Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Liga Penulis Kelantan (LPK) memanfaatkan kemuliaan bulan puasa dengan menghayati keindahan Ramadan pada majlis Iftar Ramadan Bersama Orang Kampung.
Program yang julung-julung kali melibatkan penduduk kampung sekitar dan kariah masjid itu diadakan di pekarangan Masjid al-Ridhuan yang terletak bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Kenali di Kubang Kerian, Kota Bharu.
Walaupun diadakan secara santai, namun majlis berlangsung dengan penuh harmoni serta akrab, bahkan meriah dengan kehadiran lebih 200 tetamu yang terdiri daripada penduduk kampung sekitar dan kariah masjid berkenaan.
Sementara itu, hampir kesemua persatuan penulis di Kelantan turut dihadiri oleh wakil masing-masing, termasuk Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) yang diwakili oleh Ketua Satunya, YBrs. Encik Kamarulzaman Ismail.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah (Pemupukan dan Penggalakan) Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), YBrs. Encik Muhamad Ikhram Fadhly Hussin.
Pengerusi LPK, YBrs. Encik Mohd. Dahri Zakaria berkata, pada tahun ini, LPK cuba mengambil pendekatan berbeza untuk majlis Iftar Ramadan berbanding sebelumnya yang hanya melibatkan golongan penulis atau aktivis seni sahaja.

“Tahun ini kita rintis konsep baharu, cuba memasyarakatkan sastera bersama-sama orang kampung. Kita mahukan masyarakat berkenaan memahami makna serta fungsi sastera itu sendiri.
“Tidak semua orang kampung tahu, kenal dan faham apa itu sastera dan apa fungsi sastera terhadap alam dan kemanusiaan. Walhal sastera itu sebenarnya sentiasa dekat dengan kehidupan seharian mereka,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut memberikan kelebihan kepada penulis dan penyair untuk lebih memahami paradigma massa sekali gus menjadikan sastera sebagai wahana komunikasi dalam menyalurkan maklumat atau mesej kepada khalayak secara lebih efektif.
Bahkan kata Mohd. Dahri, hal demikian selaras dengan perkembangan sastera yang seiring dengan pemikiran manusia yang merangkumi semua aspek termasuk kehidupan, sosial, politik, dan ekonomi.

Justeru tegasnya, tidak salah jika dikatakan bahawa sastera merupakan satu wadah atau jambatan bagi manusia untuk menjadi lebih manusia demi kemanusiaannya itu sendiri.
Tambahnya, secara keseluruhan majlis tersebut ternyata memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak, terutamanya dari sudut komunikasi, idea dan inspirasi.
“Hasil temu bual ringkas menunjukkan hari ini mereka (orang kampung) seolah-olah dipertemukan dengan satu pendedahan baharu dan mulai faham bahawa seni sastera itu sebenarnya meliputi kitaran hidup manusia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bercadang untuk menjadikan majlis seumpama itu sebagai acara tahunan bertujuan bagi mendekatkan lagi pencinta, penggiat sastera dan aktivis seni dengan masyarakat.
“Pada tahun ini, LPK bermula dengan majlis berbuka puasa. Mungkin pada luar bulan puasa kita boleh anjurkan majlis-majlis seumpamanya mengikut kesesuaian masa,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan masjid berkenaan, YBrs. Encik Wan Mohd. Nizam Wan Jaffar berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan semua pihak untuk bekerjasama bagi mengadakan apa-apa jua program demi kepentingan umum.
“Terutama program-program berbentuk ilmu untuk manfaat umum. Insya-Allah kita boleh bekerjasama mengikut kemampuan yang ada,” katanya.