Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – “Gunakan pena sebagai senjata dan karya yang dihasilkan dapat menjadi jambatan yang mampu menyemai nilai leluhur serta membentuk masyarakat berakhlak serta berfikiran jauh.”
Demikian inti pati ucapan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau Fahd Razy dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kelantan 2023/2024, semalam.
Dalam ucapan, beliau menyatakan DBP, melalui DBP Wilayah Timur (DBPWT) sentiasa komited memperkasakan kesusasteraan tanah air melalui pelbagai inisiatif. Antaranya penganugerahan karya sastera peringkat negeri, iaitu Hadiah Sastera Kelantan (HSK).
“Anugerah berprestij ini telah diwujudkan bagi menghargai sumbangan penulis, di samping menyemarakkan semangat kepengarangan agar lebih ramai pengkarya tampil menghasilkan karya bermutu.”
Hal ini demikian kerana dalam landskap ranah sastera, negeri Kelantan sentiasa menjadi “lubuk” melahirkan penyair yang berkualiti. Malah, telah melahirkan penulis yang diangkat menjadi Sasterawan Negara (SN), iaitu S. Othman Kelantan.
“Oleh itu, melalui sokongan padu daripada kerajaan negeri, saya yakin bahawa penganugerahan tokoh sastera di Kelantan akan terus menjadi platform yang berprestij untuk mengiktiraf jasa dan sumbangan para sasterawan”
“Usaha sebegini umpama sebuah penghormatan dan pengiktirafan kepada para sasterawan negeri Kelantan yang telah berupaya menyemarakkan dan mendaulatkan khazanah bahasa melalui karya sastera.”
Menurut Fahd Razy lagi, DBPWT juga sentiasa membuka ruang kolaborasi dan menyediakan platform kepada para penulis untuk berkongsi, menerbitkan dan mengembangkan hasil karya mereka.
“Saya amat berharap agar peluang ini diambil oleh penulis untuk terus berkarya dengan semangat cintakan bahasa dan budaya sendiri,”
“Peluang tersebut diwujudkan bagi menyemarakkan semangat kepengarangan agar lebih ramai pengkarya tampil menghasilkan karya bermutu tinggi, berakar pada nilai tempatan dan berjiwa kebangsaan,” jelas Fadh Razy sebelum mengakhiri ucapannya dalam Majlis Penyampaian HSK 2023/2024.
Terdahulu, Majlis Penyampaian HSK 2023/2024 telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal.

Pada tahun ini, sebanyak 445 karya diterima daripada peserta untuk penilaian melibatkan kategori novel, cerpen, puisi, esei kritikan, kajian sastera, skrip drama pentas, radio dan televisyen. Daripada jumlah tersebut, 19 karya dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Kelantan.
Antara pemenang tersebut, termasuklah Rosli K. Matari (Kategori Puisi), Naim Abd Aziz (Kategori Cerpen), Rohani Deraman (Kategori Novel) dan Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan (Kategori Esei Kritikan/Kajian Sastera).
Untuk makluman, DBPWT telah menganjurkan sebanyak lima kali HSK, bermula pada tahun 2003, diikuti tahun 2015, 2020, 2023 dan tahun ini, 2025.
Program pengiktirafan ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada kerajaan negeri Kelantan yang terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memartabatkan sastera dan persuratan.
Usaha sebegini dapat melahirkan lebih ramai penulis, pengkarya dan pemikir yang mampu mengangkat martabat bahasa dan sastera negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Turut hadir, Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail serta barisan tokoh penulis dan penggiat sastera tempatan.