Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perkembangan sastera kontemporari di Thailand kini dilihat semakin bebas dengan kemunculan karya realisme dalam bentuk baharu yang lebih kompleks dan tidak terikat pada tradisi lama.
Penulis, penyair dan penterjemah dari negara berkenaan, Sdr. Zakariya Amataya berkata, perkembangan tersebut secara tidak langsung memanifestasikan rentak yang lebih berani dalam meneroka pelbagai isu semasa.
“Sastera kontemporari Thailand menonjol kerana kepelbagaian kandungannya yang berani mengkritik masyarakat secara langsung dalam pelbagai isu menarik yang menjadi minat umum untuk membacanya.
“Terutama penulis generasi baharu yang berani mengangkat isu-isu sensitif seperti sosial, ekonomi, politik, seksual, LGBT, dan sebagainya,” katanya yang juga penerima Anugerah SEA Write bagi negara Thailand tahun 2010.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Sastera Thailand Kontemporari: Cabaran Penerbitan di Era Digital” pada majlis Forum Serumpun Sebudaya: Perkongsian Nilai dalam Pengukuhan Solidariti Serantau.
Forum yang dikendalikan oleh pengarang dan penyair Sdr. Nazmi Yaakub itu diadakan di Dewan Usman Awang Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), pada 6 Disember 2025 lalu.
Zakariya berkata, idea yang kaya dengan pengajaran serta pemikiran seperti emosi, impian, penderitaan, secara tidak langsung menarik minat pembaca untuk memahami dimensi kemanusiaan secara lebih mendalam.
“Dengan format penulisan yang bebas menggunakan bahasa harian yang lebih mudah, disertai gabungan bahasa asing menambahluaskan lagi minat khalayak terhadap karya-karya sastera kontemporari,” katanya.
Menyentuh fasa industri buku di negara tersebut, beliau memberitahu perkembangan sektor berkenaan kini berada di tengah-tengah transformasi penting yang dipengaruhi oleh ledakan teknologi digital.
“Kemunculan sastera digital mendorong ramai penulis dan pembaca menggunakan platform media sosial sebagai medium baharu untuk berkarya, berkongsi idea dan menerima maklumat dengan lebih pantas serta mudah,” katanya.