21 November 2022, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengarang novel Di Bawah Alunan Ombak, Dato’ Haji Abdul Rashid Ngah atau dikenali sebagai A. Rashid Ngah meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor malam tadi. Jenazah dikebumikan di Sungai Tangkas, Kajang. Turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Dato’ Haji Abdul Rashid Ngah ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Rashid Ngah dilahirkan pada 16 September 1937 di sebuah perkampungan nelayan di pantai timur Semenanjung Malaysia. Beliau mendapat pelajaran asas di Sekolah Melayu Seberang Takir mulai tahun 1947 hingga 1952. Kemudian, selepas menamatkan persekolahan darjah lima, iaitu kelulusan paling tinggi pada masa itu, beliau dilantik sebagai guru pelatih, dan mengajar di sebuah sekolah yang terletak di Kuala Terengganu Utara.

Allahyarham Dato’ Haji Abdul Rashid Ngah.

Pada tahun 1953 hingga 1956, beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Sultan Idris, Tanjong Malim. Sekitar 10 tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1967, beliau lulus peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Ekonomi. Pada tahun 1970, beliau berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Setelah menamatkan pengajian di UM, beliau mengajar di Dungun selama setahun, sebelum dilantik menjadi Guru Besar Sekolah Menengah Seberang Takir. Pada bulan Julai 1973, beliau meletakkan jawatan sebagai guru untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Terengganu Garam Sendirian Berhad.

Walaupun terlibat dalam dunia politik tanah air, dan sibuk dengan tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun Rashid Ngah tetap aktif melibatkan diri dalam persatuan penulis. Beliau merupakan pengasas Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA). Selain itu, beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) selaku Ketua Dua pada tahun 1975.

Memetik tulisan Sharif Putera dalam Seminar Pemikiran A. Rashid Ngah yang bertajuk “Dato’ Abdul Rashid yang Saya Kenali” mengatakan,

Yang membanggakan saya dan kepimpinan PELITA pada masa itu, dalam kesibukan tugas rasminya sebagai ADUN Seberang Takir pada pilihan raya kecil DUN Kuala Nerus pada tahun 1973 dan lapan kali pilihan raya umum, iaitu tahun 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 di samping tugasan sebagai exco kerajaan mulai 1978 hingga 1999,  A. Rashid Ngah bijak menggunakan masa untuk bersama-sama dalam aktiviti PELITA.

Sumbangan beliau dalam bidang penulisan telah memberikan manfaat kepada organisasi penerbitan seperti DBP, penggiat sastera dan pembaca khususnya. Novel Di Bawah Alunan Ombak (1967) terbitan DBP telah diulang cetak sebanyak 27 kali dan pernah dijadikan buku teks untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama beberapa tahun. Selepas itu, novel ini menjadi teks tambahan bagi pelajar sekolah menengah. Selain novel tersebut, terdapat sebuah lagi novel nukilan beliau yang diterbitkan DBP, iaitu Ibu (2014).

Selain dua buah novel seperti yang dinyatakan, beliau juga menghasilkan beberapa karya lain, antaranya termasuklah Kumpulan Cerpen Pelita Sebuah (1981), Mawar Merah (antologi bersama PELITA) (1983) dan Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama) (1985), Orkid Bulu Kucing (1977), Kumpulan Cerita Sahabat Nabi: Harga Sebuku Roti (1982) dan Kumpulan Cerita Sahabat Nabi: Pemegang Pedang Rasulullah (1984).

Selain karya kreatif, beliau turut menghasilkan penulisan ilmiah seperti Satu Penilaian ekonomi ke atas Jalan Pintasan Kuala Terengganu dan Jambatan Sultan Yahaya Putera (1969); Fisiologi Manusia (1984); Jambatan Bahasa: Pengetahuan Bahasa untuk Sekolah-sekolah Menengah Tingkatan 1; Al-Idarah ti al-Islam dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.