Diterbitkan pada 7 Disember 2025, 18:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kesedaran terhadap keserumpunan budaya harus dimantapkan bagi memastikan kelestarian seninya dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat sepanjang zaman.

Pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura, Dr. Azhar Ibrahim berkata, justeru hal demikian perlu bersifat mapan agar tidak terhakis oleh ekosistem dan geopolitik semasa.

Beliau berkata, kerumpunan tersebut telah berdiri dengan jati diri serta identiti sendiri yang terbentuk daripada tradisi intelektual dan solidariti serantau.

“Sesungguhnya tradisi intelektual serantau mampu membangunkan cakerawala kemanusiaan, malah tradisi intelektual itulah sebenarnya telah membenarkan keserumpunan yang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Tradisi Intelektual dan Cakerawala Solidariti Serantau” sempena Forum Serumpun Sebudaya: Perkongsian Nilai dalam Pengukuhan Solidariti Serantau.

Forum yang dikendalikan oleh pengarang dan penyair, Sdr. Nazmi Yaakub itu diadakan di Dewan Usman Awang Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), semalam.

Menurut Azhar, tradisi intelektual bukan sahaja ilmu yang terdapat di mana-mana pusat pengajian termasuk pusat pengajian tinggi, sebaliknya para sasterawan, penulis dan penyair berperanan sebagai penyuluh intelektual di rantau ini.

“Yang menjadi harapan pada keserumpunan ini ialah memartabatkan hubungan budaya dan pelestraian warisan sebagai usaha mengukuh solidariti serantau, malah menjadi lambang penghargaan kita kepada warisan.

“Selain itu, hal ini akan memantapkan kebudayaan di peringkat dalaman dan luaran, sekali gus membentuk identiti kepada kita sebagai wilayah kebudayaan yang memiliki banyak persamaan,” katanya.

Bagi memastikan kelestarian hal demikian, Azhar berkata, semua pihak berkaitan harus duduk bersama untuk memikirkan segala perancangan atau pelaksanaan secara berkesan bagi meningkatkan lagi gerakan keserumpunan yang sedia terjalin di persada antarabangsa.

Melalui kaedah tersebut, tambah beliau, keserumpunan yang ada boleh menyumbangkan sesuatu yang lebih besar kepada dunia termasuk sastera, wacana yang lebih kritis, nilai kemanusiaan sejagat termasuk peradaban bangsa itu sendiri.

“Memberi makna kepedulian serumpun itu kita harus sama-sama duduk dan fikirkan kerana hal itu bukan dimulai dengan perjanjian persefahaman (MoU), dengan wakil kedutaan atau digendang melalui pertemuan kemuncak sesuatu majlis.

“Tetapi kita yang harus bekerja menggerakkan keserumpunan berbudaya secara komprehensif bagi memberi impak yang lebih efektif kepada masyarakat,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menghormati badan atau institusi-institusi berkepentingan dalam hal-hal berkaitan yang terdapat di negara ini seperti PENA, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Alhamdulillah, khusunya di Malaysia ini kita ada DBP, jika tidak bagaimana mungkin negara serumpun dapat memanfaati bacaan-bacaan atau kajian-kajian negara-negara serumpun yang lain.

“Kalau tidak ada peranan ini saya rasa agak sukar,” jelasnya.

Kredit Foto: Bahagian Multimedia DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi