Diterbitkan pada 15 November 2025, 20:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Sebanyak 12 karya eceran terbitan majalah di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengukir kejayaan dalam Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) VII, sekali gus menegaskan peranan penerbitan DBP sebagai medan subur dalam usaha penghasilan karya bermutu merentas genre dan generasi.

Dalam kategori Puisi Kanak-kanak, hadiah utama dianugerahkan kepada “Nasihat kepada Anakku Sebelum Lena” karya Guru Kidal (Dewan Pelajar, Ogos 2024), sebuah puisi tiga rangkap yang menonjol melalui gaya didaktik dengan suntikan estetika metafora dan personifikasi.

Kategori Puisi Remaja menyaksikan karya “Menghias Kebun” oleh Hilmi Rindu (Dewan Bahasa, Julai 2024) menerima hadiah utama melalui pengucapan sederhana, namun harmoni tanpa unsur bombastik. Turut meraih hadiah penghargaan ialah “Berjuta Kasih Ibu” karya Zulaikha Adam (Tunas Cipta, April 2024) dan “Aku, Pelangi dan Layang-layang” karya Guru Kidal (Tunas Cipta, Februari 2023).

Bagi Puisi Umum, dua karya terbitan Dewan Sastera meraih hadiah penghargaan, iaitu “Rumput” karya Hilmi Rindu (Januari 2024) dan “Perempuan yang Ditinggalkan” karya Nor Aini Muhammad (Jun 2024).

Dalam kategori Cerpen Kanak-kanak, hadiah penghargaan disandang cerpen “Atuk dan Cerita Merdeka” karya Husna Nazri (Dewan Pelajar, Ogos 2024), manakala kategori Cerpen Remaja turut menobatkan karya beliau “Panggil Namaku Muhammad Merdeka” (Dewan Bahasa, September 2024) dengan hadiah penghargaan.

Bagi Cerpen Umum, “Sesuatu” karya Marsli N.O (Dewan Sastera, April 2024) meraih hadiah penghargaan, sementara kategori Skrip Drama Pentas turut memberikan pengiktirafan kepada naskhah “Warung” karya S. M. Noor (Dewan Sastera, September–November 2024).

Kategori Esei/Rencana Sastera mengiktiraf kedua-dua tulisan Marsli N.O meraih hadiah penghargaan, iaitu “Majalah Dewan Sastera: Sindiran kepada Diri Sendiri” (e-Dewan Sastera, 16 Oktober 2023) dan “Belajar Mengarang daripada Cerpen Seno” (e-Dewan Sastera, 13 Mei 2024).

Pengiktirafan utama HASDI VII meraikan tiga penerima anugerah di bawah Hadiah Bitara Sastera, iaitu Marsli N.O bagi Anugerah Cekal Sastera Negeri Terengganu, Zulaikha Adam bagi Anugerah Penulis Harapan Negeri Terengganu dan Mahanie Sulong bagi Anugerah A. Rashid Ngah.

Kategori Kumpulan Puisi Kanak-kanak juga menyaksikan Indahnya Alam Ini karya Norlaila Ghafar (DBP, 2024) menerima hadiah penghargaan.

Bagi Kumpulan Puisi Remaja, Bulan di Mata Bonda karya Zulaikha Adam (DPMP, 2023) turut dipilih menerima hadiah penghargaan.

Kategori Kumpulan Puisi Umum menobatkan Totem karya Marsli N.O (PENA, 2024) sebagai pemenang hadiah utama melalui 59 buah puisinya yang segar, padu dan emotif, manakala Lingkaran Sunyi karya Hilmi Rindu (PENA, 2024) menerima hadiah penghargaan.

Dalam Kumpulan Cerpen Umum, Lelahnya Bermain Catur karya Sharif Putera (PELITA, 2024) meraih hadiah utama atas kekuatan temanya, fragmen penyusunan cerpen yang seimbang dan garapan bahasa yang teratur serta meyakinkan.

Kategori Novel Remaja menobatkan Cinta Natrah karya Husna Nazri (DBP, 2024), sementara kategori Novel Umum memilih Perempuan yang Berdiri dalam Pijar Mentari karya S. M. Noor (DBP, 2024), iaitu sebuah karya berasaskan perjuangan dalam mempertahankan hak dan pengutaraan kearifan tempatan seni tenunan songket sebagai hadiah utama.

Bahagian Buku Sastera Kritikan/Kajian pula menobatkan Lakaran Budaya dalam Puisi Muhammad Haji Salleh karya Muhammad Irfan Nyia Abdullah (DBP, 2023) meraih hadiah utama, manakala Menilai Makna Keindahan Berasaskan Konsep Estetika Bersepadu karya A. Halim Ali (UPSI, 2024) menerima hadiah penghargaan.

Kategori Biografi/Autobiografi/Travelog/Memoir mengangkat Memoir Rimbunan Cinta Bonda karya Kamariah Kamarudin (UPSI, 2024) sebagai pemenang hadiah utama, sementara Dari Osaka ke Kota Marudu karya Baharudin A. Manan (MZ Edu Publications, 2024) meraih hadiah penghargaan.

Sementara itu, dalam Bahagian B (Eceran), HASDI VII meneruskan tradisi dengan mengiktiraf karya-karya bermutu daripada media bercetak, media digital dan pelbagai antologi.

Selain hadiah utama untuk kategori Puisi Kanak-kanak, Remaja dan Umum, beberapa karya turut diberikan hadiah penghargaan, antaranya “Nota Januari” karya Husna Nazri (Berita Harian Ahad), “Kanvas Pedoman” karya Nazira Mohd Noor (Antologi Dia, Matahari dan Bulan), “Perempuan di Pangkuan Rasulullah” karya Nur Cahya (Antologi Di Rumah Rindu Inilah) serta “Dalam Satu Pertemuan” karya Marzuki Ali (Jendela Timur DBPWT).

Dalam kategori cerpen, antara karya yang menonjol termasuk “Dunia Ini Milik Kita” karya Bahtiar Omar (Hadiah Utama Cerpen Kanak-kanak), “BONG” karya penulis yang sama (Hadiah Utama Cerpen Remaja) dan “Seorang Musafir dan Desa yang Ditinggalkan” (Hadiah Utama Cerpen Umum).

Bahagian C yang meraikan penulis berusia 21 tahun ke bawah menyaksikan dua penerima Hadiah Galakan, iaitu “Dalam Runtuhan” oleh Aina Huda Aminuddin (Antologi Bianglala Terindah) dan “Bicara” oleh Alya Husna Azha Ahmad (Antologi Tentang Rasa).

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi