Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Lima tahun kemunculannya sejak tahun 2018 dalam ranah sastera Kelantan, Liga Penulis Kelantan (LPK) sentiasa konsisten dalam usaha memperkasa seni kesusasteraan negeri itu melalui pelbagai diskusi dan bimbingan penulisan kreatif.
Dalam perkembangan terkini, LPK akan menganjurkan program Ziarah Budaya ke Patani yang akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 25 hingga 27 Julai ini, melibatkan penulis dan budayawan Melayu dari negeri itu.
Menurut pengerusi LPK, Mohd. Dahri Zakaria, program tersebut bertujuan untuk mengerat sekali gus membina hubungan dunia sastera dan budaya antara penulis serta budayawan Kelantan dengan Selatan Thailand khususnya.
Selatan Thailand atau lebih dikenali dengan panggilan Selatan Thai oleh sebahagian besar masyarakat Melayu merangkumi empat wilayah, iaitu Patani, Yala, Narathiwat, dan sebahagian Songhkla dengan pusat utamanya di Patani.
Mohd. Dahri berkata, hubungan Kelantan dengan wilayah tersebut hanya dipisahkan oleh sebatang sungai, namun jurangnya bagai luas melebar berikutan kedua-duanya melibatkan dua sempadan negara yang berbeza.
“Walau bagaimanapun, hubungan rumpun Melayu tetap utuh dan segar merentas sempadan negara.
“Malah keutuhan atau mahabbah ini dapat dilestarikan lagi menerusi program-program seumpama ini.
“LPK sendiri akan terus memeriahkan ranah sastera dan budaya dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan untuk manfaat penulis dan budayawan negeri Kelantan khususnya,” katanya, yang juga aktivis sastera dan perbukuan di Kelantan.
Dalam usaha merealisasikan program tersebut, LPK telah mengundang Sasterawan Negeri Kelantan, Sdr. Rosli K. Matari sebagai tetamu yang akan menyampaikan syarahan berkaitan sastera dan budaya di Kolej Jemaah Islam Sheikh Daud Al-Fathoni (JISDA) yang terletak di wilayah Yala.
Difahamkan, Rosli yang juga penerima SEA Write Award 2021 akan menyampaikan syarahannya bertajuk “Memugar Cinta pada Warisan Sastera Melayu Tradisional”.
Inti pati syarahannya akan menyentuh kedudukan manuskrip sastera Melayu tradisional yang masih banyak terdapat di pondok-pondok, sekali gus harus diberikan perhatian yang sewajarnya dalam usaha memartabatkan sastera Melayu.
Selain majlis pertemuan dengan beberapa penulis dan budayawan dari wilayah berkenaan, beberapa aktiviti lain turut dirancang bagi mengisi program tersebut, termasuk mengadakan lawatan ke Telaga Sheikh Daud al-Fathoni, Makam Sheikh Saifudin al-Abasi al-Yamani dan perkampungan pemimpin kanan Melayu Parti Komunis Malaya (PKM), Rashid Maidin.
Kata Mohd. Dahri lagi, LPK juga sedang merancang lebih banyak aktiviti untuk masa akan datang, termasuk sayembara dan deklamasi puisi peringkat negeri.