Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketulenan dan roh kemanusiaan dalam sastera perlu terus dipertahankan, meskipun dunia bergerak pantas dalam era kecerdasan buatan (AI). Demikian kata Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari pada Malam Puisi PENA (MBPP) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City 2, semalam.
Menurut Amirudin Shari, sejak berabad lamanya, sastera menjadi wahana imaginasi yang membentuk pemikiran masyarakat, mencorak ideologi dan mengukuhkan identiti bangsa.
“Sastera lahir daripada pengalaman, emosi dan denyut nurani manusia. Teknologi AI tidak seharusnya mengambil alih roh kemanusiaan dalam karya, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkaya kreativiti dan membuka ruang baharu kepada para penulis tanah air,” jelasnya.
Acara MBPP anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA); Perbadanan Kota Buku (PKB); Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM); Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor; dan Pustaka Raja Tun Uda, menghimpunkan para penggiat dan pencinta sastera dari seluruh negara.

Dalam majlis tersebut, Amirudin Shari turut melancarkan buku terbaharu Tokoh Puisi Kebangsaan, Marzuki Ali, berjudul Kereta Senja: Dari Bandoeng ke Kota Parahyangan.
Beliau turut berkesempatan membacakan sebuah puisi berjudul “Simpang Siur” karya Ramzah Dambul yang mengangkat tema pergolakan jiwa, pencarian makna diri serta simpang kehidupan manusia.
Bertemakan “Serumpun Sebudaya”, majlis ini menampilkan persembahan daripada dua Sasterawan Negara, iaitu Dato’ Rahman Shaari dan Dato’ Dr. Zurinah Hassan, selain penampilan tokoh sastera tanah air seperti Marzuki Ali, Marsli N.O, Wani Ardy, Azmi Ismail, Adiwangsa Sukma, serta penyair Thailand, Zakariya Amataya.
Turut hadir membaca puisi ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Tuan Mohd. Najwan Halimi, serta Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
SIBF 2025 yang berlangsung dari 28 November 2025 hingga 7 Disember 2025 menjadi platform penting dalam meraikan seni, budaya dan ilmu melalui dunia perbukuan.