lebih mendalam. Ketika membaca puisi ini, saya hanya dapat merasai betapa sedikitnya rasa kesedihan itu. Rasa kesedihan itu tidak betul-betul terjelma dalam sanubari. Perkataannya kaku dan saya berpendapat, puisi AI ini hanya sekadar memperkenalkan kosa kata yang ada pada emosi kesedihan tanpa dapat dirasai oleh jiwa pembaca.
AI hanya meniru imejan lazim untuk emosi sedih. Contohnya, penggunaan imej batu nisan, kemboja putih dan air mawar ialah konsep kuburan. Setiap kali dibincangkan hal gambaran kuburan, maka “pemikiran”nya tidak akan terlepas daripada menjanakan imej tersebut. Imej-imej ini dilihat sebagai kaku dan tidak bernyawa. Sedangkan, apabila kita melihat imej-imej ini secara lahiriah, sebagai seorang manusia, pasti akan membawa pengertian yang mendalam seperti “dunia ini sementara, yang kekal dan ada hanyalah negeri abadi”.
Puisi AI tadi jelas tidak ada roh sepertimana puisi moden yang dicipta oleh Sasterawan Negara Usman Awang, iaitu “Ke Makam Bonda”. Puisi “Makam Bonda” tadi pula kaku kerana dihasilkan oleh pengalaman peribadi AI tentang kehilangan dan kesedihan. AI hanya meniru contoh karya yang berbentuk seni, tetapi tiada “roh”nya.
Manusia mengalami pengalaman hidup yang tulen. Emosi terlahir sejak azali. Manusia ada emosi dan kesedaran peribadi, malah mengalami situasi kehilangan yang nyata. Mereka melalui trauma dan nostalgia dalam satu-satu masa dan kadangkala dalam pelbagai peristiwa yang berbeza. Manusia sedar erti kesakitan yang ditulis dan mampu menghadirkan ekspresi atau proses perasaan itu. Manakala AI hanya bergantung pada simulasi, iaitu mengenal pasti perkataan mana yang paling sering wujud bersama-sama dengan emosi sedih. Bahkan, AI tidak merasai kesedihan, dan proses itu hanya muncul atas arahan data tanpa mampu menikmati rasa kesakitannya. Dalam hal ini, ekspresi individu manusia itu sebenarnya unik. Proses penghasilan karya manusia merupakan suatu penapis yang tulen yang datang daripada jiwa atau roh seseorang manusia. Jika dibandingkan dengan AI, hasil AI hanyalah gabungan corak sedia ada daripada hasil manusia, iaitu suatu mozek gaya dan tema daripada jutaan data yang dimasukkan ke dalamnya.
Lihat sahaja puisi “Ke Makam Bonda” yang diciptakan dengan penuh roh dan penuh jiwa. Penyair Usman Awang memulakan puisinya dengan suasana yang tenang dan damai ketika mengunjungi pusara ibu: “Kami mengunjungi pusara bonda/Sunyi pagi disinari suria/Wangi berseri puspa kemboja/Menyambut kami mewakili bonda.” Gambaran suasana pagi yang indah dengan bau haruman bunga kemboja melambangkan penghormatan kepada ibu yang telah pergi.
Kita lihat pula rangkap kedua apabila Usman menggambarkan suasana sunyi dan kesederhanaan di pusara ibunya: “Tegak kami di makam sepi/Lalang-lalang tinggi berdiri/Dua nisan terkapar mati/Hanya papan dimakan bumi.” Kehadiran lalang dan papan yang hampir dimakan tanah menunjukkan keinsafan tentang dunia yang sementara, simbol pada kehidupan yang fana. Hal ini jelas menunjukkan bahawa segala yang ditulis oleh Usman datang daripada pengalaman sebenar dan bukan daripada dapatan data semata-mata.
Karya puisi Sasterawan Negara ini benar-benar menusuk sanubari saya ketika membacanya. Ada rasa sedih yang hinggap dan melebar pada lubuk hati saya. Sebagai manusia yang pernah mengalami fasa kehilangan itu menjadikan puisi ini sebagai satu karya yang mempunyai “jiwa”. Jiwa pembaca tertambat bukan sahaja pada pemilihan kata-katanya, malah cara penyair itu menyusun dan menjalinkan kata-kata itu dengan cukup hidup dan sangat bermakna kepada pembaca. Sememangnya, karya AI setakat ini tidak mampu menanding hal ini. Karya AI masih tidak ada roh jika dibandingkan dengan karya yang digarap atau dinukil oleh manusia.
_________________________
Ahmad Noh anak jati Pahang Darul Makmur. Beliau merupakan seorang pendidik sejak 30 tahun yang lalu dan kini bertugas sebagai seorang pensyarah akademik di Kolej Matrikulasi Pahang. Ahmad cenderung menulis dalam genre puisi, cerpen, certot, dan anekdot. Hasil karyanya pernah disiarkan dalam majalah, akhbar dan buku antologi bersama. Beliau mengamalkan prinsip “Berkongsi Rasa Mendidik Manusia” dalam penulisan.