Oleh Salman Sulaiman
3 Julai 2022, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok pada 25 Jun 2022 lalu didahului dengan wacana Bicara Penulis: Usaha Merancakkan Ujana Sastera dan Penerbitan Karya di Auditorium Perpustakaan Aras 1 yang dibarisi tiga ahli panel, iaitu Rudi Mahmood, Fahd Razy dan Darma Mohammad.

Wan A. Rafar yang juga Ketua Satu PPK bertindak sebagai moderator. Majlis dimulakan dengan persembahan deklamasi sajak karya Rudi Mahmood daripada buku Bara Hujan oleh dua orang pelajar UMK. Rudi, sebagai penyair mapan yang segenerasi dengan Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari turut diraikan dengan majlis pelancaran buku pertamanya, Bara Hujan, pada majlis tersebut. Kemunculan Rudi dinanti-nantikan oleh teman seangkatannya dan juga oleh para penulis generasi baharu.

Ketika bercerita tentang minat awal dalam bidang penulisan, Dr. Fahd Razy menyusuri langkah pertamanya dalam dunia sastera, antara lain dengan terpilih menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2000.

“Kami sama-sama seguru menuntut ilmu penulisan daripada Hizairi Othman, Faisal Tehrani, Ismail Kassan, dan Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari yang pada masa itu bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya,” ujar Fahd.

Bakat penulisan pengarang muda ini terserlah ketika masih di sekolah menengah lagi apabila sebuah cerpen fiksyen sains beliau yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa pada tahun 1999 memenangi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat ketika itu yang bernilai RM1000. Satu nilai yang cukup besar untuk seorang pelajar sekolah sepertinya. Karya tersebut jugalah yang membawanya ke program MPR setahun kemudian.

Doktor perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ini meneruskan kecemerlangannya dalam penulisan cerpen apabila buku cerpennya, Pascasejarah memenangi Hadiah Pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2015 dengan hadiah bernilai RM10000 dan buku tersebut baru saja diterjemah serta diterbitkan pada peringkat antarabangsa oleh syarikat Penguin dengan judul After Time. Semasa menuntut dalam bidang perubatan di Dublin, Ireland, Fahd menubuhkan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Pulang ke Malaysia, GKLN kemudiannya dijenamakan semula sebagai Penerbitan Kata-Pilar yang kini rancak menerbitkan buku-buku sajak berkualiti penulis tanah air, khususnya penulis muda.

Pegawai perubatan lulusan Royal College of Surgeon in Ireland ini sendiri mengakui sukar untuk membaca himpunan buku sajak yang bagus yang diterbitkan oleh sesebuah syarikat penerbitan, maka disebabkan hal itulah, beliau menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, Kata-Pilar, khusus untuk menerbitkan karya-karya bermutu para pengarang tanah air. Kata-Pilar bertindak mencari manuskrip sajak yang berkualiti untuk diterbitkan bagi menampung ketandusan karya puisi yang baik untuk bacaan generasi baru dan dalam masa yang sama untuk menarik pembaca muda.

Rudi pula mengakui beliau terkejut setelah melihat sebuah buku puisi yang diterbitkan oleh institusi bahasa dan sastera negara itu, “DBP seperti berundur ke belakang”. Satu-satunya buku Rudi setakat ini, Bara Hujan (yang asalnya ingin dijudulkan sebagai Haba Hujan) mendapat perhatian yang luar biasa daripada para pembaca muda di media sosial, antaranya di Tik Tok. Rudi mengakui, banyak sajaknya yang ditulis secara spontan. Namun begitu, karya-karya yang dihasilkan itu telah tumbuh dan berakar lama di kepalanya.

Dari kiri: Rossem, Fahd Razy, Rudi Mahmood, Wan A. Rafar, dan Darma Mohammad.

“Menulis dengan cara spontan ini sebenarnya untuk menguji kecekapan sendiri bersajak,” luahnya. Ceritanya lagi, beliau pernah menulis secara spontan lapan buah sajak bagi memenuhi permintaan editor Dewan Sastera untuk mengisi ruangan Karyawan Bulan Ini majalah tersebut, malah lebih menakjubkan, salah satu sajaknya itu terpilih memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Rudi mengakui, beliau bermula dan membesar sebagai seorang penyair, antaranya dengan membaca sajak-sajak Wan A. Rafar dan Darma Mohammad. Beliau masih ingat tatkala umurnya 14 tahun pada tahun 1972, Rudi membaca dengan begitu teruja senarai karya yang memenangi Hadiah Sastera 1972. Salah satu karya yang meraih hadiah ialah sajak “Bahasa Kerbau” karya Wan A. Rafar. Itulah antara peristiwa yang menjadi titik mula beliau melangkah ke dunia sastera.

Antara kenangan manis yang beliau lalui sewaktu bergelar penulis muda ketika itu ialah, Rudi sempat menemui Sasterawan Negara Usman Awang di pejabatnya di DBP. Usman pada masa tersebut merupakan editor majalah Dewan Sastera. Beliau mengaku terkejut apabila Usman menunjukkan satu fail penuh himpunan sajaknya yang dikirim ke Dewan Sastera. Usman masih simpan semua karya tersebut dan tidak membuangnya, walaupun tidak pernah disiarkan. Rudi sangat gembira dan berbesar hati apabila bakatnya begitu diperhatikan oleh penyair besar seperti Usman.

Usman Awang mengakui, tujuannya yang masih menyimpan semua karya Rudi yang dikirimkan kepadanya adalah untuk melihat peningkatan bakat penulis kelahiran Kubang Kerian ini dan bagaimana beliau berkembang sebagai seorang penyair. Nasihatnya kepada Rudi agar teruslah menulis. Setelah kira-kira lima tahun tidak putus asa mengirimkan sajak ke majalah Dewan Sastera, pada tahun 1979, barulah Usman Awang menyiarkan sajak karya Rudi Mahmood dalam majalah sastera paling berprestij terbitan DBP itu. Rudi sempat menyampaikan ucapan terima kasih kepada Fahd Razy yang mewakili Penerbitan Kata-Pilar kerana “memilih sajak orang tua untuk dibaca orang muda”.

Penghargaan istimewa turut diberikan kepada sasterawan besar Kelantan, Bapak Darma Mohammad apabila beliau turut diundang sebagai seorang lagi panel bicara dalam majlis tersebut. Atas sumbangan besarnya pada ranah kesusasteraan Kelantan, beliau sebelum ini telah dilantik sebagai penasihat PPK. Darma memberikan beberapa patokan penting yang merupakan refleksi terhadap perkongsian pengalaman Rudi dan Fahd sebelumnya. Antara lain nasihatnya yang sangat berguna ialah ingatan Darma tentang usia tua. Baginya, istimewa dan bertuahnya apabila dapat menjalani kehidupan pada usia tua kerana tidak semua orang sempat merasainya.

Sarannya dengan lebih mendalam, “Ketika muda ini, tanamlah sikap suka membaca. Jika tua di katil pun, otak kita masih aktif sekiranya kita membaca.”

Beliau yang mengakui merupakan orang paling berusia yang ada di Auditorium Perpustakaan UMK pada hari itu secara berterus-terang mengingatkan, “Kita ini tak ada tarikh mati,” dengan maksud: “kita tidak tahu tarikh kita mati”.

“Tarikh mati ada, tapi kita tak tahu,” Wan A. Rafar mencelah.

Barisan pelajar tahun tiga UMK yang menyertai Bicara Penulis.

Darma menjelaskan dengan lebih mendalam lagi, “Tidak ada orang yang tahu tarikh matinya walaupun secanggih mana pun kajian dan penerokaan ilmu yang manusia lakukan.” Segala macam perkara dikaji manusia, namun dia tetap tidak akan dapat tahu tarikh kematiannya.

Perbincangan tentang kematian tersebut mengingatkan seluruh pencinta sastera yang ada (di dalam auditorium yang dipenuhi sebahagian besarnya oleh pelajar tahun tiga Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, UMK) pada hari itu perihal pentingnya membaca untuk mengisi hidup agar menjadi insan yang memberikan manfaat kepada orang lain. Wan A. Rafar ketika menjawab soalan Dr. Abdullah Yusof tentang masalah kebuntuan ilham dan kekeringan idea untuk menulis juga menasihatkan para hadirin agar kembali membaca dan merujuk buku.

Kredit Foto: Persatuan Penulis Kelantan dan Fahd Razy

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!