Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIlham Budiman bercerita pertemuannya dengan Sasterawan Negeri Terengganu Sharif Putera.
Bayangkanlah, apabila penulis harus direnggangkan daripada buku dan kertas untuk membaca dan menulis. Apatah lagi beliau sudah memegang pena sejak tahun 1962 lagi …
Maarof Seman RS menyatakan, “Kakanda Sharif Putera ada di sini,” melalui telefon selepas mengucapkan salam. Secepat itu pula saya menerawang dalam kenangan.
Ketika itu, tiga tokoh besar sastera Terengganu – Sharif Putera, S.M. Noor (Sasterawan Negeri Terengganu 2015) dan Hilmi Rindu (Sasterawan Negeri Terengganu 2023) – hadir santai ke Kota Bharu. Melalui pelawaan Maroof, kami bertemu, berbual mesra dan bersembang seputar sastera Pantai Timur. Pada hujung temu itu, saya berpesan pada Maroof, kalau mereka atau mana-mana sahabat penulis Terengganu kebetulan datang lagi, maklumkanlah. Insya-Allah, saya ingin ikut bertemu mata juga.
Ternyata, penyair dan deklamator tersohor itu sangat mengingat pesan dan harapan saya.
Keesokannya, tengah hari, 23 Oktober baru lalu, kami bertemu di sebuah restoran terkenal di Kubang Kerian. Saya memilih di situ sebagai tempat lebih dekat dan mudah untuk titik temu (Maroof memang menetap di Kubang Kerian). Malah, dialah yang pergi menjemput Sharif Putera untuk datang. Abang Sharif pula sedang molek baru selesai hal rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di Kubang Kerian. Tambah pula, beliau memang memilih menginap di sekitar kawasan berdekatan bagi memudahkannya ke HUSM.
Kasih daripada Allah SWT memudahkan kami bertemu.
“Sihat ya, bang?”
“Alhamdulillah.”
Sharif Putera memang tetap nampak ceria, girang dan sihat. Namun, hairan juga hati saya. Beliau tampak segar-megar. Maka, sakit apa?
Malah, lebih besar hairan: mengapa tidak buat rawatan di hospital Terengganu sahaja? Sehingga harus bersusah payah sebegitu jauh sekali ke HUSM? Kuala Terengganu ke Kubang Kerian (Kota Bharu) bukan dekat. Lebih 100 batu atau 160 km. Mahu kira-kira hampir tiga jam memandu. Itu pun sesekali harus seperti anak muda berani memandu laju, jika ingin bergegas.

Khuatir juga, kalau-kalau beliau menghidap apa-apa sakit yang tidak kami ketahui.
Ketika bersembang di meja restoran yang terletak di seberang, betul-betul berhadapan dengan pintu gerbang masuk ke Istana Mahkota, Kubang Kerian, baru saya tahu mengapa Abang Sharif harus datang jauh ke HUSM. Isterinya menjalani pembedahan kedua-dua lutut. Memasukkan besi. Masya-Allah.
“Mahal ya, bang?” Maroof ingin mengetahui kos rawatan.
“RM30 ribu juga.”
Terkedu kami mendengar.
Kami beralih bersembang tentang kesihatan dirinya sendiri, justeru sudah berusia 82 tahun, Sasterawan Negeri Terengganu yang pertama (2013) ini menyatakan, beliau kini sudah menghidap sedikit sebanyak diabetes, tetapi terkawal. Namun tidak dapat berjalan kaki pada jarak agak jauh, katanya, cepat rasa penat. Mata pula sudah kabur sedikit. Tidak dapat menulis atau membaca dengan lama. Sekadar dua tiga halaman sahaja.
Terharu, sedih mendengar ujaran itu.
Bayangkanlah, apabila penulis harus direnggangkan daripada buku dan kertas untuk membaca dan menulis. Apatah lagi beliau sudah memegang pena sejak tahun 1962 lagi.
Beberapa tahun lepas, beliau dinasihati oleh pihak hospital agar masalah penglihatannya dirawat dengan memasukkan manik mata. Akan tetapi terfikir olehnya, ada beberapa kekangan bagi sepanjang tempoh masa rawatan itu, termasuk sesudah rawatan.
Anak-anak sudah dewasa, menetap di tempat lain dengan kemudi haluan hidup dan membina keluarga masing-masing. Siapa yang hendak pergi membeli nasi berlauk atau nasi dagang pagi-pagi? Siapa hendak pergi mencari lauk pauk di pasar? Oleh itu, di sebalik segala rentet-teret soalan “siapa” itu, maka, dibatalkannya hasrat lanjutan rawatan matanya. Termenung saya, rawan juga mendengar hal itu.
Gundah hati saya sejenak terhibur melihat beliau tampak berselera makan. Beliau rupa-rupanya lebih menggemari telur asin, meski ada beberapa lauk lain. Malah, kemudian ditambahnya juga lagi, sedikit nasi. Gembira saya.
“Apa kreativiti terbaharu abang?”
Beliau tersenyum. “Alhamdulillah,” jawabnya. “Abang sedang menunggu Dewan menerbitkan novel abang.”
Wah!
“Sedang ditangani suntingan oleh editor buku sastera, Zaharahanum Kamarudin.”
“Judul apa?”
“Rumah Singgah Bunga Emas.”
Wah!
“Emas atau mas?” cepat Maroof cuba mencerap.
Maroof sengaja bertanya kerana antara kedua-dua kata tersebut boleh bersinonim pada sebutannya. Misalnya, kedai emas, bunga mas (ufti). Selintas dengar, emas dan mas, sebegitu rapat bunyi lafaznya. Mudah keliru pada beza lisan. Lebih-lebih lagi bagi kami ohghe Kelantan, bahkan juga Terengganu. Kami di Pantai Timur biasa menyebutkan “mas” sahaja.
Abang Sharif tersenyum. “Emas.”
Pada jawapan itu, beliau tentu menduga kami mengharap sangat ingin mengetahui tentang manuskrip novelnya itu. Perlahan-lahan suaranya sambil mengingat-ingat, plot novel itu diceritakannya lambat-lambat. Bagai sedang melangkah-langkah, meniti-niti. Malah, tidak diteruskannya kepada penutup kesudahannya. Saya menahan rasa gelak dalam hati, ‘Kalau habis diceritakan lengkap, tentu tidak akan terbeli nanti.”
Novel itu berkisar tentang rodat. Salah satu warisan seni budaya dari Terengganu, sebagaimana ulik mayang yang masyhur itu. Namun kini, rodat sudah semakin lenyap. Atas beberapa faktor tertentu.
“Hampir-hampir pupus, atau langsung sahaja bagai pupus,” Abang Sharif cepat menukas sendiri. Menggeleng beriring keluh. “Masih ada inisiatif oleh pihak yang berkesedaran tinggi, kini sedang diajarkan kepada para pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman.”
Isteri Maroof yang ikut serta bersama-sama kami, YM Tengku Anizan Tengku Ibrahim, mencelah kata-kata itu. SMK Sultan Sulaiman yang dimaksudkan terletak di Kuala Terengganu. Beliau mengetahui hal tersebut, justeru memang berasal dari Terengganu.
Ketika berbincang lanjut tentang warisan seni budaya rodat, kami sedar bahawa kesudahan akhirnya, mungkin tidak akan ke mana-mana juga wawasan itu nanti.

Tentu di luar pengetahuan Abang Sharif, pada zaman mudanya, zaman awal mengarangnya, saya pernah mempunyai salinan fotostat cerpen beliau …
Sungguhpun begitu, inisiatif untuk memelihara dan meneruskan kesinambungan selain mendinamikkan warisan itu tetap terpuji dan penting.
Memanglah, harapan dan wawasan ini tidaklah mudah. Tidak semudah memakai baju atau sepatu. Namun, apa-apa sahaja harapan dan wawasan itu, tetap wajar diterima optimistiknya. Itulah sebabnya, pada fikiran saya, mengapa Abang Sharif ikut menggarap dalam manuskrip novelnya itu, salah satunya adalah dengan menampilkan watak seorang usahawan. Terdapat plot, watak ini ingin menghidupkan warisan seni budaya rodat sebagai aktiviti persembahan tetap di tempat pembangunan baharu chaletnya.
Sudah tentulah, motif besar Sasterawan Negeri Terengganu ini ingin menanamkan kesedaran tinggi, agar pihak tertentu, khasnya golongan elit dan korporat, tidak bersikap melulu semata-mata mengejar pembangunan dengan mengetepikan warisan leluhur sendiri.
“Pergolakan rodat,” ujar Abang Sharif seakan-akan merumuskan, seakan-akan warisan leluhur itu sudah menghampiri zaman hujungnya.
Teringat saya pada novel menarik yang berjaya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini, Phensi karya Prasert Eh Chai. Sebuah novel hebat yang mengisahkan gadis buta yang mempelajari dan mendalami menora, warisan seni tradisional masyarakat Siam.
Namun begitu, Abang Sharif tidaklah menjejak dari belakang novel itu. Antara kedua-duanya ini, kebetulan, beliau bertolak dari titik tolak warisan seni budaya leluhur yang semakin kurang popular, lesu dek perubahan zaman, bagai menghampiri detik untuk pupus. Lagipun, beliau menyiapkan dan kemudian mengirimkan manuskripnya bagi dinilai untuk diterbitkan, ketika kebetulan tahun novel Phensi diterbitkan.
Hal kebetulan ini mengingatkan saya pada kisah sejarah dalam mata pelajaran Sains, antara Alfred Russel Wallace dengan Charles Darwin yang secara serentak memikirkan Teori Evolusi. Padahal, kedua-duanya ketika itu belum pernah bertemu. Wallace pada tahun 1854 – 1858 sedang berada di Kepulauan Melayu, mengumpul banyak spesimen haiwan dan tumbuhan yang membawanya kepada “perjalanan pemikiran Teori Evolusi”.
Sementara itu, Darwin pula sudah selama 20 tahun sedang mengerjakan dan memikirkan teori berkenaan, terutama berdasarkan pengamatannya di Kepulauan Galapagos. Demikian, contoh klasik dalam sejarah sains, penemuan serentak berlaku kerana data dan pemikiran yang sama dan sudah matang ketika itu.
Sungguhpun begitu, pemikiran berkaitan cinta pada warisan seni budaya dan konflik kepupusannya, bukanlah suatu fokus baharu dalam kreativiti Sasterawan Negeri Terengganu ini sendiri.
Tentu di luar pengetahuan Abang Sharif, pada zaman mudanya, zaman awal mengarangnya, saya pernah mempunyai salinan fotostat cerpen beliau. Diperoleh daripada seorang pada peringkat abang yang sedang belajar di sekolah menengah atas (Sijil Tinggi Persekolahan ketika itu). Salinan itu miliknya kerana hobinya membaca cerpen dan memfotostat mana-mana cerpen kegemarannya. Akhirnya, salinan cerpen Abang Sharif itu diberikannya kepada saya.
Saya sampai kini tetap ingat dengan cerpen Abang Sharif itu. Judulnya, “Runtuhnya Sebuah Seni”. Cerpen tersebut mengisahkan konflik kumpulan makyung di Terengganu, kerana tidak diminati oleh masyarakat lagi, maka, semua anggota kumpulan makyung itu berdepan dengan masalah sumber pendapatan bagi menanggung keluarga. Akhirnya, kalangan pendukung warisan budaya itu meninggalkan kumpulan makyung itu. Tinggal pendukung utamanya, seorang diri. Maka itulah “runtuhlah sebuah seni” tersebut.

Kami juga mendapat tahu, rupa-rupanya ada sebuah lagi manuskrip beliau yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tetapi bukan karya kreatif. Buku kajian berkenaan sebuah penerbit yang terpencil di Terengganu pada dekad 50-an – 60-an dahulu yang begitu besar peranan dan sumbangannya terhadap perkembangan bidang kesusasteraan dan persuratan tanah air.
Asalnya, kajian itu merupakan tesis beliau semasa menuntut di Universiti Malaya dahulu, lalu diperkemas kembali.
Penerbit itu ialah H.C. Muhammad Abdul Rahman, yang juga dikenali sebagai H.C. Abdul Rahman Marang. Marang bersempena nama daerah di Terengganu. Ketika zaman awal kemerdekaan tanah air, penerbit ini sudah aktif menerbitkan pelbagai bahan bacaan.
Malah, salah sebuah novel karangan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang turut terkenal dalam sejarah sastera tanah air, iaitu Budak Beca, diterbitkan oleh penerbit ini pada tahun 1957. Dahulu, ketika mula-mula diterbitkan oleh H.C. Muhammad Abdul Rahman, Pak Sako menggunakan nama samaran “Belia Malaya”.
Sehingga ke penghujung dekad 60-an, penerbit ini diketahui masih tetap produktif. Menurut Abang Sharif, penerbit H.C. Abdul Rahman Marang ini telah menerbitkan sebanyak 151 buah buku, termasuk 51 buah novel, buku seni kata lagu atau lebih biasa terkenal dalam kalangan masyarakat sebagai buku nyanyi (lebih 20 buah), yang semuanya amat laris.
Di samping itu, penerbit ini juga turut berniaga majun. Hal ini menyebabkan kami tergelak-gelak, tidak dapat menahan rasa lucu. Namun, memang demikian sebenarnya, H.C. Abdul Rahman Marang, bukan sekadar penerbit buku, tetapi juga peniaga majun. Keluaran produk majunnya begitu terkenal dan amat laris di pelosok tanah air.
Selain itu, kami seronok mendengar kisah pengalaman Sasterawan Negeri Terengganu ini ketika kunjungannya ke Sambas, suatu masa lalu. Sambas merupakan provinsi Indonesia yang terletak di Kalimantan Barat. Daerah yang terkenal dengan budaya Melayu Sambas, Istana Kesultanan Sambas, serta tenunan songketnya yang disebut-sebut begitu indah. Pada beberapa sisi tertentu, terdapat persamaan warisan seni budaya antara Sambas dengan Terengganu. Pada zaman lalu, terdapat hubungan lalu lintas dagang Terengganu ke Sambas.
Teringat saya, Ketua Satu Persatuan Penulis Terengganu (PELITA), Kamarulzaman Ismail pernah memberitahu, terdapat pedagang Terengganu yang belayar membawa garam ke Sambas. Beliau hairan tentang garam itu.
Saya menambah kepada beliau bahawa garam tersebut diambil dari Patani, Selatan Thailand, kerana di sanalah pusat pengeluaran garam terbesar di rantau ini pada zaman lalu. Sehingga kini, pengeluaran garam itu masih kekal di sana. Cuma, tidaklah begitu besar dan masyhur lagi.
Bual mesra dan sembang sastera budaya bersama-sama Abang Sharif kami akhiri pada jam 3.00 petang. Justeru, kami belum bersolat zohor.
Semasa bersalam sebelum melangkah pergi, saya masih sempat mencelahkan rasa ingin tahu. “Berapa lama abang mendraf untuk menyiapkan Rumah Singgah Bunga Emas itu?” Beliau pantas sahaja menjawab “Dua tahun.”
Saya hanya mengangguk.
Saya menung dengan rawan. Sasterawan besar Terengganu ini sudah kurang dapat menulis dan membaca dengan tempoh yang lama. Beliau sekadar dapat mengarang dan membaca dua tiga halaman sahaja kerana masalah mata mudah kabur menghadap dan mencerap huruf-huruf.
Namun begitu, beliau tetap secekal dan segigih itu, walau sekadar dua tiga halaman, setiap kali berusaha mengarang, selama kira-kira dua tahun, terus-menerus tekun menyiapkan manuskrip novelnya. Fikir saya, sebenar-benarnya, hatinya itulah emas yang sebenar.
Malah, saya menyimpan bayangan sendiri. Jika artikel ini tersiar nanti, maka, saya ingin bergegas menelefonnya, dengan kata-kata pesan, “Abang. Jangan baca tulisan saya. Mintalah pada isteri, jiran atau sesiapa, tolong bacakan. Abang hanya harus mendengar.”

_________________________
Ilham Budiman menetap di Pantai Timur. Beliau merupakan pencinta dan pengamat sastera serta warisan seni budaya di Wilayah Timur Laut.